Tuesday, February 24, 2009

Tingginya Akal Budi Melayu - Pak Lah Menteri Kanan


Apabila Datuk Mohamad b Aziz, Ahli Parlimen Sri Gading mencadangkan Pak Lah sebagai Menteri Kanan maka terdengar di sana sini mengatakan apa hebatnya Pak Lah sehingga diberi keistimewaan itu, Tunku, Tun Hussein dan Tun Mahathir tidak pun dilantik sebagai Menteri Kanan selepas mereka tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Bagi Datuk Mohamad Aziz, alasannya 'Apabila Perdana Menteri kita ini lepaskan jawatan, beliau akan menjadi anggota Parlimen biasa. Jadi kedudukan dia dalam Dewan ini di mana, takkanlah hendak duduk di sebelah Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin), tidak patut la kan?

"Agaknya boleh tak kita ikut negara jiran bagi beliau kedudukan Menteri Kanan. Pasal Perdana Menteri yang lepas-lepas tidak berhenti di tengah jalan dan tidak bertanding dalam pilihan raya berikutnya," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. - www.kudakepang.blogspot.com

Rasanya memang tidak menjadi masalah cadangan ini. Pertama ianya lahir daripada mulut Ahli Parlimen BN. Kedua, Pak Lah mendapat sokongan tanpa berbelah bagi daripada Pakatan Rakyat khususnya PAS yang secara terbuka melalui Presiden dan Musyidul Amnya. DS Anwar juga patut menyokong kerana jasa Pak Lah melepaskannya daripada penjara.

Di negara Singapura, apabila seseorang Perdana Menteri bersara daripada kerajaan, maka dia akan dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Kanan oleh Perdana Menteri berikutnya. Menteri Kanan yang terkini ialah Goh Chok Tong, bekas Perdana Menteri Singapura yang telah memegang jawatan ini sejak 12 Ogos 2004. Menteri Kanan sebelum Goh ialah Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura pertama. – dipetik daripada Wikipedia Bahasa Melayu.

Oleh itu, rakyat ingin tahu juga apakah bidang-bidang kuasa, keistimewaan, kemudahan-kemudahan dan sebagainya yang diperolehi Menteri Kanan yang pertama di Malaysia ini.

Adakah jawatan ini adalah khusus kepada Perdana Menteri yang meletakkan jawatan sedangkan beliau masih ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama. Seperti kata Mohamad Aziz 'Berhenti di tengah jalan dan tidak bertanding dalam pilihan raya berikutnya'

Adakah ianya akan menjadi kes rujukan pada masa akan datang dan seterusnya menjadi tradisi dan amalan dalam UMNO bagi kes-kes yang sama pada masa depan?

Walaupun saya antara rakyat yang menyokong peralihan kuasa ini, tidak bermakna saya tidak dapat melihat walaupun sedikit jasa dan sumbangan Pak Lah kepada negara. Mohamad Aziz menambah, 'langkah itu sesuai kerana jasa Abdullah yang terlalu besar kepada rakyat, negara dan Parlimen sepanjang menjadi pemimpin negara hingga kini'. Satu perkara yang saya berasa bangga ialah kesungguhan Pak Lah dalam membenteras rasuah dengan menjadikan SPRM sebagai satu badan bebas yang mempunyai kuasa yang lebih luas.

Bagi saya, walaupun mungkin ramai yang kurang bersetuju tetapi cadangan ini memperlihatkan betapa tinggi akal dan budi Melayu dalam hidup bermasyarakat. Penolakan Pak Lah bukan atas batang tubuhnya tetapi pada dasar-dasarnya yang lemah yang merugikan parti dan negara.

Penolakan Pak Lah bukan bersulamkan kebencian tetapi beralaskan kasih sayang, penghormatan dan pengiktirafan. Atas dasar jiwa yang bersih dan fikiran yang waras kemungkinan cadangan ahli Parlimen veteran Sri Gading ini ada kewajarannya.


Amir Hamzah,
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: