
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah mengagaskan formula 'ABCDE' untuk meningkatkan kualiti dan integriti penjawat awam di seluruh negara. Kalau kita perhalusi satu persatu huruf-huruf dalam
formula 'ABCDE' ini, ia ibarat tonik paling mujarab yang harus dijadikan panduan terbaik untuk para penjawat awam melaksanakan tugas dengan sempurna.
Huruf A yang membawa maksud 'AMANAH' memperihalkan akan peripentingnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh majikan dan juga kerajaan. Jangan mengkhianati kepercayaan yang diberi ini dengan membuat sesuatu yang boleh merosakkan integriti kerja seperti 'mencuri tulang',mengamalkan rasuah atau bersifat
bengis terhadap pelanggan. Jika amanah itu menjadi pegangan, pasti akan begitu minimum atau tidak kedengaran langsung keluhan dan komen negatif pelbagai pihak terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam.

Konsep pekerja yang bersifat ulul albab dizahirkan melalui huruf B yang bermaksud 'BIJAK'. Ulul albab dalam sektor awam "merangkumi semua pekerja daripada pembantu am rendah hinggalah kepada ketua jabatan " adalah mereka yang bijak
dan matang mencerna ilmu pengetahuan yang dimilikinya tidak kira ia bersifat duniawi atau ukhrawi untuk membuat kerja dengan baik, berkongsi kepakarannya dengan orang lain, dan sentiasa cuba mendapatkan keredaan-Nya dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang agama.
Sasaran Huruf C untuk 'CEKAP' menggagaskan bahawa penjawat awam perlu mampu mencapai standard kerja yang ditetapkan organisasi dan menepati masa yang ditetapkan. Seseorang penjawat awam perlu mewujudkan sistem ˜aras tanda" iaitu mewujudkan sasaran-sasaran kerja yang realistik dan cuba untuk mencapai bahkan mengatasi tahap
pencapaian tersebut.
"DEDIKASI" yang direfleksikan oleh huruf D mengajak penjawat awam untuk memberikan sepenuh tenaga, buah fikiran dan usaha ke arah pembangunan organisasi secara spesifiknya dan sektor awam secara umumnya. Dedikasi yang tinggi dalam bekerja akan mewujudkan apa yang dipanggil 'sense of belonging' yang menzahirkan rasa sayang dan sikap kebertanggungjawaban terhadap organisasi.
Manakala huruf E pula membawa erti "EFEKTIF". Efektif yang dimaksudkan adalah kerja yang dibuat memberikan kesan yang bermakna kepada diri penjawat awam itu sendiri, organisasi dan terutamanya pelanggan. Umpamanya, jika seseorang operator talian aduan awam sesebuah jabatan menerima panggilan telefon daripada pelanggan, unsur efektif akan wujud hanya apabila aduan pelanggan itu diambil tindakan yang sewajarnya oleh semua pihak dalam jabatan tersebut dan memuaskan hati pelanggan tersebut.
Ramuan 'ABCDE' ini bukanlah terhad sekadar elemen-elemen tersebut sahaja, bahkan jika ada unsur-unsur positif diwakili sehingga ke huruf Z sekalipun, ia perlu diamalkan dalam bekerja dan diyakini membantu seseorang penjawat awam itu mencipta kesempurnaan dalam bekerja. Rasionalnya, sehingga bila-bila sektor awam akan sentiasa
"berkhidmat kepada rakyat" dan perkhidmatan yang diberikan perlulah kekal di kelas pertama.
Walaubagaimana pun setelah membaca satu artikal dalam blog Parpukari yang bertajuk 'BILAKAH PEGAWAI KERAJAAN AKAN BERUBAH SIKAP?'Saya berpendapat kekalahan BN di 5 buah negeri dalam pilihanraya ke 12 yang lalu bukan hanya terletak dibahu ahli-ahli politik atau wakil rakyat semata-mata tetapi turut dipertanggung jawabkan ke bahu penjawat-penjawat awam. Ini kerana ahli-ahli politik atau ahli-ahli parlimen adalah pembuat dasar sedangkan penjawat awam adalah pelaksana dasar.

Saya membuat petikan daripada tulisan tersebut antaranya:
'terlalu banyak perkara yang mengejutkan saya, antaranya dalam isu tanah..hampir semua daerah mempunyai masalah yang sama. Isu geran, isu teroka tanah secara haram dan pelbagai lagi masalah yang tidak sepatutnya berlaku, masih berlaku dalam tahun 2009 ini'
Ada penduduk yang telah berpuluh tahun tidak mendapat geran, ada yang telah tinggal puluhan tahun tapi akhirnya tanah tersebut menjadi milik pihak lain..kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Sedangkan sistem pemerintahan yang ada sudah cukup lengkap..ada Ketua Kampung, ada Penghulu, ada Pegawai Daerah, ada Wakil Rakyat, ada Pengarah Tanah, ada Exco dan ada Menteri Besar. Masalahnya semua pihak ini tidak menjadikan budi bicara sebagai amalan dalam menjalankan tugas, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan jika semua pihak menggunakan pendekatan mengutamakan budi bicara terlebih dahulu semasa menjalankan tugas.
Sebagai contoh yang pernah saya alami, ketika saya memohon permit pembantu rumah di salah sebuah Jabatan Kerajaan, saya terpaksa berulang-alik sebanyak 5 hari berturut-turut kerana masalah yang sangat kecil, pada hari ke-6, saya sudah mula merasa rimas kerana masalah yang tidak juga selesai, saya bertanya kepada kerani yang menjaga kaunter dengan nada yang agak tinggi, saya bertanya apakah tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah saya atau saya perlu menjerit sekuat hati di depan khalayak ramai..dan akhirnya kerani tersebut memberitahu saya yang ianya boleh diselesaikan dengan budi bicara pegawai atasan beliau..saya mendesak untuk berjumpa dengan pegawai tersebut dan akhirnya saya dapat berjumpa dengan pegawai atasan tersebut..amat mengejutkan saya apabila urusan kecil yang telah mengambil masa saya selama 6 hari telah dapat diselesaikan dalam masa tidak sampai 3 minit! Terlalu mudah jika mereka mahu membantu dan menggunakan budi bicara.
Begitu juga pandangan saya dalam banyak kes yang berlaku dalam kes tanah atau apa saja masalah rakyat..yang menjadi masalahnya apa juga masalah orang politik, Menteri Besar jugalah yang akan dipersalahkan..malahan ada pegawai kerajaan selalu menggunakan Menteri Besar sebagai tempat untuk dipersalahkan..sebagai contoh:- Jika berlaku kes kecurian pasir di satu tempat, apabila ada protes maka akan ada pihak yang mengatakan 'kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana ini adalah kuasa Menteri Besar', sedangkan pihak yang berkata begitu adalah pegawai penguatkuasa, kes kecurian pasir bukan masalah Menteri Besar! Itu adalah tanggungjawab pihak penguatkuasa, tetapi untuk mengelak dari dipersalahkan, maka Menteri Besar yang menjadi mangsa..
Saya juga tertarik dengan komen-komen yang diberikan berdasarkan tulisan di atas, antaranya:
'Sebenarnya saya telahpun kemukakan laporan penuh risikan dan siasatan saya ke peringkat tertinggi pimpinan Negara, termasuk juga satu naskah untuk YAB Menteri Besar Perak. Saya melakukan ini adalah dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas mahu Kerajaan Yang ada Sekarang dapat mengubahnya gelagat penjawat-penjawat awam yang telahpun saya laporkan. Ia amat penting untuk diterjemahkan dan di ambil tindakan segera, kerana ia menjadi impak paling besar terhadap kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan sedia ada.
Sila halusi dan ambil tindakan segera. Memang tidak dinafikan bahawa Pejabat Daerah & Tanah lah yang paling banyak menjadi rungutan rakyat. Oleh itu, cara yang terbaik adalah mengenakan tindakan disiplin kepada pelaku-pelaku ini. Siasatan perlu dilakukan dan SPRM perlu meletakkan pegawainya untuk menyamar sebagai kakitangan Pejabat tanah, ini boleh dilakukan dengan kesepakatan Pimpinan Ketua2 Jabatan, melainkan Pemimpin ini juga terlibat sama dalam kegiatan rasuah. Kerana setiap pergerakan fail perlu ada imbalan duit suapan. SPRM perlu bertindak segera.
IMEJ KERAJAAN SEKARANG AKAN TERUS TERCEMAR DISEBABKAN PELAKU-PELAKU INI. Tindakan berat perlu diambil bila sudah cukup bukti, biarlah kita hilang satu pegawai, tetapi rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan.
Satu lagi punca yang jelas dapat dilihat adalah kakitangan itu sendiri adalah penyokong kuat pembangkang, so, mereka akan bertindak untuk membantutkan usaha-usaha kerajaan untuk menambaikkan mutu perkhidmatan, dengan itu, rakyat akan terhasut dan percaya akan hasutan ini. Oleh itu, saya juga menyarankan agar satu badan bebas bagi meneliti pergerakan mereka, jika didapati mereka telah menyalahgunakan perkhidmatan memboikot dan mengadu-domba dikalangan pegawai, maka tindakan tegas perlu di ambil segera. Kita sepatutnya mengawal "barah ini dari merebak membawa parah" agar usaha-usaha kerajaan dengan melaksanakan KPI tidak terbantut. Cegahlah ia sebelum parah.
Antara komen lain yang menarik dan kontroversi:
Tolong pi siasat, banyak kakitangan kerajaan di kalangan guru dan pekerja hospital terang-terangan menentang kerajaan. Mereka buat-buat tak tahu, bahawa kakitangan kerajaan mana boleh terlibat dengan politik. Mereka lupa, masa mula-mula kerja dulu, mereka telah angkat sumpah akan taat setia kepada kerajaan yang memerintah. Sekarang ini bukan setakat menentang, malah ada yang terang-terangan memburuk-burukkan kerajaan.. walhal mereka lupa gaji yang mereka peroleh adalah daripada kerajaan yang mereka hina dan keji. Saya memohon agar kakitangan kerajaan yang menentang kerajaan sendiri dikenakan tindakan tatatertib.
Ketua-ketua jabatan harus melapurkan salah laku kakitangan di bawah mereka, terutama yang tak ada kerja lain, hanya mencerca kerajaan. Yang hairannya, bila dapat BONUS, merekalah antara kakitangan yang TERamat gembiranya. Lupa bahawa bonus yang diperoleh juga daripada kerajaan.Oleh itu, besarlah harapan saya, agar kakitangan kerajaan yang didapati menentang kerajaan DILUCUTKAN jawatan mereka, diisi dengan orang-orang yang setia kepada kerajaan.
Saya juga memohon, MB Perak yang baru, pi round hospital-hospital kat Perak, pi round sekolah-sekolah kat Perak,pi round jabatan-jabatan kerajaan di Perak.. dapatkan feedback tentang mereka-mereka yang didapati petualang dalam jentera kerajaan. Ambil tindakan segera sebelum parah.
JANGAN LUPA, KEBANYAKAN KAKITANGAN KERAJAAN YANG RAJIN BERSEMBANG DAN CURI TULANG ADALAH DI KALANGAN MEREKA YANG ANTI KERAJAAN.
Bagaimana komen anda pula?
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com