Friday, February 20, 2009

Nasib Baik Ada Berahim!



Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Kelantan kerana kelantangan, ketegasan, dan tidak berganjak serta berterusan mempertahankan orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu di Dewan Rakyat.Sebagai Ahli Parlimen Bebas, beliau agak lantang mengkritik perkara-perkara yang mengugat secara langsung hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Jangan dilihat sejarah silamnya bersama UMNO atau Semangat 46. Kita perlu melihat kepada situasi sekarang. Istilah 'here and now' adalah sangat bertepatan apabila memperkatakan Ibrahim Ali yang antara satu-satunya pemimpin Melayu yang lantang.

Beliau kadang kala dibantu dan disokong oleh MP Barisan Nasional seperti Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Mohamed Aziz dari Sri Gading, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan YB Fuad Zarkhasyi dari Parlimen Batu Pahat. Cukup lah mereka ini saja yang bercakap dan yang lain-lainnya boleh digunakan untuk mengundi jika perlu.

Terbaru dikatakan Ibrahim Ali tidak boleh menahan sabar sehingga menghempas songkok ketika perbahasan mempertahan Raja-Raja Melayu.

Barangkali sudah fedup dengan sikap pemimpin pembangkang yang cakap tak serupa bikin, sentiasa menangguk di air keruh dan anggap diri mereka sahaja betul dan bersih, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali 'meledak' di Dewan Rakyat pada petang Khamis 19/02/2009 yang lalu.

Ledakan perasaan beliau bukan sahaja meletuskan perang mulut dengan ahli parlimen pembangkang tetapi sebahagian besar daripada mereka termasuk Ketua Pembangkang angkat kaki kerana ada antara mereka panas telinga dan merah muka.

Ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang diPertuan Agong , Ibrahim menyindir dan 'membelasah' anggota Parlimen yang bersikap hipokrit serta sanggup mempolitikkan masa depan anak bangsa untuk kepentingan sendiri.

Pemimpin ini katanya tidak memperjuangkan apa yang sepatutnya mereka perjuangkan ketika berkuasa sebaliknya menghentam kerajaan apabila berada di luar kerajaan.
Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan pemimpin demikian adalah munafik kerana hanya bersetuju perkara yang menguntungkan mereka sahaja.

Kelantangan Pak Berahim kurang disenangi PAS yang memberi laluan kepadanya bertanding dalam pilihanraya Mac 2008 atas tiket PAS bagi Parlimen Pasir Mas.Mengikut perkembangan terbaru, PAS Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan meminta Ibrahim Ali meletakkan jawatannya kerana sering mengkritik parti itu.

Ini bukan soal tidak mengenang budi atau soal mengkritik ahli-ahli parlimen Melayu dari PKR dan PAS tetapi ini soal mempertahankan maruah bangsa, agama dan Raja-Raja Melayu. Sepatutnya apabila menyebut soal maruah bangsa, agama dan raja-raja Melayu tanpa mengira parti ahli-ahli Parlimen Melayu ini akan menjadi senada dan seirama.

Tidak seperti Gerakan, MCA dan DAP, jika kepentingan orang Cina disentuh mereka akan bersatu bersama-sama dengan NGO-NGO dan Pelampau-pelampau Cina terutama apabila berkaitan isu pendidikan.

Soal-soal politik dan ekonomi mereka boleh berbeza. Lantaklah hendak berbahas macam kapal karam pun tidak mengapa. Tetapi rakyat semakin kecewa jika isu-isu besar yang menginjak-injak maruah dan harga diri Melayu dan Islam, pemimpin-pemimpin besar Melayu ini masih enggan bersama sama.Ulamak -ulamak yang menjadi ahli politik dari kalangan orang Melayu gagal menjadi 'warisatul ambia' setidak-tidaknya sama-sama mempertahan maruah Melayu dan Islam yang diperlekeh ke peringkat paling hina sekarang ini.

Saya tidak nampak sekarang ini perpaduan Melayu dan Islam ini boleh tercapai dalam waktu terdekat. Melayu akan bersatu semula setelah kuasa politik Melayu ini terlepas ke tangan orang lain. Walau bagaimana sekali lagi tahniah kepada YB Berahim Ali yang membawa ledakan kemarahan rakyat berkumandang di Parlimen.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

3 comments:

afrohead said...

ibrahim ali menang di pasir mas,
saya amat kagum dengan kelantangan beliau di parlimen.
beliau seorang yang petah berbicara.
dan beliau juga tidak hipokrit seperti pemimpin lain.

cekodokmasin said...

Salam tuan,
Ketika dulu Ibrahim Ali selalu main lompat-lompat. Kita pun fikir dia tak ada pendirian. Alasan mudah kerana dia tak terpilih sebagai ketua UMNO dan dalam kabinet. Tapi sebenarnya, dialah yang berpandangan jauh. Tak suka dia keluar. Yang mustahak, kerja dia dengan para pengundi, berjalan lancar. Sebab tu dia menang walaupun tumpang parti cap panadol.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam anas afrohead,
salam cekodokmasin,

Kita memang perlu ada tiga empat orang 'gedebe'Melayu dalam Parlimen yang pro Melayu.

Tiga empat orang termasuk Berahim yang bercakap lantang hal nasib Melayu adalah mewakili suara majoriti rakyat di luar parlimen.

Di luar pun ada 'Parlimen Rakyat'. Pendek kata Pak Berahim kita ni dapat 'jempol' daripada orang-orang kampung.