Sunday, February 8, 2009

Karpal Mengunci Pemuda UMNO dan AMK!


Bernama memetik Karpal sebagai “mengingatkan mana-mana pihak yang membuat laporan polis terhadapnya berhubung tindakannya mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, supaya bersedia dengan apa juga akibatnya.” Katanya: “jangan main-main dengan saya.” Kenyataan ini merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Tanjong dan Balik Pulau. Apakah tindakan Pemuda UMNO?

Pemuda UMNO hari ini adalah Pemuda di zaman Hishamuddin. Hishamuddin mengamalkan politik selamat dan politik cari makan. Hishamuddin banyak bergantung dan bergayut dengan Najib. Kalau Najib tidak memberi lampu hijau, Hishamuddin tidak akan berbunyi. Arahan Najib kepada Hishamuddin dipanjangkan kepada Khairi Jamaluddin. Khairi yang terkenal dengan 'Panglima Lidah Hitam' tidak mungkin akan berdiam diri jika ada lampu hijau tambah-tambah lagi inilah masanya menunjukkan jaguhnya bagi kempen pemuda UMNO tidak lama lagi.

Dalam hal ini, Hishamuddin yang meminta maaf kerana mencium keris dahulu akan terus menyerahkan kepada Najib untuk menguruskan kemelut politik sekarang. Ini yang dikatakan politik selamat. Tidak ada penyerahan memorendam, demontrasi aman atau ucapan berapi-api daripada pemimpin Pemuda UMNO kerana mulut mereka telah terkunci!

Bernama memetik Karpal sebagai "menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.” Karpal juga mengecam Anwar kerana perbuatannya itu (mempromosikan budaya lompat parti). Apakah tindakan Angkatan Muda Keadilan?

Seperti Pemuda UMNO , Pemuda Keadilan atau Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga tidak akan menentang Karpal. Suara AMK juga telah dikunci oleh Anwar Ibrahim. Kenyataan Anwar Ibrahim sendiri terhadap kenyataan Karpal begitu lunak, bersopan dan berhati-hati. Itu bukan gambaran sebenar Anwar, Anwar yang kita kenal adalah raja reformasi dan raja demontrasi bukannya Anwar yang layu dan monyok apabila berhadapan dengan Karpal.

Kalau Anwar pun lebih hormat kepada Karpal daripada DYMM Sultan Perak, apakah yang mampu di buat oleh AMK terhadap kenyataan Karpal itu. Anwar tidak mungkin akan membenarkan satu patah perkataan nista pun dilemparkan ke atas Karpal kecuali dia bersedia 'berperang' dengan Karpal.

Berperang dengan Karpal akan membawa Anwar kepada jalan penuh berliku. Segala peluru ada pada karpal. Sanggupkah Anwar jika Karpal akan meledakkan pelurunya berkaitan peristiwa-peristiwa 1998 dan ada kaitan dengan kesnya dengan SaifulBahri Azlan. Karpal adalah peguam bela Anwar 1998 dan peguam pemerhati bagi kes terbaru ini.

Sanggupkah AMK melihat idola, pemimpin agung dan pemimpin besarnya tersungkur bukan ditangan pemimpin UMNO tapi ditangan seorang tua yang sedang berkerusi roda sekarang ini.

Karpal mungkin sudah sampai ke penghujung kareer politiknya. Dia sudah tidak ada kepentingan lagi dalam DAP. Sebab itu 2 Lim anak beranak pun tidak terlepas daripada peluru berpandu Karpal.

Kesimpulannya Karpal tahu dia tidak akan diserang oleh kedua-dua sayap parti UMNO dan Keadilan ini. Rahsia Najib dan rahsia Anwar mungkin dalam tangan dan koceknya. Kedua-dua pemimpin Melayu ini sedang bersaing untuk ke Putrajaya. Karpal mungkin menjadi penghalangnya! Karpal berjaya mengunci mulut semua orang yang bermasalah.


Amir Hamzah
Batu Pahat.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin

TERBARU: Sumber daripada Agendadaily.com:

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berceramah di kediaman rasmi Menteri Besar Perak Ahad malam tidak menyentuh langsung bab Pengerusi DAP Karpal Singh membelasahnya semasa berucap di situ.Dalam pada itu orang kuat DAP,Lim Kit Siang yang dijadual hadir sama di majlis ceramah itu tidak muncul.Ketika ditemui selepas majlis ceramah itu Anwar menyifatkan kenyataan Karpal beliau tak layak ketuai barisan pembangkang sebagai satu pandangan peribadi.Katanya hal berkenaan tidak berbangkit dalam mesyuarat barisan pembangkang hari ini.- 8/2/2009

No comments: