Wednesday, December 8, 2010

CSL: Parasit dalam BN


Jikalau Chua Soi Lek hendak menghentam UMNO di dalam Perhimpunan Agung MCA tidaklah menghairankan kerana semua orang tahu ,inilah masanya dia hendak menunjukkan taji ayam kampungnya. Berkokok direban sendiri juga dilakukan oleh kebanyakan pemimpin parti tetapi apabila menyalak di dalam Konvension BN baru-baru bukanlah masa atau tempat yang sesuai.

Najib sudahpun berkata di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa jangan diungkit-ungkit lagi perkara-perkara yang menyentuh hak istimewa orang Melayu kerana ianya sudah terkunci kemas dan kuncinya ada ditangan raja-raja Melayu. Walaupun mana-mana parti politik yang mendapat majoriti dua pertiga sekalipun tidak berupaya untuk mengubah kecuali mendapat restu orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu itu sendiri.

Chua Soi Lek (CSL)bukan sahaja tidak menghiraukan ungkapan dan nasihat itu malah sekali lagi menunjukkan keras kepalanya di dalam konvension yang sepatutnya menjadi medan memperkukuhkan ikatan dan persefahaman di dalam BN. Malah sepatutnya perkara hak Melayu ini tidak boleh dibicarakan lagi baik secara tertutup atau terbuka jika mahu persefahaman yang sekian lama dibina ini mahu berkekalan. Adakah ucapan CSL dalam konvension BN ini mendapat restu kepimpinan parti MCA atau tidak, Jika ya, MCA tentu tidak akan lama lagi berada di dalam BN.

Secara terbuka tanpa menghiraukan kehadiran ahli-ahli daripada parti komponen yang lain, CSL meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya, tidak ada abang sulung atau adik bongsu. Dalam kata lain MCA tidak mahu ada sistem “abang besar, abang kecil” dalam BN. CSL tidak mahu keputusan penting kerajaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, sebaliknya keputusan itu perlu dibuat dalam Kabinet.

Apatah lagi keputusan-keputusan penting itu dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Adakah CSL tidak gemar dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Muhyiddin berkenaan dengan syarat wajib lulus matapelajaran Sejarah di peringkat SPM semasa perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu misalnya? Apakah perlu, membuat keputusan subjek sejarah sebagai matapelajaran wajib lulus bagi mendapat sijil SPM itu dibincangkan bersama MCA. Sedangkan dalam masa yang sama MCA mahu isikandungan matapelajarn sejarah itu ditulis semula tanpa menjelaskan bahawa orang Cina itu sebagai 'pendatang'.Bagaimana fakta sejarah mahu diubah seperti mana Singapura yang berjaya mengubah fakta dengan menghilangkan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud sebelum kedatangan British.

Keputusan-keputusan penting kerajaan berkaitan orang Melayu sepatutnya tidak perlu dibincangkan bersama MCA lebih-lebih lagi manusia yang bernama CSL ini. Mengapa mahu dibincangkan sedangkan CSL anti kepada 'Ketuanan Melayu' dan beberapa istilah lain yang begitu sensitif di telinga CSL spt “pendatang” (immigrants), “penumpang” (passengers), “terhutang budi” (indebted to)dan “kurang patriotic” (unpatriotic). CSL melarang pemimpin-pemimpin Melayu menggunakan istilah ini kerana kononnya dengan istilah ini menyebabkan sokongan kepada BN berkurangan. Mengapa soal-soal berkenaan usaha kerajaan untuk membantu orang Melayu yang berjumlah 60% itu perlu mendapat persetujuan 'adik bungsu' atau 'abang kecil' seperti MCA?

Perlukah perkara-perkara seperti 'affirmative action' terhadap orang Melayu dibincang bersama CSL sedangkan dia yang berkeras mahu koata 30% pembahagian dan pengagihan kek ekonomi kepada Melayu dan bumiputera itu dihapuskan?

CSL seperti juga Lim Kim Sai menuntut juga jawatan penting kerajaan diberikan kepada parti beliau seperti mana diberikan kepada Muhyiddin dan Hisahamuddin. Secara tersirat dan halusnya CSL mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran dan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada MCA. CSL mungkin tidak akan dapat tuntutan ini jika MCA berada di dalam BN tetapi CSL boleh 'menaruh harapan' jika MCA berada di dalam Pakatan Pembangkang. Pertama CSL tentunya akan mendapat janji-janji manis dan enak terlebih dahulu, dapatnya pun belum pasti.

Sebagai orang lama, CSL tidak sepatutnya menyebut istilah 'big brother' di dalam BN kerana tidak berlaku aktiviti buli, kezaliman, penindasan di dalam BN. MCA juga mendapat hak yang sepatutnya dia dapat dan sepatutnya dia tak dapat. Contoh hak yang sepatutnya dia tak dapat ialah walaupun banyak kerusinya kalah dalam PRU ke 12, masih ada wakil MCA di dalam kabinet malah bertambah lagi bilangannya. Beberapa kerusi majoriti Melayu diberi pinjam oleh UMNO seperti Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain kepada MCA, Gerakan dan MIC. Jika UMNO itu parti 'pembuli' bagaimana parti itu boleh 'meminjamkan' 42 kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen yang disebutkan itu.

CSL juga perlu berhati-hati apabila membicarakan 'Ketuanan Melayu', menolak 'Ketuanan Melayu' sama juga menolak raja-raja Melayu. Ketuanan Melayu sama ertinya dengan Ketuanan Raja. Raja-raja Melayu adalah tuan kepada rakyat tanpa mengira kaum dalam konteks negara demokrasi dan Raja berparlimen seperti Malaysia. CSL harus sedar bahawa dia juga berasal daripada negeri yang mempunyai Sultan. Dia bukan orang Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur maupun Sabah atau Sarawak. CSL harus faham kerana kedudukannya sebagai seorang rakyat yang bukan janggal dengan institusi Raja-Raja Melayu atau sememangnya CSL menyokong kepada gerakan mahu menghapuskan sistem Raja-Raja berperlembagaan seperti mana yang dikehendaki oleh Wan Azizah? Jika begitu perkiraannya mengapa mahu bersekongkol lagi di dalam BN jika hanya mahu menjadi duri dalam daging kepada Barisan Nasional.

Bagi sesetengah penganalisis politik kedai kopi melihat provokasi yang dilakukan oleh CSL ini adalah semata-mata untuk menebus kesalahannya dan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan-perwakilan MCA yang melantiknya sebagai Presiden MCA. Jikalau dilihat kepada perkiraan akal yang waras, bagaimana seorang yang 'tidak bermoral' boleh dilantik dan dipilih ke jawatan presiden parti. CSL tentu sekali berterima kasih. Bagi membalas budi, CSL akan membuat apa saja asalkan dia popular dan dipandang hebat dikalangan ahli-ahli partinya serta disanjung oleh Siqiu dan Dong Zhong. Pendek kata CSL sudah termakan budi.

Tidak sukar untuk menyamakan CSL dengan Zaid Ibrahim. CSL duri dalam daging kepada BN seperti mana Zaid Ibrahim sebagai parasit di dalam PKR.

Amir Hamzah
Batu Pahat.