Thursday, October 20, 2011

Muammar Gaddafi terbunuh!



Selepas Saddam Hussein, seorang lagi pemimpin negara Islam yang juga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam pertempuran dengan rejim yang menumbangkan pemerintahan pemimpin berkenaan secara pemberontakan.

Rejim berkenaan yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengesahkan Gaddafi terbunuh dalam serangan terakhir di bandar Sirte.

“Kami mengumumkan kepada dunia Gaddafi telah dibunuh oleh pasukan revolusi,” kata jurucakap NTC, Abdel Hafez Ghoga. - AFP

Satu laporan berita dari Al Jazeera juga menyebut beliau telah terbunuh. Punca kematian Gaddafi akibat daripada kakinya yang cedera parah selepas diserang bertubi-tubi oleh tentera pealihan kerajaan (NTC) dengan bantuan tentera NATO yang berjaya menawan kubu terakhir Gaddafi di bandar kelahirannya, Sirte. Jurucakap NTC,

Jamal abu-Shaalah yang juga komander operasi menangkap Gaddafi berkata, semasa ditawan, Gaddafi merayu supaya tidak ditembak kerana kedua-dua kakinya cedera teruk semasa pertempuran.

Satu lagi laporan menyebut bahawa Gaddafi bersembunyi di dalam lubang bawah tanah setelah cuba melarikan diri menggunakan lebuh raya menuju ke sempadan Tunisia. Jurucakap NTC yang berada di Sirte, Abdel Majid berkata Gaddafi dikejarkan ke hospital menggunakan sebuah ambulans.

Majed juga menyebut semasa pertempuran tersebut, ketua turus tentera Gaddafi, Abu Bakr Younus Jabr terbunuh berhampiran dengan tempat di mana Gaddafi ditawan. Agensi berita Reuters turut mengesahkan bahawa Gaddafi terbunuh, sebentar tadi. - AAKJ

Selepas Muammar Gaddafi disahkan terbunuh, tentera pemberontak mendedahkan anak pemimpin itu Mo’tassim turut diberkas dalam pertempuran di Sirte.

Televisyen Al Jazeera dan Al Arabiya turut menyiarkan berita penangkapan Mo’tassim. - REUTERS

Tuesday, October 18, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PERKASA Kali ke 2

Semua perwakilan negeri Johor seramai 100 orang seperti mana yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Perkasa Johor di Kluang dijemput hadir ke MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE 2.

Tarikh : 26 Oktober 2011 (Rabu) Bersamaan 28 Zulkaedah 1432H
Tempat : Dewan Centrum, Tingkat 5, Kompleks Centrum, No.1, Jalan 8, Taman Setiawangsa, 54200, Kuala Lumpur.
Perasmi : Mantan Ketua Polis Negara, Ybhg Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.
Pendaftaran : 8.30 pagi.- 9.30 pagi.
Majlis Perasmian : 9.30 pagi -12.30 tengahari
Mesyuarat Agung : 2.30 ptg - 6.00 petang

Agenda Mesyuarat:
1. Ucapan Presiden
2. Meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Yang Pertama
3. Pembentangan laporan Tahunan oleh Setiausaha Agung daripada 1hb januari 2010 hingga 31hb Dis 2010 untuk diterima dan diluluskan.
4. pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari Agung daripada 1hb januari 2010 hingga 31hb Dis 2010 untuk diterima dan diluluskan.
5. Pembentangan dan perbahasan usul-usul.
6. Pengulungan dan Ucapan penangguhan
7. Ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke 2 oleh Pengerusi Tetap.

Semua perwakilan dikehendaki menaiki kenderaan secara berkongsi daripada daerah masing-masing. Semua daerah telah ditetapkan menghantar 9 perwakilan kecuali Kulaijaya 8 perwakilan. AJK Perkasa Negeri seramai 20 orang. Pakaian Baju Melayu bagi perwakilan lelaki dan Baju Kurung bagi Wiranita dan Wirawati


Selamat bersidang.

Amir Hamzah b Hj Mohamad
Setiausaha kehormat,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor

Friday, October 14, 2011

Johor Tak Selamat, Tapi Datang......


Akibat mengeluarkan kenyataan di Singapura yang menyatakan 'Johor tidak selamat', Lim Guan Eng (LGE) dikecam hebat sehingga dia memohon maaf kepada DYMM Sultan Johor.

Permohonan maaf itu dianggap tidak ikhlas oleh sesetengah pihak. Ada yang menganggap DAP membuat pengadilan berpilih kerana tidak mengantung keahlian DAP kepada Lim Guan Eng seperti mana yang dihadapi oleh Manoharan.

Pertubuhan Pembangunan Kaum India Pulau Pinang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Majlis Tertinggi DAP yang mengantung Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan selama enam bulan berhubung satu kenyataan tentang Jalur Gemilang menerusi Facebook.

Dalam masa yang sama, Lim Guang Eng juga telah melakukan kesilapan dengan mengutuk dan membuat dakwaan yang buruk terhadap negeri Johor sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Johor tidak dikenakan sebarang tindakan.

Hakikatnya masih ada yang 'terbuku di hati' kepada LGE. 12 Oktober 2011 yang lalu, ratusan penduduk di Segamat berkumpul di hadapan Restoran Siang Hai Kee di Kampung Abdullah bagi membantah kedatangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada satu majlis makan malam anjuran DAP di restoran tersebut.

Kebanyakan yang datang, masing-masing hendak 'memulang paku buah keras' kepada LGE. Rata-rata di kalangan mereka dengan sinis menyatakan 'Kalau tidak selamat, mengapa datang'?

Baca berita di sini Penduduk bantah kedatangan Guan Eng

Kedatangan LGE ke Segamat, menunjukkan P140 Segamat antara kerusi parlimen sasaran bagi DAP. P140 Segamat bukan lagi kerusi selamat kepada BN tetapi selamat untuk DAP.

Berdasarkan komposisi kaum di P140 Segamat dengan Melayu: 40.99%, Cina: 47.68%, India: 11.26%, Lain-Lain: 0.07%, DAP berasa yakin untuk mengalahkan Dr S.Subramanian (MIC/BN)dalam PRU akan datang. Keputusan PRU ke 12 lalu, DAP berjaya menurunkan majoriti kemenangan BN di mana BN mendapat 15,921 dan DAP meraih 12, 930 undi.

LGE dengan muka tidak tahu malu, tetap turun ke negeri yang dikatakan tidak selamat untuk menagih undi daripada pengundi di Segamat. Demontrasi aman yang dbuat oleh ratusan penduduk Segamat adalah ingin menunjukkan kepada LGE, penduduk Segamat tidak semudah itu digula-gulakan oleh LGE.

Penduduk Segamat sepatutnya sudah berpuas hati dengan pengagihan kerusi di Parlimen Segamat di mana P140 Segamat diserahkan kepada calon MIC/BN, N1 Buluh Kasap diwakili oleh calon UMNO/BN dan N2 Jementah diwakili oleh calon MCA/BN. Pengagihan ini sudah cukup sempurna melambangkan toleransi antara parti-parti di dalam BN.

Kedatangan LGE ke Segamat membuktikan kenyataan LGE itu sebagai fitnah dan satu pembohongan.

Johor tak selamat, Segamat selamat pulak......Tolak LGE, tolak DAP sekali di Segamat.

Amir Hamzah Mohamad
KL Internasional Hotel.

Saturday, October 8, 2011

Penghargaan Najib kepada penjawat awam

Walaupun baru beberapa hari lalu mengkritik Najib kerana memuji Namewee yang dikatakan ada kelainan tersendiri disamping dikatakan sangat memahami konsep gagasan 1 Malaysia, tetapi petang 8hb Oktober 2011, ramai yang tersenyum lebar.

Bagi saya, kes Namewee satu cerita lain sementara pembentangan budget satu cerita lain. Sebagai kakitangan awam, sepatutnya mengucap syukur ke hadrat Allah atas nikmat yang diberikan dan berterima kasih kepada Najib dan kerajaan semasa yang sedang memerintah kerana prihatin dan peka dengan permasalahan rakyat khususnya penjawat-penjawat awam.

Walaupun budjet semalam adalah defisit di mana unjuran perbelanjaan lebih besar daripada unjuran pendapatan tetapi ramai pihak membuat komen seperti berikut, SEKALUNG TAHNIAH BUAT YAB PERDANA MENTERI DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK DENGAN PEMBENTANGAN BAJET 2012 "DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA" SALAH SATU BAJET TERBAIK YANG PERNAH DIBENTANGKAN NEGARA.

Agak janggal sedikit dengan budjet kali ini dimana cukai rokok dan arak tidak dinaikkan. Maka harga rokok dan arak kekal seperti harga sekarang.

Berita tentang budjet pada 7 Oktober 2011.

1. Membela rakyat, sejahtera negara
2. 1.2j penjawat awam naik gaji
3. Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan
4. Pembentangan Budjet 2012 berjalan lancar.

Kalau ada yang nak berkata, ianya adalah budjet pilihanraya......dengan pantasnya aku menjawab...ye, sudah tentu. hehehe

Amir Hamzah Hj Mohamad
Batu Pahat.

Thursday, October 6, 2011

Namewee: Menasihati Bukannya Memuji



Pengarah filem Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee, mendapat sokongan Najib kerana dikatakan menyokong Gagasan 1Malaysia perlu terus menyokongnya melalui kreativiti mereka tersendiri.

"Bagi Namewee dan pihak-pihak lain yang menyokong 1Malaysia, yang penting sekali baginya ialah menyokong apa yang sedang kita lakukan untuk negara ini, saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia.

"Saya menggalakkan beliau untuk terus memberi segala pandangan beliau melalui cara sebagai blogger atau mungkin cara-cara lain seperti penerbitan filem dan sebagainya yang mencerminkan sokongan kepada Gagasan 1Malaysia,” katanya.

Mengulas beberapa video yang dihasilkan oleh Namewee yang dikatakan menimbulkan kontroversi, Najib berkata Namewee merupakan seorang individu yang ada kelainan tersendiri.

"Saya tak nak beri komen, tapi sebab masing-masing ada kelainannya. Dia merupakan seorang yang ada kelainan dia, bukanlah merupakan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,” kata Najib.

Namewee yang berkelulusan ijazah sarjana muda komunikasi massa dari sebuah universiti di Taiwan menjadi pengarah untuk filem Nasi Lemak 2.0 yang kini sedang ditayangkan di pawagam yang mendapat bantahan ramai.

Apa Namewee sudah lakukan?.Tentu kita belum terlupa, anak muda ini pernah mencipta lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh. Selepas itu anak muda ini telah menghina TNB dan dalam lagu bertajuk 'Kawanku menghina Melayu' dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’ melalui youtube yang ditonton oleh berjuta orang.

Tidak cukup dengan itu, dia membuat satu lagi klip video yang menghina seorang pengetua di Kulaijaya dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah. Selepas Utusan Malaysia mengeluarkan artikel bertajuk 'Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...' yang ditulis oleh Fauziah Arof, akhirnya Utusan Malaysia pun di'fuck' oleh anak muda ini.

Saya tidak pasti sama ada Najib menonton atau tidak semua video klip Namewee ini. Kalau dia ada menonton, apakah perasaannya sebagai seorang Perdana menteri dan Presiden UMNO juga Pengerusi Barisan Nasional. Jika dia belum menonton, mengapa beliau begitu berani memberi komen yang mengundang kecaman dan rasa ketidakpuasan hati sebahagian besar rakyat negara ini?

Bagaimana Najib boleh tergamak mengeluarkan perkataan seperti Namewee mempunyai kreativiti tersendiri, mempunyai kelainan, bukan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya atau dengan lain perkataan seorang yang unik. Pujian yang melambung ini diberikan semata-mata kononnya anak muda ini menyokong dan sangat memahami konsep gagasan 1 Malaysia.

Benarkah Namewee menyokong gagasan 1Malaysia? Bukankah objektif utama gagasan 1 Malaysia adalah perpaduan. Adakah dengan menghina orang Melayu, agama Islam, agensi kerajaan, kementerian, pegawai kerajaan, pekerja swasta dan akhbar itu menuju ke arah perpaduan.

Kelainan apa yang dibawa oleh Namewee ini?. Adakah menyuarakan ketidakpuasan hati dan mengkritik dengan lagu dan senikata yang menyakitkan itu satu kelainan yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri? Adakah Perdana Menteri mengiktiraf cara dan kaedah seperti ini? Bagaimana pula selepas ini akan muncul anak-anak muda lain yang membuat perkara yang serupa?

Klip video yang dilakukan oleh Namewee ini seolah-olah tidak menjadi satu kesalahan kepada Najib malah dipuji melambung. Ini lah uniknya seorang anak muda yang boleh berjumpa menteri dan berjumpa perdana menteri.

Rakyat tidak marah jika Perdana Menteri memberi layanan 5 bintang kepada Datuk Lim Chong Wei yang sentiasa mengharumkan nama negara dan mengekalkan Malaysia sebagai antara kuasa badminton dunia. Chong Wei boleh dianggap istimewa, ada kreativiti, ada kelainan dan unik.

Sepatutnya, sebagai perdana menteri, Najib tidak perlu memberi sebarang komen ke atas anak muda yang kontroversi ini. Tidak perlu mencela dan jauh sekali tidak perlu memuji. Sebagai Perdana Menteri, beliau boleh menasihati anak muda ini supaya menjaga hati dan perasaan orang lain dalam menyampaikan rasa ketidak puasan hati.

Sepatah nasihat dan tunjuk ajar tidak diberikan oleh Najib, dan menteri-menteri lain yang berpeluang berjumpa dengan pemuda ini. Adakah mereka juga berasa 'takut' jika Namewee akan memaki dan menghamburkan kata-kata lucah di dalam youtube nanti?

Sebagai rakyat dan orang Melayu, saya berasa kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang tidak mengambil kira perasaan dan maruah orang Melayu. Sesetengahnya pernah membuat laporan polis atas beberapa klip video yang biadap dan menghina dengan harapan pemuda ini disiasat dan diberi pengajaran.

Hari ini, sia-sia laporan polis yang dibuat apabila seorang perdana menteri memberi keistimewaan kepada pemuda ini. Harapan saya, Perdana Menteri tidak mengulangi perkara yang serupa kerana sudah acap kali hati kami terluka.

Tulisan ini bukan untuk menyerang Perdana Menteri. Ianya sekadar pendapat daripada seorang rakyat kepada pemimpin. Kadang-kala pendapat dan saranan daripada rakyat yang tidak ada kelainan atau unik ini perlu didengar juga untuk kebaikan kepada negara.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat