Sunday, June 7, 2009

Kemenangan Nasharuddin Sama Kemenangan KJ.


Akhirnya Nasharudin Mat.Isa berjaya juga memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS bagi penggal 2009-2011 dalam Muktamar PAS kali ke 55 di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor Darul Ehsan. Nasharudin yang mempertahankan jawatan dikatakan mewakili golongan ulamak-profesional sementara Husam pencabar terdekatnya mewakili golongan profesional-erdogan yang condong kepada pengaruh Anwar Ibrahim.

Nasharudin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas untuk penggal ketiga, apabila mendapat undi sebanyak 480 undi menewaskan dua calon lain, Husam Musa yang mendapat 281 dan dan Mohamad Sabu 261 undi. Walaupun memenangi jawatan ini tetapi undi yang diperolehinya kurang daripada 50% dengan undi rosak sebanyak 4 undi. Ini bermakna kemenangan ini bukan kemenangan mutlak atau sekurang-kurangnya KO bagi kedua-dua calon lain. Jika dicampur undi Husam dan Mohamad Sabu seramai 542 undi tidak diberikan kepada Nasharudin.

Ini bermakna 542 undi itu kemungkinan menolak Nasharudin atas faktor kerajaan perpaduan yang cuba dipelopori oleh Presiden mereka. Nasharudin juga dikatakan antara orang penting dalam perjumpaan dengan UMNO dalam membincangkan kerajaan perpaduan yang digunakan sebaik-baiknya oleh Husam sebagai isu dan senjata menjatuhkan Nasharudin.

Keduanya, kemungkinan kerana perwakilan mahukan golongan profesional menjadi timbalan presiden setelah golongan ulamak diberikan jawatan presiden. Husam dan Mohamad Sabu boleh dianggap daripada golongan profesional yang dikatakan lebih terbuka. Tetapi disebabkan Mohamad Sabu dan Husam bertanding sesama sendiri maka kumpulan yang mahukan golongan profesional ini telah terbahagi dua. Mengapa jadi begitu? Masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut berikutan penglibatan mereka yang lama dalam politik PAS dan persada politik tanah air.

Mengapa Husam hanya mendapat 20 undi lebih sahaja daripada Mohamad Sabu dan kurang 199 undi daripada Nasharudin. Kemungkian sebahagian besar perwakilan tidak mahu PAS jatuh ke dalam genggaman Anwar Ibrahim. Jika Husam menjadi Timbalan Presiden dan Kamaruddin Jaafar menjadi Setiausaha Kehormat, pengaruh Anwar akan mengatasi pengaruh presiden mereka sendiri. PAS akan terus menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP di semua negeri yang dikuasainya Pakatan Rakyat kecuali di Kedah dan Kelantan.

Perwakilan mahukan PAS terus bersama Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama mahukan ulamak menjadi teras kepimpinan. Ini bermakna PAS ingin kembali ke landasan yang betul dengan prinsip dan perjuangan asal mereka sebelum penggabungan bersama Pakatan Rakyat dalam pilihanraya ke 12. Perkembangan terbaru ini mungkin mengecewakan Anwar Ibrahim, PKR dan DAP. Percaturan mereka untuk menguasai PAS telah gagal setakat ini, hanya beberapa hari selepas pilihanraya Penanti menyaksikan Pakatan Rakyat bertanding sesama sendiri.

Bagaimana jika Mohamad Sabu tidak bertanding ? Soalan yang sama saya utarakan semasa pemilihan Ketua Pemuda UMNO dahulu iaitu bagaimana jika Khir Toyo tidak bertanding?
Adakah semua undi sebanyak 261 undi Mohamad Sabu itu akan pergi kepada Husam dan adakah undi Khir Toyo sebanyak 254 undi akan pergi kepada Mukhriz?. Sukar kita membaca fikiran dan gerak hati para perwakilan.

Dalam pertandingan sehebat dan sepenting ini, sewajarnya hanya 2 calon sahaja yang berentap. Jika dalam kes pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS biarlah Nasharudin dan Husam sahaja yang bertanding kerana kedua-duanya dengan jelas mewakili kelompok Ulamak dan satu lagi kumpulan erdogan. Mohamad Sabu sepatutnya kekal bertanding bagi jawatan Naib Presiden.

Saya melihat kemenangan Nasharudin saling tidak tumpah seperti kemenangan Khairi Jamaluddin dalam Pemuda UMNO Malaysia. Kalau Khairi hanya memperolehi undi 304 berbanding 486 undi tidak memberi undi kepadanya apa bezanya dengan Nasharudin yang hanya memperoleh 480 undi sedangkan 542 tidak mengundi kepadanya. Jikalau kemenangan Khairi dilihat sebagai satu kemenangan yang lemah bagaimana pula dengan kemenangan Nasharudin? Adakah beliau juga akan dilihat sebagai Timbalan Presiden yang lemah dan tidak berpengaruh?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, June 6, 2009

Abdul Sabu Kalah 'Tulah' sajak 'Artantuya' ? Hehehe



Sajak Altantuya karangan Mat Sabu dapat tepukan gemuruh!

Sajak yang dikarang Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dideklamasikan beliau di Stadium Malawati sempena Wacana Seni, Muktamar PAS ke-55 malam tadi mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.

Di hadapan kira-kira 5000 penonton sempena malam wacana muzik Islam, Mohamad Sabu membacaan sajak yang membicaralan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu, seorang model warga Mongolia. Sebaik bait-bait sajak sajak yang dikarang hanya dalam masa 20 minit itu dituturkan, laungan takbir dan tepukan gemuruh silih berganti. Tidak kurang juga ada yang tertawa dengan sindiran sinis bait-bait sajak yang sangat unik itu.

Inilah kempen terakhir Mohamad Sabu sebelum menjelangnya pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS pada 5 Jun lepas. Kerjanya tidak ada lain, mengutuk, mengeji,mencaci, mencarut dan memfitnah. Nasib baiklah mamat ni kalah dengan hanya mendapat 261 undi sahaja walaupun 5000 orang bertempik, bersorak dan bertakbir ketika beliau mendeklamasikan sajak 'Artantuya'.

Malang sungguh dengan muktamar yang dihadiri para alim ulamak, cendiakawan, ilmuan, para profesional diisi dengan perkara-perkara fitnah. Walaupun sajak yang diciptanya tidak menyebut nama orang tertentu tetapi kita faham kepada siapa yang hendak dituju.
Yang mendengarnya serban sebesar bakul, berkopiah putih, berjubah dan berjanggut semuanya mengikut sunnah Nabi. Apabila sajak dideklamasikan maka bertakbirlah puak-puak ini dan bersubahatlah mereka dengan fitnah.

Tiada keberkatan, tiada pertolongan Allah maka Allah tutup pintu hati para perwakilan untuk memilih beliau. Kalahnya Mohamad Sabu bukan kerana beliau tidak hebat tetapi tidak berakhlak sesuai dengan parti yang didokongnya.





Di bawah ini adalah petikan sajak yang dideklamasikan Mohamad Sabu:

'Atantuya'

Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga


Aku wanita Ajnabi merantau kemana=mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Kukuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama


Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa


Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku


Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

TERBARU !!!!

Selepas kalah jawatan Timbalan Presiden PAS Abdul Sabu berpantun pulak. Bunyinya macam merajuk aje. Kesian.....terimalah kekalahan tu bro...

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Rangkap ketiga pantun yang disampaikan mantan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu cukup memberi erti yang sangat mendalam kepada hadirin Muktamar PAS ke-55.

"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," kata Mohamad Sabu ketika mengakhiri rangkap pantunya sebelum menamatkan ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, dekat ini hari ini.

Bacaan pantun Mat Sabu disambut dengan laungan takbir yang sangat gemuruh oleh perwakilan dan para pemerhati.

Friday, June 5, 2009

PAS Kekalkan Kepimpinan Ulamak.



Perwakilan dalam Muktamar PAS kali ke 55 di Stadium Malawati, Shah Alam telah membulatkan hati untuk mengekalkan 2 pemimpin tertinggi parti itu di tangan ulamak. Perwakilan yang mewakili akar umbi menolak 2 pemimpin yang dikatakan bukan kalangan ulamak sekurang-kurangnya sehingga 2011. Mereka juga tidak lagi mengikut telunjuk Nik Aziz yang menyokong kumpulan erdogan khususnya 'ayam tambatan'nya yang dipertaruhkan di gelanggang kali ini. Cuma Nik Aziz kalah sabung tapi kampung belum tergadai.

Seperti yang dijangka oleh ramai orang Nasharudin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas untuk penggal ketiga, 2009 - 2011 apabila mendapat undi sebanyak 480 undi menewaskan dua calon lain, Husam Musa yang mendapat 281 dan dan Mohamad Sabu 261 undi.

Undi yang diperolehi oleh Nasharudin adalah kurang daripada 50% menggambarkan betapa sengitnya pertarungan kali ini. Bagi jawatan Naib Presiden perwakilan nampaknya berlaku adil dengan memilih seorang daripadanya dari kalangan ulamak. Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat undi terbanyak untuk kerusi berkenaan dengan mendapat 871 undi. Bekas Ketua Pemuda, Sallahudin Ayub menepati ramalan apabila menang dengan undi kedua terbanyak dengan 824 undi. Percubaan kali ketiga Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berjaya membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih undi sebanyak 663 undi bagi menempatkan diri disalah satu daripada tiga kerusi berkenaan.


Keputusan Penuh adalah seperti berikut:

PRESIDEN (Menang Tanpa Bertanding)

Abdul Hadi Hj Awang

TIMBALAN PRESIDEN

Nasharudin Mat Isa

NAIB PRESIDEN

Tuan Ibrahim Tuan Man, (877)
Salahuddin Ayub (824)
Mahfuz Omar(663)

18 AHLI JAWATANKUASA yang terpilih pula adalah seperti berikut:

1. Mohamad Nizar Jamaluddin - 854.
2. Idris Ahmad - 799.
3. Kamaruddin Jaafar - 769.
4. Azizan Razak - 653.
5. Hassan Ali - 642.
6. Dr Mohd Hatta Ramli - 638.
7. Abdul Ghani Shamsuddin - 637.
8. Abu Bakar Chik - 622.
9. Hanifa Maidin - 619.
10. Amiruddin Hamzah - 606.
11. Dr Lo Lo Ghazali - 598.
12. Ghani Abdul Rahman - 584.
13. Zulkefli Mohamad - 576.
14. Syed Azman Syed Mohamad - 530.
15. Hashim Jasin - 522.
16. Mazlan Aliman - 513.
17. Taib Azmuddin Mohamad Taib- 508
18. Mujahid Yusuf Rawa.- 488

Tahniah kepada yang menang. Jangan kecewa bagi mereka yang kecundang. Adat bertanding ada kalah dan menang.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Daulat Tuanku ! Dirgahayu Tuanku!



MERAFAK SEMBAH DAN MENJUNJUNG KASIH
SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI
AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL MUKTAFI BILLAH SHAH

SEMPENA

SAMBUTAN ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA
PADA 6 JUN 2009 BERSAMAAN 12 JAMADILAKHIR 1330H


Ikhlas daripada patik:

Amir Hamzah b Hj.Mohamad
Semerah, Batu Pahat,
Johor Darul Takzim
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, June 4, 2009

'Tiga Abdul' PAS Bertanding Timbalan Presiden.

Semasa Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia saya ada menulis artikel berkenaan pertandingan tersebut bertajuk 'Tiga Abdul' Calon Ketua Pemuda UMNO. Cerita 'Tiga Abdul' rupanya berulang dalam Muktamar Agung PAS kali ini cuma jawatan yang menjadi rebutan lebih tinggi sedikit iaitu Timbalan Presiden.

Semasa pertandingan Ketua Pemuda UMNO, Khairy yang 'dibenci' oleh ahli UMNO akhirnya memenangi jawatan ketua pemuda akibat perpecahan undi antara Mukhriz, calon favorite dan Khir Toyo calon under dog. Ahli UMNO mahupun pemuda memang mengharapkan Khairy kalah tetapi perwakilan masih memberi undi kepadanya. Maka timbullah cerita perwakilan pemuda sebahagiannya 'dibeli' oleh Khairi.

'Tiga Abdul' di dalam PAS ini iaitu penyandang Ustaz Nasharuddin, Husam dan Md.Sabu mempertaruhkan nasib untuk dipilih oleh perwakilan.Tiga Abdul mengisahkan pergolakan keluarga Ismet Ulam Raja, seorang hartawan di Isketambola. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Apabila bapa mereka meninggal dunia, Abdul Wahab dan Abdul Wahib mula bersikap tamak dengan membolot semua harta peninggalannya. Manakala, Abdul Wahub yang benci dengan sikap tamak abangnya, memutuskan persaudaraan dengan mereka. Ramai orang tahu kisah dalam cerita ini.

Filem terakhir arahan dan lakonan P. Ramlee yang diterbitkan oleh Malay Film Productions Ltd. sebelum beliau berpindah ke Merdeka Studio di Kuala Lumpur seolah-olah menyamai bilangan calon dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini. Siapakah diantara mereka bertiga menyamai watak dalam filem Tiga Abdul itu?

Ada yang berpendapat, Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mestilah terdiri daripada kalangan ulamak bagi mengekalkan keaslian PAS sebagai parti yang bertunjangkan ulamak. Menurut mereka, Timbalan Presiden adalah bakal pengganti Presiden PAS yang semestinya warak, alim dan mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

Pandangan seumpama itu seolah-olah menafikan peluang golongan profesional untuk menerajui PAS sampai bila-bila. Mereka hanya berpeluang menduduki jawatan no 3,4 dan seterusnya. Kalau Presiden dan Timbalan Presiden Ulamak, Dewan Ulamak pun Ulamak, Majlis Syura juga ulamak, Mursyidul Am pun ulamak maka adalah ditakuti akan menimbulkan jurang antara ulamak dan bukan ulamak di dalam PAS.

Atas dasar itu agaknya yang menyebabkan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang dan Dewan Pemuda Pas Kelantan yang berpendapat bahawa pemimpin yang bukan daripada aliran agama juga boleh memimpin parti itu. Turut menyokong Ahmad Awang ialah Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yang turut bersaing merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.

Ada juga berpendapat,pemilihan jawatan kanan PAS boleh diselesaikan dengan kaedah syura atau kompromi. Pertandingan yang sengit ini boleh membawa kepada perpecahan. Dewan Ulamak dan Dewan Pemuda boleh menggunapakai konsep Syura, mengapa bagi jawatan tertinggi ini tidak boleh? tanya mereka yang bersetuju dengan pemilihan secara syura. Malangnya Nik Aziz bersetuju pula agar pertandingan diteruskan supaya demokrasi di dalam PAS terus subur. Apa tah lagi 'ayam laga'nya tutut bertanding dan mempunyai harapan menang. Husam adalah orang kesayangan Nik Aziz dan orang kepercayaan Anwar Ibrahim. Beliau adalah calon pilihan untuk menang.

Keputusan pertandingan ini akan menyerlahkan lagi hala tuju perjuangan PAS akan datang. Jika Husam menang, PAS dilihat sedang menyediakan pengganti yang boleh bekerjasama dengan lebih ‘rapat’ dengan komponen pakatan pembangkang, Husam dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim dan bersedia ‘tunduk’ kepada Anwar, Husam dilihat keras dan tidak akan ‘berbaik-baik’ dengan Barisan Nasional (BN)dan Husam boleh ‘bertolak-ansur’ dalam perkara-perkara yang ada ‘kepentingan’ bagi parti seperti Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Husam mewakili kumpulan erdogan di dalam PAS.(hambali1.blogspot.com)

Nasharuddin nampaknya tertekan dengan persepsi yang dimainkan oleh Husam kerana beliau dikatakan orang yang boleh memulakan hubungan dengan UMNO dan BN. Lebih buruk, kempen orang Husam terhadap Nasharudin ialah kononnya beliau cuba membawa PAS bergabung dengan Umno. Tetapi Nasharuddin tetap mempunyai penyokong yang lebih selesa dengan kesederhanaan, kesabaran, keilmuan agamanya dan paling penting Nasharuddin mewakili golongan ulamak. Kalau dalam cerita Tiga Abdul, Nasharuddin mewakili watak Abdul Wahub.

Walau siapa pun menang ianya tidak membawa apa-apa kesan kepada UMNO/BN. PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat dan terus diperkudakan oleh Anwar Ibrahim. Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar adalah tali barut Anwar di dalam PAS sekian lama dan Husam akan menjadi 'ayam sabung' Anwar dalam pilihanraya akan datang. Bagi pendedahan lanjut sila baca blog (www.x-pkr.blogspot.com).Penulis blog ini mendedahkan siapakah Kamaruddin dan Husam di mata abang Nuar.

Persoalan yang bermain di kepala saya ialah adakah keputusan dalam pertandingan jawatan pemuda UMNO akan berulang dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS?. Adakah undi kepada Nasharuddin dan Husam berpecah dua iaitu pertandingan hidup dan mati antara pro ulamak dan pro profesional sedangkan Md. Sabu yang mendapat untungnya nanti.

Akhir kalam, selamat bermuktamar dan selamat memilih kepada semua perwakilan PAS yang datang daripada seluruh negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Teruskan Awang Selamat. Jangan Gentar !


Utusan Melayu, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939 dengan menggunakan tulisan Jawi, dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British. Pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman telah diterbitkan. Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan pembangunan intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudiannya telah melahirkan kepemimpinan politik yang berkesedaran tentang persediaan untuk mencapai kemerdekaan.

Pada bulan Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ibu pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Utusan Melayu telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu, yang pada tahun 1963 diperluaskan untuk merangkumi wilayah yang lebih besar untuk menubuhkan negara Malaysia.

Pada hari ini Utusan Melayu yang telah dikenali sebagai Utusan Malaysia masih menjadi akhbar utama orang Melayu. Berdasarkan lebihkurang 300,000 naskhah yang terjual setiap hari dimana majoriti pembacanya adalah orang Melayu, akhbar ini masih menjadi lidah, telinga dan mata kepada orang Melayu. Akhbar ini masih lagi kekal sebagai pembela kepada orang-orang Melayu khususnya dalam perkembangan mutakhir politik dewasa ini yang benar-benar mengancam politik Melayu.

Apabila penulis pojok Awang Selamat menulis artikel 'Melayu dikhianati' sebenarnya ianya bukan mewakili batang tubuh Awang Selamat seorang tetapi mewakili setiap batang tubuh dan roh Melayu. Apa salahnya tulisan Awang Selamat? Mari kita tengok apa yang Awang tulis. Awang cuma menyatakan kembali apa yang pernah diucapkan oleh seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman dan pernah diulas Ridhuan Tee Abdullah) untuk renungan kita semua.

"Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain"

Awang juga menyiarkan semula petikan kata-kata pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1Jun 1965. Katanya "Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka"

Kata Tun V.T.Sambanthan lagi, "Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?"

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara". Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."

Jadi apa salahnya Awang memaparkan semula kata-kata pemimpin Cina dan India di atas? Inilah yang dinamakan salah satu kontrak sosial yang tidak tertulis di dalam perlembagaan tetapi ianya adalah sebagai satu catatan sejarah dan telah dipersetujui bersama.

Awang bukan mereka-reka tetapi ianya adalah fakta bagi menunjukkan betapa baiknya orang Melayu menerima pendatang menjadi warganegara dengan percuma. Sepatutnya kata-kata pemimpin Cina dan India ini dituliskan dalam buku teks sejarah sekolah menengah supaya generasi muda Cina dan India tahu dan faham tentang sejarah mereka. Disebabkan mereka tidak faham lah mereka menuntut segala macam perkara walhal Tok nenek mereka sudah berjanji akan sentiasa memelihara hak-hak istimewa orang Melayu bagi membalas jasa baik orang Melayu memberi kewarganegaraan secara percuma dan mudah kepada mereka.

Bayangkan kalau orang Melayu ini sifatnya seperti Yahudi, jangan mimpilah dapat duduk senang lenang di sini, malah atas ihsan kewarganegaraan itu mereka lebih kaya daripada tuan rumah. Orang yang dulunya menumpang akhirnya menjadi tuan kepada rumah. Sudahlah ekonomi mereka kaut, politik pulak mereka hendak sapu sama. Manusia jenis apakah mereka ini?

TS Muhyiddin kalau hendak memberi komen bacalah dulu artikel Awang. Jangan belum baca sudah keluarkan kenyataan. Awang mewakili suara hati dan roh Melayu. Muhyiddin adalah Timbalan Presiden Parti Melayu terbesar di dunia walaupun Tan Sri adalah Timbalan Perdana Menteri rakyat Malaysia. Sepatutnya Muhyiddin bagi tahu wartawan Cina dan India yang bertanya itu, 'Tunggu dulu, beri masa saya baca dan teliti apa yang Awang tulis. nanti saya komen'. Saya faham sebagai TPM, Muhyiddin perlu jaga semua hati rakyat Malaysia tetapi dalam masa yang sama tolong juga jaga hati bangsa yang seagama dengan Tan Sri. Kalau Tan Sri sudah membacanya, saya rasa Tan Sri akan sependapat dengan saya dan semua Melayu bahawa tulisan Awang tidak salah malah betul belaka.

Disebabkan Tan Sri tersilap atau diputarbelitkan oleh Malaysiakini.com telah membuatkan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menggesa supaya penulis artikel yang didakwa berunsur perkauman yang disiarkan dalam Utusan Malaysia didakwa di bawah Akta Hasutan. Beliau mengutuk Awang Selamat kerana secara tidak langsung telah merujuk kepada kaum India dan Cina di Malaysia sebagai "kaum pendatang".

Samy Vellu baca atau tidak tulisan Awang Selamat? Awang Selamat tidak boleh ditahan ISA kerana ungkapan 'kaum pendatang' tidak mempunyai "kecenderungan menghasut" menurut Seksyen 3 Akta Hasutan 1948. Sejak belajar sejarah di sekolah dalam buku-buku teks memang disebut bahawa orang Cina dan Orang India adalah pendatang yang dibawa masuk oleh British. Jadi salahlah buku teks yang saya belajar. Salahlah cikgu sejarah dan Prof.Qassim Ahmad, pensyarah sejarah saya di USM dulu?. Samy Vellu saman lah Bahgian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya hendak tanya Mr.Samy. Kalau Cina dan India bukan pendatang, kaum itu hendak dipanggil penduduk asal Tanah Melayu ke?.

Saya hendak tanya sekali lagi kepada Mr.Samy?. Hindraf itu pertubuhan halal atau pertubuhan haram?. Kalau sudah haram mengapa Mr.Samy sokong? Mr Samy suruh bebaskan pemimpin-pemimpin Hindraf daripada tahanan ISA. Mereka semua menghina orang-orang Melayu, menghina raja-raja Melayu dan mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu. Mereka menghasut rakyat dan boleh mengancam keselamatan negara. Mr Samy sokong kumpulan haram tetapi meminta orang yang menulis fakta sejarah ditahan ISA. Siapakah yang patut ditahan ISA. Awang Selamatkah atau Mr.Samy Vellukah?

Saya tidak mahu sebut perihal Chin Peng atau kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE)Sri Lanka yang Mr Samy sokong. LTTE bukan saja kumpulan pemisah tetapi turut membunuh ramai golongan Muslim Sri Lanka yang juga adalah saudara muslim kami. Itulah kumpulan yang Mr.Samy sokong. Jika segala mengenai LTTE dan Hindraf disokong, bermakna, seorang 'pemimpin Tamil' bekas menteri kabinet di negara ini hakikatnya merupakan seorang penyokong gerakan subversif yang mengancam negara.

Saya tidak mahu komen berkenaan Zaid Ibrahim yang turut mengecam Awang Selamat. Pada saya Zaid semakin mabuk todi dan apa-apa yang keluar dari mulut orang mabuk jangan dipedulikan kerana mereka sudah tidak berakal. Kepada Awang Selamat teruskan perjuangan yang belum selesai. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Amir Hamzah
Kuala Terengganu
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com


Dipetik daripada www.kudakepang.blogspot.com

Berita Harian 25 Jun 1965 seperti berikut:

KUALA LUMPUR, 24 JUN 1965 – Menteri Kerjayara, Pos dan Telekom, Datuk V.T Sambanthan, hari ini telah bertanyakan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, di negeri mana di dalam dunia ini bangsa-bangsa yang mendatang diterima baik menjadi warganegaranya beramai-ramai.

Beliau menegaskan bahawa hanya negara ini sahaja di dalam dunia ini telah memberi segala kemudahan kepada semua bangsa yang mendatang di sini menjadi warganegaranya.Datuk Sambanthan berkata demikian di dalam Dewan Rakyat tadi ketika dewan mendebatkan titah ucapan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong.

Di dalam ucapannya selama 45 minit, Datuk Sambanthan telah mengkecam hebat sikap Lee Kuan Yew yang memainkan peranan perkauman di sini untuk kepentingan diri sendiri.Beliau menuduh Lee Kuan Yew cuba memainkan politik perkauman dengan mengatakan Kerajaan Melayu Pusat cuba menguasai Kerajaan Negeri.Datuk Sambanthan telah bertanyakan Lee Kuan Yew di mana letaknya logik tuduhannya itu.Katanya:

“Jikalau sungguhlah dakwaan Lee Kuan Yew itu, memang bodohlah pemimpin-pemimpin Melayu di sini dalam tahun 1957 dahulu memberi segala kemudahan kepada bangsa-bangsa asing di sini menjadi warganegara di sini.“Jika benar laungan-laungan Lee Kuan Yew itu bahawa Kerajaan Melayu Pusat hendak mengusai bangsa-bangsa lain, mengapa mereka membenarkan bangsa-bangsa asing itu dengan senang saja menjadi warganegara di sini”.

“Ini amat bodoh sekali kerana adanya lebih ramai bangsa-bangsa asing (khususnya Cina dan India) menjadi rakyat di sini, tentu sukar bagi orang-orang Melayu di sini hendak menguasai bangsa-bangsa lain itu.

“Jika benar mereka hendak menguasai bangsa-bangsa asing di sini, mereka denga mudah sahaja berbuat demikian dalam tahun 1957 dahulu dengan tidak memberi kemudahan untuk bangsa-bangsa asing menjadi warganegara.Beliau menerangkan bahawa sungguhpun orang-orang Melayu telah bermurah hati menerima baik bangsa-bangsa asing, tetapi sekarang ini mereka itulah (Melayu) golongan bangsa yang termiskin sekali.

Datuk Sambanthan bertanya:

“Siapa yang memiliki bandar-bandar dan gudang-gudang serta ladang-ladang di sini. Adakah gudang-gudang dan ladang-ladang ini dimiliki oleh orang-orang Melayu?”

(Berita Harian: 25.6. 1965).

Tuesday, June 2, 2009

Jangan Derhaka Kepada Sultan Terengganu !!!


Rakyat Terengganu pada umumnya sukakan kepada MB yang ada sekarang , Ahmad Said berbanding dengan MB lepas , Idris Jusoh. Ahmad Said lebih disenangi oleh rakyat Terengganu dan direstui oleh Sultan Terengganu yang juga DYMM Yang DiPertuan Agong. Namun Ahmad Said kurang di senangi oleh kumpulan 10 atau kumpulan 18 yang katanya diketuai bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, YB Dato Rasol Wahid.

Saya teringat dengan Allahyarham Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang disenangi oleh rakyat Terengganu. Beliau adalah bekas guru sangat rapat dengan rakyat. Namun begitu, Razali tidak popular di kalangan ahli-ahli UMNO. Mungkin Allahyarham tidak terlibat dengan rasuah politik atau kedekut dari segi kewangan. Beliau akhirnya tewas dalam perebutan sebagai perwakilan G7 ke Perhimpunan Agung UMNO. Seorang ahli Parlimen tidak berjaya menjadi perwakilan ke pusat. Agak pelik tetapi itulah politik.

Adakah kumpulan 10/18 ini ada kaitan dengan Idris Jusoh tidak pula ditelah dengan tepat. Penulis pun baru dua hari berada di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' untuk bercuti. Dalam sehari dua ni dapatlah penulis berbual-bual dan sembang-sembang kosong dengan beberapa orang rakyat Terengganu. Rata-rata mereka kurang senang dengan tindakan mendesak Ahmad Said supaya meletak jawatan dan hasrat kumpulan ini untuk undi tidak percaya kepada MB Terengganu yang mendapat perkenan Sultan.

Penulis tidak mahu memihak kepada sesiapa tetapi dalam keadaan Terengganu yang semakin maju dan cemerlang ini harapan saya agar pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu menyahut hasrat PM iaitu 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.Tidak cukup dengan itu, mereka mula mengugut parti, kononnya untuk keluar dari UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Idris Jusoh memang mempunyai jasa besar dengan mengembalikan Terengganu kepada BN berikutan kemenangan cemerlang melalui 'Gelombang Biru' dalam pilihanraya 2004. Selepas kemenangan besar Pok Yeh dikatakan gemar membuat projek-projek mega yang tidak mempunyai kesan langsung kepada rakyat Terengganu kecuali Patrick Lim yang kaya raya. Tambahan pula hubungan Pok Yeh dengan sultan sering kali dingin sehingga sultan tidak berkenaan Pok Yeh menjadi MB selepas pilihanraya 12 lalu. Hanya Sultan Terengganu, Perlis dan Perak yang mempunyai kuasa mutlak di atas perlantikan MB.

Kekalutan di Perak perlu diambil iktibar. Berikutan krisis di Perak, kita separuh mati mempertahankan Sultan Perak di atas kebiadapan Nizar yang hilang jawatan MB dan Karpal Singh yang berhasrat menyaman Sultan Perak. Kumpulan 10/18 yang mendesak MB meletak jawatan, mengugut undi tidak percaya dan keluar parti adalah satu tindakan derhaka kepada Sultan kerana Ahmad Said adalah MB yang diperkenan Sultan.

Blogger-blogger pro kerajaan mungkin tidak mahu 'double standard' dalam kes-kes kebiadapan dan derhaka kepada Sultan. Adakah adil Nizar dan Karpal Singh disanggah secara bersungguh-sungguh tetapi memejamkan sebelah mata apabila segelintir pemimpin UMNO Terengganu yang cuba derhaka kepada Sultan Terengganu? Adil kah kita kepada Ahmad Said yang saya rasa turut disenangi oleh kebanyakkan rakyat Terengganu. Mengikut kata beberapa rakyat Terengganu, MB yang ada lebih bersifat 'kekampungan' dan mudah berjumpa berbanding Pok Yeh yang tidak mesra alam.

Kumpulan 10/18 ini tidak mengutamakan kepentingan parti dan negeri tetapi mementingkan tembolok sendiri. Mungkin mereka ini 'mewah' dan 'kenyang' semasa Pok Yeh jadi MB, sedangkan sejak Ahmad Said menjadi MB mereka banyak kehilangan 'duit tepi' selain gaji dan elaun. Ini yang dikatakan berkepentingan diri.

Agaknya mereka tidak mendapat apa-apa kepentingan kepada projek pendidikan e-Book yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah?. Ini merupakan satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Projek e-Book sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Projek yang mendapat peruntukan RM30juta setahun daripada kerajaan negeri itu turut melonjakkan nama MB sendiri selaku negeri perintis melakukan program e-book di negara ini.

Projek e-book ini sebenarnya memberi terus hasil minyak Terengganu itu pulang kepangkuan rakyat Terengganu. Bukan seperti projek mega seperti Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man atau pun pertandingan berprestij Monsoon Cup yang tidak memberi pulangan terus kepada rakyat akar umbi. Bukankah ini membuktikan kesungguhan MB untuk terus berkhidmat kepada rakyat Terengganu.

Pada ketika penulis berada di Terengganu ini, satu kejadian memalukan telah berlaku apabila bahagian bumbung Stadium Sultan Mizan yang melengkung ranap dan menghempap tempat duduk. Stadium yang baru berusia setahun ini adalah sebahagian kompleks sukan termoden yang bernilai RM350 juta di bina di kawasan 150 hektar selain prasarana sukan termasuk bowling, skuasy dan badminton.

Projek di bawah bekas MB Pok Yeh ini perlu disiasat segera. SPRM perlu membuat siasatan terperinci termasuk jangkaan berlaku rasuah dan penyelewengan. Kontraktor, jurutera, pegawai yang meluluskan dan bekas exco sukan negeri perlu disiasat kerana keruntuhan struktur bangunan baru ini amat memalukan. Jangan salahkan cuaca dan tuhan tetapi buat siasatan kepada kerja-kerja tangan manusia.

Saya pun berasa hairan, mereka ini (kumpulan 10/18) ini beriya-iya sekali mempamerkan rasa benci serta meluat kepada kepimpinan Ahmad Said. Sepatutnya jawablah kes terbaru bumbung stadium roboh ini yang seolah-olah membuktikan pemerintahan Pok Yeh beserta puak-puaknya yang mengautkan keuntungan yang banyak daripada projek RM350 juta itu. Harganya yang mahal tetapi kualiti buatan dan penyelewengan bahan adalah satu kemungkinan berlaku.

Tuhan maha adil, dalam mereka mendesak MB letak jawatan,MB lancarkan e-book yang melonjakkan namanya dan dalam masa yang sama bumbung stadium pulak roboh. Pembinaan stadium itu adalah semasa pemerintahan boss mereka. Saya sebagai rakyat biasa akan mempertahankan Ahmad Said sebagai MB perkenan Sultan. Kita akan mempertahan Sultan Terengganu seperti mana kita mempertahankan Sultan Perak. Apatah lagi penderhaka itu pemimpin UMNO.

Amir Hamzah
Kuala Terengganu
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com