Thursday, February 12, 2009

Pak Lah: Dengarlah Cakap Orang Bukit Gantang!


Pemimpin-pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan juga PRK Kuala Terengganu. Khususnya PRK Kuala Terengganu di mana dikatakan ahli UMNO tidak memberi sokongan 100% kepada calon pilihan Pak Lah dan Khairi.

Setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang menjadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat berdasarkan krisis politik yang berlaku di Perak. Kemenangan atau kekalahan BN di Bukit Gantang nanti akan memberi gambaran umum tentang pendirian rakyat Perak sama ada bersetuju atau menolak peralihan kuasa kerajaan negeri baru-baru ini.

Bagi mempastikan sokongan orang-orang Melayu khususnya UMNO terhadap calon yang diketengahkan nanti ianya mestilah berdasarkan pandangan dan kehendak orang-orang Melayu akar umbi khususnya dan UMNO Bahagian Bukit Gantang amnya. Undi Melayu adalah undi penentu berdasarkan statistik pengundi 2008.

Jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang menunjukkan pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruhan. Pecahannya adalah seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

Perkara yang pasti, calon BN mestilah datang daripada UMNO. UMNO telah berkorban dengan menyerahkan calon Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada pilihanraya 2004 atas semangat setiakawan dalam BN. Kini tibalah masanya masyarakat bukan Melayu menyokong calon UMNO berikutan kemerosotan pengaruh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihanraya Mac 2008 yang lalu.

Perkara kedua, calon UMNO mestilah dari kalangan anak jati Bukit Gantang dan diterima oleh ketua-ketua cawangan dan UMNO Bahagian Bukit Gantang kerana merekalah yang akan bekerja kuat dan merekalah yang mengundi. Tegasnya, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bukanlah calonnya kerana beliau bukan anak Bukit Gantang. Beliau ini adalah orang Batu Gajah, menjadi ketua bahagian Bukit Bintang.

Tambahan pula,dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Pendapat saya ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad.
"BN biasanya cepat belajar. Saya yakin BN, terutama UMNO pasti sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan kempen yang dilakukan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu," katanya.

Menurut Shahrir, beliau percaya berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada kedua-dua PRK itu, BN boleh mengaturkan strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.
"Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi," katanya kepada agendadaily.

Perkara ketiga, selain pilihan UMNO akar umbi dan UMNO Bahagian ianya mestilah mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak yang baru bukannya terdiri daripada orang-orang Pak Lah atau Khairi. Sentimen anti Khairi dalam UMNO amat ketara di Kuala Terengganu. UMNO perlu belajar banyak perkara di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Perkara keempat, budaya mengutuk, menghentam, membelasah PR secara keterlaluan melalui ceramah dan media massa hendaklah diganti dengan budaya menjelas, menerang dan mesra pengundi. TV 3 jangan menjadi lebih sudu dari kuah. Isu yang berlebih-lebih akan menambah rasa meluat dikalangan pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti.

Perkara kelima, Isu-isu peralihan kuasa kerajaan baru ini perlu dijelaskan secara berhemah, mudah difahami oleh masyarakat luar bandar, rasional dan boleh diterima oleh akal rakyat teramai. Penerangan secara jujur dan telus amat diperlukan bagi menangkis gambaran yang telah terpesong.

Berilah rakyat berfikir dan membuat keputusan dengan ikhlas bukannya mengundi BN kerana mendapat habuan, hadiah dan janji-janji manis.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 comments:

adriadra said...

Salam saudara,

Beberapa hari berlalu tanpa bingkisan dari saudara membuat saya tertanya-tanya.

Amat bersetuju benar dengan beberapa pendapat saudara. Antara yang paling dipersetujui adalah calon dari UMNO dan calon tempatan.

Ini pengalaman saya... kawasan saya diami adalah terdiri dengan majoriti berbangsa melayu. Sebelum pecahan dibuat Parlimen ini diisi oleh seorang dari UMNO dan pastinya berbangsa melayu. Teringat saya ketika itu angin pilihanraya bertiup kencang. Kawasan ini dibahagi 2 yang mana kedua-duanya adalah majoriti melayu. Malangnya atas dasar toleransi dan tolak ansur satu pecahan Parlimen diserah kepada MCA dan satu lagi kepada UMNO.

Teringat juga saya ketika itu riak wajah Dato Astamam yang agak terkejut. Melayu-melayu di sini kebanyakannya mahukan ianya diwakili oleh bangsa melayu sendiri. Ianya bukan perkauman tetapi atas dasar membela nasib bangsa tempatan seharusnya datang dari rias bangsa itu sendiri. Beberapa solat hajat dan memorandum meminta supaya hak itu dikembalikan sebelum pilihanraya dibuat. Malangnya ianya tidak terjadi dan Dato Astamam akhirnya dicalonkan di Parlimen Titiwangsa dan menang.

Parlimen yang terpisah ini akhirnya menjadi kerusi wakil MCA. Bagusnya wakil rakyat MCA ini adalah membela nasib bangsanya. Selalu dia berada rapat bersama bangsanya dalam pelbagai acara. Acara keagamaan, pesta dan sebagainya kerap dianjur. Munasabah juga takkan dia hendak ke surau untuk solat atau memberi lembu barang seekor tika tiba hari raya korban. Kelibatnya jarang bersama orang melayu dan bersama penduduk sekitarnya yang menjadi majoriti pengundi.

Adalah sekali itu pada waktu angin pilihanraya tahun 2008 bertiup, wakil rakyat ini datang ke tempat saya. Berbaju kemeja lengkap tapi untuk acara gotong royong. Datang tidak sampai 30 minit dan menyatakan kehairanan kerana wujudnya komuniti kami. Ianya seperti langsung tidak dalam pengetahuannya.

Jelas penolakan pengundi terhadapnya pada pilihanraya tahun 2008 dan dia kecundang ditangan wakil rakyat cina PKR lain pula. Soalnya apakah melayu di sini suka mengundi wakil PKR itu? Jawapannya adalah tidak tetapi kerana tiada pilihan selain memberi signal jelas akan kemahuan penduduk tempatan.

Buktinya kawasan ini pernah menjadi pertempuran sengit antara Dato Marina Yusof dari PKR dan Dato Zulhasnan Rafique dari UMNO pada tahun 99/2000.

Oleh itu harapannya adalah supaya kita tidak terlalu bertolak ansur kerana akhirnya secara beransur-ansur kita akan ditolak.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam saudara Azmi,

4 hari saya tidak sempat menulis kerana berkursus di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang anjuran jabatan saya bertugas.

Walaupun tidak menulis tetapi masih sempat membaca blog-blog yang lain cuma fokus ketika itu adalah berkenaan kursus yang sedang di lalui.

Walau bagaimana pun saya amat peka dan faham situasi yang berlaku di kawasan saudara.

Namun begitu mungkin saudara boleh komen berkenaan dengan beberapa situasi yang saya akan sebutkan berkaitan dengan 'perkongsian kuasa' antara UMNO dan parti-parti komponen yang lain.

1.Mana ada satu pun kerusi parlimen di Malaysia yang pengundinya India hatta termasuklah di Sungai Siput. Kalau begitu wakil-wakil rakyat MIC bertanding atas kapasiti apa?

2. UMNO pernah menang 12 kerusi DUN di Pulau Pinang semasa pilihanraya 2004 sedangkan Gerakan menang 8 kerusi. Mengapa Gerakan masih menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan UMNO memenangi 12 kerusi? Atas faktor apakah yang membolehkan Koh Soo Koon menjadi Ketua Menteri PP sehingga Mac 2008?

3. Akhir sekali cuba kita lihat perbandingan antara Parlimen Bukit Bintang yang mempunyai 100 ribu lebih pengundi yang mana majoritinya adalah pengundi Cina, tetapi Bukit Bintang hanya 1 kerusi Parlimen sahaja. Bandingkan dengan Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar yang turut mempunyai 100 ribu pengundi lebih di ketiga-tiga Parlimen berkenaan yang majoritinya Melayu di mana di situ ada 3 kawasan Parlimen Melayu.

4. Perkongsian kuasa yang begitu strategi sebelum ini nampak cacar marba selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu di mana MCA, MIC dan Gerakan kalah teruk berbanding UMNO.

5. Dahulu mungkin rakyat boleh menerima 'perkongsian kuasa' ala BN tetapi jika diikut kawasan majoriti mungkin tidak ada satu kerusi pun untuk MIC.

6. Kadang-kadang kita memang kecewa melihat pembahagian kerusi yang tidak menepati hasrat penduduk tempatan. Kadang-kala kita juga perlu melihat situasi pembahagian kerusi di secara keseluruhan di seluruh negara.

7. Sebagai sebuah negara berbilang kaum, inilah satu cabaran paling maksima dalam membuat penentuan dan melayan kehendak-kehendak manusia yang pelbagai.

8. Disebabkan kekalahan besar MCA, MIC dan Gerakan kemungkinan kawasan-kawasan majoriti Melayu akan diberikan kepada calon UMNO. Soalnya adilkah BN jika memperkatakan konsep 'perkongsian kuasa'?

9. Dalam Parlimen Bukit Gantang, Calon UMNO anak Bukit Gantang sangat relevan untuk dicalonkan.

Itu cuma pandangan peribadi saya.
Maafkan saya jika saya tersilap

Terima kasih.