Sunday, February 21, 2010

Bersaing Memberi Khidmat Kepada Rakyat



Saya amat tertarik dengan idea Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada pemilikan rumah mampu milik untuk generasi muda. Idea ini sebenarnya sangat baik, praktikal dan dirasai terus oleh rakyat. Tanpa mengira parti politik mana pun jika ianya memberi kebaikan kepada rakyat harus disokong dan pihak kerajaan pusat atau negeri-negeri yang dipimpin oleh UMNO harus bersaing memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kerajaan sedia ada harus peka bahawa dalam tempoh pendaftaran pemilih bagi suku tahun keempat tahun 2009, menyaksikan 82,668 pengundi baru yang mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semua sedia maklum bahawa kebanyakan pengundi baru ini adalah dari kalangan generasi muda. Dalam keadaan persepsi generasi muda hari ini lebih memihak kepada pembangkang maka berita baik daripada Kerajaan Selangor ini perlu diambil berat oleh kerajaan bagaimana untuk memberi persaingan sihat bagi memberi sesuatu yang berfaedah kepada generasi muda ini.

Kerajaan perlu mengambil perhatian bahawa 75% daripada jumlah penduduk Malaysia adalah berumur kurang daripada 40 tahun dan kebanyakkan mereka adalah dalam kategori belia dan kerajaan juga perlu memberi komitmen untuk menambahbaik persekitaran kepada pemuda-pemudi serta keluarga yang muda dari segi pekerjaan, peluang pendidikan dan perumahan untuk membolehkan mereka menonjolkan potensi mereka dan seterusnya membolehkan negara berkembang dengan lebih maju lagi.

Generasi baru hari ini tidak lagi boleh disogok dengan pembinaan gelanggang futsal, jersey bolasepak, kompang, T shirt, bola dan sebagainya kerana itu hanya sekadar hiburan dan sukan semata-mata tetapi bagaimana kita boleh membantu kelangsungan hidup mereka yang lebih berkualiti. Seperti kebiasaannya golongan belia/ muda di kampung-kampung mudah dibeli dengan peruntukan-peruntukan yang disebutkan tetapi akhirnya masalah kehidupan seharian mereka terabai. Kita gagal mencari punca permasalahan dan golongan ini kemudiannya akan menambahkan semula bilangan rakyat yang miskin dan melarat. Kita selalu memberi ikan kepada mereka tetapi kita tidak memberi mereka pancing supaya mereka boleh memancing setiap hari.

Kerajaan juga harus sedar dan sila ambil perhatian bahawa ekonomi Malaysia pada masa kini terperangkap dalam kombinasi kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji rendah di mana 60% keluarga di Malaysia hidup dengan gaji seisi rumah bulanan yang kurang daripada RM3,000. Dengan taraf hidup yang semakin tinggi ianya sesuatu yang membebankan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu. Bagaimana tindakan kerajaan untuk membantu golongan ini kerana pihak pembangkang akan mengwar-warkan bahawa kepincangan dan rasuah di kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan menyebabkan segelintir daripada rakyat yang mengaut keuntungan peribadi dan sebahagian besar rakyat hidup dalam kemelaratan.

Rakyat juga sedang melihat bagaimana kerajaan Selangor berjaya menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai sejak tahun 2003 di pangsapuri Taman Ukay Bistari di Hulu Kelang di mana pemilik-pemiliknya sudah tujuh tahun menunggu kerana pembinaannya tergendala. Dalam masa yang sama ada beratus-ratus projek rumah terbengkalai yang tidak dapat disiapkan kerana kerenah birokrasi. Pemaju punya hal rakyat yang teraniaya. Kerajaan perlu segera memulihkan rumah-rumah yang terbengkalai diseluruh negara supaya pemilik-pemilik rumah yang tertipu dapat mendiami rumah mereka sebelum pilihanraya ke 13 nanti. Kalau kerajaan Negeri Selangor boleh lakukan mengapa kerajaan pusat dan kerajaan negeri-negeri lain yang sedang memegang tampuk kuasa masih gagal membantu dan memulihkan rumah-rumah terbengkalai ini.

Hari ini politik persepsi sedang bermaharaja lela. Jika pihak kerajaan gagal tentunya akan dikaitkan dengan kelemahan pengurusan, birokrasi, salah gunakuasa dan rasuah. Suka atau tidak Pemuda UMNO perlu bersaing dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk bersaing memberi perkhidmatan kepada rakyat terutama golongan muda / belia jika mahu mendapat sokongan daripada pengundi baru dalam pilihanraya akan datang.

Sukanya Dalam Hati

Amir Hamzah
Batu Pahat

8 comments:

mukhtar said...

Amir,

Aku beli rumah RM25,000 dibawah kerajaan negeri, terbengkalai. Bayo bank, rumah tak boleh dimasuki.

Kali ke 2, loan kerajaan, tapi projek swasta. Rumah siap ikut jadual.

Walau apa pun, tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim kerana memulihkan rumah terbengkalai di Selangor.
Gamaknya PKR akan menang lagi di Selangor pada PRU akan datang.

Orang muda sekarang, mahu tengok hasil.
Cakap bedegar-degar tak main sekarang!!!!!

Amri said...

Salam Tuan,

Saya dua kali membawa cadangan program untuk meningkatkan kemampuan dan kebolehan golongan muda kepada pentadbir Selangor bawah DS Khir Toyo.

Sekali cadangan diserahkan kepada Seorang Setiausaha Bahagian UMNO dan Inmind (tak salah saya) dan satu lagi kepada salah seorang daripada Ketua Pemuda Bahagian UMNO untuk dilaksanakan.

Dalam kedua-dua kes pasukan pelaksana kami tidak diberikan tempat untuk memastikan kejayaan program serta peruntukan yang dikeluarkan benar-benar membawa manfaat seperti mana yang digariskan oleh objektif program.

Dalam kedua-dua kes kami merasakan layanan yang diberikan seperti " satu cadangan yang bagus, biar kami laksanakan."

Malangnya di dalam kedua-dua kes perlaksanaan lebih untuk menepati cita rasa atau keperluan orang atasan UMNO daripada keperluan anak-anak muda terlebih lagi yang bukan ahli UMNO.

Hari ini pasukan kami menerima sokongan dan bantuan penuh daripada kerajaan TS Khalid tanpa sebarang syarat bagi program yang lebih kurang sama. Lebih memuaskan hati kami diberikan kepercayaan penuh untuk melaksanakan sebagaimana yang kami rasa sesuai.

Sungguh pun usia pasukan kami sudah melampaui 30an dan juga dana yang diperuntukkan jauh lebih kecil daripada yang digunakan di dalam 2 kes terdahulu, namun pasukan perlaksana kami amat bersemangat dan teruja bekerja membimbing golongan muda Selangor dalam usaha meningkatkan kemampuan mereka.

Seperti saya sebahagian besar daripada ahli pasukan perlaksana kami masih lagi menjadi ahli UMNO. Tapi hati mereka lebih lagi anak-anak muda yang kini aktif bergerak di dalam program kami siapa tahu?

Yang jelas YB Nik Nazmi SU Politik TS Khalid mendapat tempat yang istimewa di lubuk hati mereka.

Agak malang Pergerakan Pemuda UMNO tempatan yang mana kami pernah dulu terlibat tidak menampakkan keinginan mereka untuk bersama.

Yang kami dengar masih lagi bergerakkan atau berkhidmat secara tertutup di kalangan ahli UMNO sendiri.


Mereka masih lagi bersikap "terima sajalah apa yang kami hulurkan." Tidak kiralah samada apa yang dihidangkan apa yang ditagih rakyat.

Tiada langsung dalam fikiran mereka untuk memberi bantuan secara langsung kepada anak-anak muda mencapai sendiri hasrat dan citarasa mereka.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam mukhtar,

Ko mana boleh beli rumah RM25K tar. Ko pun salah, itu untuk orang berpendapat rendah. Salah tu.....hehehe

Berkenaan rumah terbengkalai ni selalunya salah pemaju.....kadang-kadang tuan tanah pun kena kencing. Dah tanah tergadai, habuk pun tak dapat.

Apapun tahniah kepada kerajaan Selangor yang baru 'satu' nampak jasanya tetapi berkesan. Jangan pulak butakan mata pada orang yang dah bagi nikmat selama 53 tahun pada kita. hehehe

Salam Amri,
Saudara yang mengalami tentunya saudara yang lebih terasa kekecewaannya. Ianya bukan sahaja berlaku pada UMNO Selangor tetapi UMNO Kedah dan UMNO Kelantan pun sama.
huhuhu

zedmagel said...

Salam Saudara Amir Hamzah,

Saya agak keliru dan terharu, dengan beberapa kes kecil melibatkan rumah murah sahaja ramai orang kita dah berpuashati. Kesalahan yang besar dan lebih banyak tidak dapat dilihat oleh mereka.

Jasa 35 tahun yang lalu yang telah banyak ditaburkan hilang begitu saja. Kekadang kita lupa sesuatu yang diberikan secara tidak langsung kepada kita tidak dipandang dan mudah untuk kita melupakannya.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Hj Zedmagel,

Janganlah tuan hj keliru dan terharu pulak. Nama pun politik, bukan nya tn haji tak faham. Apa yang kawan nak tonjolkan di sini adalah bagaimana kita hendak menarik golongan muda. Mereka ini sudah jemu dengan retorik. Orang muda hari ini akan berfikir, kalau dia sokong apa yang dia dapat dan rasa. Kerajaan Selangor dan AMK nampaknya peka dalam hal ini.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Tn Hj Zedmagel,
Saya buat tambahan sedikit. Idea ini adalah idea sahabat saya.

Jika BN mahu terus disokong rakyat, BN perlu bersiang dengan PR tentang bagaimana cara terbaik untuk mempromosikan kebajikkan yang disediakan kepada rakyat terutama kepada gulongan muda. BN tak boleh lagi berbangga dengan kekuatan yang mereka ada hari ni semata-mata kerana kelemahan yang ada dipihak lawan. Jika itulah kekuatan yang BN harapkan bermakna BN tidak pernah lebih baik daripada pihak lawan mereka, cuma mungkin tidak lebih buruk dari pihak lawannya saja.

Kita jangan pandang sinis dengan kebajikan yang ditunjukkan oleh PR ini dengan menganggapnya sebagai mainan politik mereka semata-mata kerana kita tahu BN juga telah banyak bantu rakyat selama ini melalui papantanda-papantanda yang kita lihat “INILAH PROJEK BARISAN NASIONAL”. Terus terang saya katakan bila rakyat melihat papantanda BN ini hati mereka akan kata, “who care, that’s your responsibility anyway to make this project for the people who vote you”.

Tapi jika papantanda itu berbunyi, “TERIMA KASIH MEMBANTU BARISAN NASIONAL MENYEDIAKAN PROJEK INI UNTUK ANDA”, rakyat akan terrasa seolah-olah projek sebahagian daripada usaha mereka yang menyokong BN.

Seperti juga bila kita melihat papantanda yang berbunyi, “JANGAN MEROKOK” berbanding dengan “Terima kasih kerana tidak merokok”, walau pun kedua-duanya mempunyai maksud yang sama tetapi sudah tentu yang kedua itu akan lebih mendapat kerjasama berbanding yang pertama itu yang nampak seolah-olah mahu memerintah kita, dan sudah tidak siapa pun suka dirinya diperintah.

Inilah kreativiti yang kurang pada Barisan Nasional sekarang, banyak buat projek pun tetapi rakyat tidak menghargainya kerana cara mempromosi yang dibuat BN itu seperti mahu menunjuk-nunjuk baik yang akhirnya akan buat rakyat meluat kepada mereka.

Selempang Merah said...

Salam bro Amir...

Tahniah kpd bro krn memperbincangkan isu ini.

Saya sbg generasi muda melihat bahawa, generasi muda (khususnya yg pro pembangkang) masih belum berpuas hati bahawa UMNO telah berusaha memperbaiki imejnya.

Ini kerana banyak penyelesaian masalah yg ditangani oleh UMNO/BN seperti isu kenaikan minyak petrol, keperluan asas dan dsbnya tidak banyak membantu rakyat. Golongan yang kaya tidak menanggung kesusahan yg di pikul rakyat, manakala yg miskin semakin miskin dan yg susah semakin susah.

Bagi kami sebenarnya mahu menilai keikhlasan pemimpin kerajaan benar-benar ikhlas berbakti kpd rakyat.

Contohilah pemimpin terdahulu sehingga sanggup bergadai harta benda demi mencapai kemerdekaan.

Namun pemimpin skrg takut gaji mereka kena potong untuk membantu rakyat. Malah, kebiasaannya yg menjadi mangsa adalah kakitangan kerajaan yg tidak dpt kenaikan gaji atau bonus dsbnya.

Ada juga golongan muda berpandangan bahawa projek2 kerajaan semuanya adalah hasil dari duit rakyat yg memang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan yg memerintah berkewajipan untuk memberi pembangunan kpd rakyat.

Walaupun pemimpin2 BN dikuasai oleh org Islam, golongan muda melihat bahawa kerajaan tidak serius memperkasakan Islam. Contohnya, jika isteri pemimpin sendiri tak tahu menutup aurat.., bagaimana hendak memimpin rakyat menjadi baik berlandaskan Islam. Ibarat seperti "ketam mengajar anaknya berjalan". Macam guru di sekolah juga, guru disiplin menangkap dan merotan pelajar yg merokok, tapi guru disiplin pun 2x5 merokok juga. macam mana KPM nk menangani pelajar yg bermasalah sbb guru-gurunya pn 2x5 mcm pelajar juga. hehe..

Oleh itu, golongan muda sebenarnya tdk suka pemimpin yg hipokrit yang ckp berdegar-degar tk serupa bikin..

Walau apapun, golongan muda suka kpd pemimpin yg sanggup berkorban utk rakyat walaupun gaji bersih sebulan pemimpin hanya tinggal RM1000.00 kerana telah dilaburkan membantu rakyat berbanding dengan pemimpin yg sebuk mengumpul harta kekayaan untuk menjadi Qarun Moden.

Jika pemimpin kita mampu berubah seperti yg saya katakan, UMNO /BN akan mampu menjuarai sokongan rakyat semula.
wALLAHu a'lam..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Selempang Merah,

Selain daripada pemimpin yang patut kita tegur, satu pihak lagi ialah pegawai-pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang rendah bagi beberapa jabatan tertentu. Mereka ini kuat sangat 'melantak' rasuah sehingga mencemarkan imej kerajaan yang memerintah.

Pegawai-pegawai kerajaan dibeberapa kementerian adalah pemalas, tidak profesional, tidak cekap sehingga saluran daripada kerajaan tidak sampai kepada rakyat. Mereka seolah-olah sabatoj kerajaan.

Kerajaan juga kena betulkan sikap dan komitmen kakitangan-kakitangan yang menjadi pertualang negara. Makan rasuah sehingga boleh menjual negara. Ambil tindakan keras kepada mereka walaupun tinggi mana jawatan mereka. Orang yang rasuah sama dengan menjual negara.