Friday, September 24, 2010

Nepotisme Di Dalam PKR


Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah jawapan Muhyiddin Yassin apabila diminta pandangan mengenai pengumuman Nurul Izzah Anwar untuk bertanding Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apabila tiba pemilihan pucuk pimpinan parti politik baik UMNO, MCA atau MIC malahan PKR,PAS dan DAP pastinya akan mengamit perhatian rakyat untuk berbicara tentang kempen dan strategi calon-calon yang bakal bertanding. Ada juga yang mengikuti lebih dekat tentang visi, misi dan masa depan parti kesan daripada kemenangan seseorang calon itu untuk menduduki jawatan tertinggi parti.

Apa yang menarik perhatian sehingga Muhyiddin mengeluarkan peribahasa Melayu itu ada kaitan dengan reformasi pada tahun 1998 dahulu. Apabila menyebut reformasi kita tidak akan lupa dengan istilah kronisme dan nepotisme yang dipopularkan oleh Zahid Hamidi ketika memberi ucapan sebagai ketua pemuda dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO tahun 1998.Rakyat faham ucapan Zahid adalah arahan Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO. Gerakan politik Anwar waktu itu sukar dibendung dengan menguasai hampir keseluruhan jentera parti bersama dengan team wawasan yang turut disertai oleh Najib, Muhyiddin dan Mohamad Taib.

Seingat saya, selepas ucapan Zahid yang menyentuh kronisme dan nepotisme itu, keesokan harinya di PWTC heboh dengan senarai penyenaraian pengerusi syarikat yang dipegang oleh Zahid berjumlah lebih daripada 300 buah syarikat. Bayangkan jika sebuah syarikat memberi elaun RM5 ribu sebulan, berapakah pendapatan Zahid dalam sebulan waktu itu? Itu baru pengerusi syarikat. Pendedahan oleh Tun M itulah agaknya menyebabkan Zahid tarik 'hand break' dan bersama UMNO semula. Jika tidak kerusinya di Bagan Datoh mungkin akan terlepas ke tangan orang lain dalam pilihanraya 1999.

Bagi generasi muda yang masih dibangku sekolah pada tahun 1998, mungkin tidak tahu antara agenda Anwar untuk menjatuhkan Tun M ialah dengan serangan persepsi kepada isu nepotisme dan kronisme. Di zaman pemerintahan Tun daripada 1981 hingga krisis politik UMNO tahun 1998 tidak ada anak Tun M yang aktif berpolitik baik Marina, Morhzani maupun Mukhriz. Cuma Tun M pernah berkata, adalah tidak adil untuk menyekat anak seorang Perdana Menteri berniaga kerana semata-mata beliau adalah seorang Perdana menteri ketika itu.

Namun begitu laungan reformasi sudah jarang sekali kedengaran. Adakah setelah menguasai dan mentadbir 4 negeri sudah banyak reformasi yang dibuat di negeri tadbiran Pakatan Pembangkang? Setelah Pakatan pembangkang mentadbir 4 negeri tidak wujud langsung apa yang dikatakan sebagai kronisme atau nepotisme? Adakah agihan kerja-kerja pembangunan di negeri-negeri terbabit khususnya di Selangor mengenepikan sama sekali kronisme dan nepotisme? Projek-projek oleh kerajaan negeri diagihkan secara terus atau melalui tender terbuka tanpa campur tangan pemimpin-pemimpin politik?

Kita tinggalkan dulu cerita itu. Tumpukan sekejap kepada nepotisme dalam keluarga Anwar. Apabila tiba musim pemilihan PKR kali ini, ianya menarik perhatian apabila PKR yang meneraju gerakan reformasi nampaknya seperti Paku Dulang Paku Serpih. Nepotisme yang diamalkan oleh keluarga Anwar sekarang lebih teruk daripada yang pernah berlaku dalam mana-mana parti politik di Malaysia. Anwar sebagai Ketua Umum PKR, Wan Azizah sebagai Presiden PKR dan mutakhir ini Nurul Izzah menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden PKR. Bukankah ini yang ditentang oleh golongan reformasi dahulu iaitu nepotisme yang mementingkan kaum keluarga dan saudara mara baik memegang jawatan politik atau pengagihan kekayaan?

Apakah muslihat Anwar tidak mahu bertanding presiden PKR juga menjadi tanda tanya. Beliau lebih selesa menjadi ketua umum PKR sedangkan di dalam perlembagaan PKR sendiri pun tidak ada nama jawatan ketua umum yang disandang oleh Anwar itu? Anwar nampaknya tidak boleh tidak untuk menyokong Azmin yang beliau boleh percaya. Kesetiaan Azmin menjadi sandaran Anwar walaupun Azmin tidak pernah merengkok di dalam lokap atau penjara kerana Anwar.Kata Ezam Mohd Nor di Agenda daily, Dia ditahan 10 kali di dalam lokap polis termasuk dua kali di penjara berbanding Azmin yang tidak pernah ke penjara kerana Anwar. Nurul Izzah dan Wan Azizah sendiri tidak 'berkenan' dengan Azmin tetapi Anwar tetap mahukan kroninya Azmin memegang jawatan Timbalan Presiden.

Jadi siapakah yang menjadi penentu kepimpinan barisan PKR Pusat....Anwar kah? Ahli kah? UMNO kah? PAS kah, DAP kah?atau kroni-kronikah?.Selalunya pertandingan begini memerlukan wang untuk berkempen. Tentu ada penyumbang yang sponsor gerakan kempen calon-calon. Perjudian dan pertaruhan ini akan terbalas dan berbaloi jika calon yang diusung itu menang dan bakal mempunyai kuasa dan kedudukan.

Pastinya nanti selepas kemenangan calon-calon akan wujud kroni-kroni baru. Yang kalah akan terbuang dan tersisih. Ahli-ahli PKR harus bersuara agar amalan nepotisme dan kronisme ini dapat dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan terutama sekali yang berkaitan pengaruh keluarga Anwar di di dalam PKR.

Amir Hamzah
Batu Pahat

3 comments:

putera said...

selalunya dalam kes2 yg panas ini akan mengundang para pengkritik dari pas dan dap... tp skg senyap plak ye.. halal kot cara pkr ini pada pndangan depa semua.. tunggu dan lihat lah no...

zedmagel said...

Salam Bro,

Camne dia orang nak sokong, kenyataan ni kena batang hidung mereka...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam putera:
Hubungan mereka dalam Pakatan pembangkang memang akrab...tak leh nak kritik walaupun salah.....jaga hati kengkawan.

Salam Hj zedmagel:
Betul la bro....mereka buat pekak badak ajer ler.....