Monday, February 16, 2009

PAS Sokong Pak Lah : Ajaib tetapi Benar!


UMNO telah mengambil keputusan agar peralihan kuasa secara teratur akan berlaku antara Pak Lah dan Najib pada Mac 2009. Peralihan kuasa dari seseorang pemimpin ke seorang pemimpin bukan lah perkara asing dalam UMNO. Almarhum Tunku telah menyerahkan kuasanya kepada Allahyarham Tun Razak. Allahyarham Tun Hussein kepada Tun Mahathir dan akhir sekali Tun Mahathir kepada Pak Lah 6 tahun yang lalu.

Tradisi ini memperlihatkan ahli-ahli UMNO begitu rasional terhadap seseorang pemimpin kerana UMNO lebih mementingkan kepentingan parti dan rakyat daripada kepentingan individu. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi berkuburnya UMNO akan menyebabkan hilang tempat bergantung orang Melayu yang tidak boleh disangkal lagi jasa-jasa dan pengorbanannya kepada orang Melayu, negara dan Raja-raja Melayu.

Pengorbanan Tunku, Tun Hussein, Tun Mahathir dan akhirnya Pak Lah jarang-jarang berlaku di mana-mana kalangan pemimpin baik di Malaysia maupun seluruh dunia. Lazimnya, pemimpin akan melepaskan kuasanya kerana terpaksa ,kalah dalam pilihanraya, revolusi rakyat atau sebagainya. Pemimpin juga akan jatuh jika adanya perebutan terhadap kuasa, harta dan wanita.

Ketika seluruh ahli UMNO merestui peralihan kuasa mengikut tradisi UMNO, timbul pula kenyataan sokongan daripada PAS melalui pemimpinnya seperti Hadi Awang dan Nik Aziz. Mengapakah kedua-duanya lebih selesa berada sebagai pembangkang ketika Pak lah sebagai PM?. Sejak bila pulak mereka berdua ini serasi, sebulu dan seirama dengan pemimpin no.1 UMNO ini.

Mengapa sokongan seperti ini tidak pernah kedengaran di zaman Tun Mahathir menjadi PM?. Bukankah kedua-duanya daripada parti yang sama dan tidak ada dasar yang ketara berbeza di zaman Tun M dan zaman Pak Lah. Di zaman Tun M dan Pak Lah hukum hudud masih lagi belum terlaksana. Apakah kelebihan Pak Lah sehingga menjadi 'buah hati pengarang jantung' kepada Hadi dan Nik Aziz.

Adakah Pak Lah jarang menggunakan ISA di zaman pemerintahannya? Tetapi Nik Adli masih lagi merengkok di Kamunting. Mungkin juga Nik Aziz hendak 'membodek' Pak Lah buat kali terakhir agar Nik Adli dibebaskan sebelum peralihan kuasa nanti.

Ramai berkata, Pak Lah lebih terbuka dan liberal sehingga semua orang boleh bersuara. Demokrasi di zaman Pak Lah hampir-hampir menyerupai demokrasi tulen. Dasar keterbukaan Pak Lah banyak membantu Pakatan Rakyat dalam pilihanraya sehingga menguasai 5 negeri dan menafikan kemenangan 2/3 BN dalam parlimen buat kali pertama.

Jika Pak Lah terus menjadi PM sehingga pilihanraya ke 13 nanti, mereka berdua sudah boleh memasang angan-angan Pakatan Rakyat untuk merealisasi perjalanan ke Putrajaya. Percubaan pertama mereka PAS,DAP dan Semangat 46 gagal dalam Pilihanraya Umum tahun 1990. Barisan Alternatif juga kalah teruk dalam pilihanraya Umum 2004. Pakatan Rakyat gabungan PKR, PAS dan DAP berjaya dengan cemerlang dalam PAU 2008 sehingga menguasai 5 negeri dan ramai pemimpin-pemimpin utama mereka berada di Parlimen.

Dalam senario politik yang tidak menentu, BN kelihatan semakin jauh di hati rakyat. UMNO sedang bergelut untuk membetulkan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu. MCA, Gerakan dan MIC masih tidak kebah-kebah daripada demam dan masih kecewa di atas kekalahan besar ketiga-tiga parti itu.

Maka, UMNO dan BN mestilah dihapuskan segera sebelum pilihanraya ke 13 atau selepas Pilihanraya umum. Adalah lebih mudah menjatuhkan BN dan UMNO ketika ahlinya bercakaran sesama sendiri, perebutan kuasa, rasuah dsbnya. Jika Pak Lah terus menjadi PM, ini adalah peluang terbaik untuk Pakatan Rakyat.

Namun hasrat murni PAS itu mungkin tidak tercapai apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan dalam titahnya semasa merasmikan sidang Dewan Rakyat hari Isnin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Perdana Menteri bulan hadapan. Sehubungan itu, baginda berharap, peralihan kepimpinan itu akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: