Wednesday, April 20, 2011

Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu, 1Bumi


Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu, 1Bumi
Oleh Zaini Hassan

ORANG Cina telah bersatu. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membuktikannya. Malah, sebenarnya orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi.

Perkembangan politik muaasir (kontemporari), selepas era-Mahathirisme dan semasa era-Abdullahisme telah membuktikan ikatan orang Cina lebih utuh dan berpadu. Hubungan kekitaan, kekeluargaan serta brotherhood dan ukhwah orang Cina lebih erat, tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana kaum di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun antara mereka berlainan haluan politik, tapi apabila sampai masa menentukan arah untung nasib kaum Cina – mereka akan bersatu atas pangkahan undi yang sama. (kenyataan ini amat benar sekali jika kita merenung balik kenyataan yang pernah dibuat oleh Presiden MCA Chua Soi Sek bahawa MAC tetap akan bersama DAP jika apa yang diperjuangkan oleh DAP itu membabitkan kepentingan kaum Cina)

Dalam ekonomi, mereka membantu antara satu sama lain. Dari sekecil-kecil ekonomis kepadalah yang sebesar-besarnya, mereka akan tolong-menolong antara satu sama lain.

Budaya telah berjaya menyatupadukan orang Cina. Dalam masyarakat Cina tiada istilah bidaah yang boleh memesongkan mereka daripada soal budaya dan adat resam bangsa. Bahasa Cina diangkat tinggi, malah ada yang kata orang Cina yang tidak boleh membaca Cina pun akan turut membantu membeli akhbar Cina. Maka itu, akhbar Sin Chew Jit Poh – suara keramat orang Cina, menjadi antara akhbar yang paling tinggi edaran dan keuntungannya di Malaysia.

Sekolah Cina terus dijadikan sebagai cagaran politik utama – yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Pendek kata, orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka.

Saya telah nyatakan perkara itu dalam Cuit bertajuk Apa lagi orang Cina mahu? tahun lepas. Tulisan itu dipetik sepenuhnya oleh akhbar Straits Times Singapura dan surat pembaca yang saya terima dari republik itu menyokong penuh tulisan itu.

Apa yang saya katakan ini adalah hakikat atau fakta.

Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia.

Slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina. Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini.

Terus terang saya katakan, saya amat menyanjungi orang Cina. Mereka mempunyai matlamat dan masa depan yang cukup jelas. Walaupun tindakan itu berbau politik atau bukan, soalnya mereka cukup bersatu. Politik digunakan sebaik-baik mungkin untuk menyatupadukan kaum itu.

Kita jangan salahkan DAP. Apa yang DAP lakukan itu amat betul untuk masa depan kaumnya. Jika Pas dipergunakan oleh DAP untuk memecahkan bangsanya sendiri, itulah operatif licik DAP.

DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas. Malah seorang sahabat saya berbangsa Cina, pengarang sebuah akhbar ternama bersetuju bahawa orang Cina kini ke arah menyokong pembangkang. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.

Apa yang harus UMNO lakukan? UMNO harus berfikiran seperti DAPkah?
Pandangan saya, apa yang UMNO harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1Melayu, 1Bumi.

Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain.

Jika Pas degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini. Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. UMNO harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini.

Persetankan Pas yang ternyata telah menggadaikan perjuangan bangsa Melayu untuk kepentingan politik totok mereka. Hairan sungguh, para penyokong Pas akan menjadi lebih kuah daripada sudu semasa berkempen, dan mereka tidak pernah sedar bahawa secara senyap-senyap DAP cukup strategik mempermainkan mereka.

Saya kira, sekiranya lima kerusi Pas di Sarawak itu ditandingkan di kawasan Cina sudah pasti mereka akan menang dan ada wakil dalam dewan undangan negeri. Tapi DAP telah mempermainkan mereka. Pas diletakkan di kawasan kaum bumiputera, bagi membolehkan kaum bumiputera terus berpecah. Pas seperti biasa, tidak sedar semua itu.

Dalam usaha meniupkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, tidak salah 1Malaysia diteruskan kerana ia adalah dasar jangka panjang negara. Parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika UMNO melancarkan gagasan 1Melayu, 1Bumi kerana bagi mereka orang Cina telah pun bersatu.

Tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, saya ada mengatakan orang Melayu berpecah kepada enam golongan. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal dan Melayu Atas Pagar.

Orang Melayu cukup berpecah. Orang Cina tidak akan marah sekiranya orang Melayu bersatu kembali. Mungkin DAPlah yang tidak selesa kerana matlamat mereka untuk memecah-belahkan lagi orang Melayu akan gagal.

Bagi DAP, selagi konsep Malaysia Malaysian mereka tidak berlaku, selagi itu mereka akan berusaha keras untuk menjayakannya.

UMNO harus meniupkan gagasan 1Melayu, 1Bumi ini segera. Orang Melayu harus disatukan segera bagi memastikan mereka menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka.

Walaupun Melayu berpecah, namun ada lagi suara-suara segelintir yang amat sayangkan bangsa. Seorang sahabat umpamanya, menghantar SMS semasa tulisan ini ditulis berbunyi: “Tolong tulis...BN jangan lagi bagi kawasan majoriti Melayu kepada wakil MCA, Gerakan dalam PRU akan datang... cukup sudah pengorbanan UMNO yang dibalas dengan tuba. MCA dan Gerakan WAJIB akur kerana kalau mereka kalah dengan DAP, wakil mereka tak perlu dilantik dalam kerajaan...”

Itu ialah suara marah. Orang Melayu marah. Tapi kita harus rasional. Susun semula barisan dan gelombang satukan orang Melayu.

Saya bercakap bagi pihak bangsa saya. Gagasan inilah yang turut dimainkan oleh sahabat saya, saudara Ridhuan Tee Abdullah, seorang mualaf Cina yang cukup kental jiwa ultra-Melayunya. Orang Cina amat tidak menggemari beliau di atas semangat assabiyah Melayu beliau itu.

Namun bagi Ridhuan, dan orang Melayu yang lain, mereka amat khuatir dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di negara ini sekarang.

Namun, penghargaan harus diberi kepada kaum bumiputera Sarawak yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan begitu betul sekali.

Saya angkat topi kepada kaum bumiputera Sarawak yang dilihat lebih matang daripada orang Melayu di Semenanjung. Sekiranya mereka tidak bersatu dalam pilihan raya 16 April lalu, maka Sarawak sudah tentu akan jatuh ke tangan orang lain.

Orang bumiputera Sarawak telah memberi satu petunjuk yang amat berharga supaya diikuti oleh kaum Melayu di Semenanjung.

Namun, orang Melayu Semenanjung berpecah enam. Mereka masih lagi berpecah enam.

Oleh itu menjadi kewajipan UMNO; atas nama pejuang-pejuangnya yang terdahulu; dan sebagai parti induk orang Melayu; lancarkan segera slogan 1Melayu, 1Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu.

Melayu harus dan wajib disatukan kembali sebagaimana kita mahu satukan orang Malaysia di bawah semangat 1Malaysia. Tiada makna adanya 1Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah.
Kini terletak dalam tangan UMNO untuk menentukan hidup atau mati bangsa ini.

Orang Cina sudah ada 1Cina dalam erti kata tersendiri. Orang Melayu pun perlu ada 1Melayu, 1Bumi. Ayuh gerakkan!

PAKATAN MENGULAS CADANGAN SDR ZAINI UTUSAN:

1Melayu, 1Bumi: Pemimpin Pakatan mahu Najib tindak ke atas Utusan

KUALA LUMPUR, April 20 – Wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dengan mencabar gagasan 1 Malaysia yang bersifat inklusif.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tulisan terbaru Utusan Malaysia yang bersifat “antinasional” membuktikan yang gagasan 1 Malaysia bukan satu kempen yang bertujuan bina negara yang serius, tetapi hanya bertujuan memancing undi melibatkan “Kemeja 1 Malaysia, Tupperware 1 Malaysia, Air Galian 1 Malaysia, Burger 1 Malaysia, akaun e-mel 1M dan lain-lain yang memburu keuntungan menggunakan 1M.”

Kata beliau, dalam membuat gesaan antikebangsaan yang tidak bertanggungjawab, Utusan Malaysia sebenarnya meletakkan Najib dalam ujian sama ada beliau bersedia untuk mengambil tindakan ke atas Utusan dan mereka secara terbuka mencabar dasar 1 Malaysia.

AJK PAS pusat, Khalid Samad sealiran dengan pandangan Lim sambil berkata, editor Utusan Malaysia itu seharusnya dicaj di bawah Akta Hasutan.

“Mereka harus dikenakan tuduhan di bawah perkara-perkara berkaitan hasutan, mencetuskan ketegangan kaum,” katanya lagi.

“Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh mereka adalah salah belaka. DAP berjuang bukan hanya untuk satu kaum sahaja, mereka berjuang untuk sebuah kerajaan yang adil dan telus,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga mendakwa Utusan Malaysia dihantui dengan isu-isu bertunjangkan kaum dan kebimbangan bahawa masyarakat Cina akan menggulingkan kerajaan didominasi Melayu adalah sebahagian daripada “propaganda” Umno untuk kekal berkuasa.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pula memberitahu, tulisan Utusan Malaysia hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak boleh menyesuaikan diri dengan fenomena masyarakat “pelbagai kaum.”

“Ini cara bagaimana mereka hendak menggambarkan setiap perkara... setiap satu adalah konspirasi besar menentang Umno.

“Ia hanya helah untuk kekal berkuasa,” kata Ahli Parlimen Batu ini.-themalaysianinsider.com

8 comments:

tobeng said...

Blogger2 Melayu/Bumi harus bergerak seiring menjayakan kempen murni ini.Semoga gerakan kempen yg bersepadu akan menerbitkan gelombang kesedaran untuk seluruh Melayu/Bumi bersatu.

Cukuplah selama ini bangsa pas dipermain dan diperalatkan oleh komunis dap untuk memecah-belahkan kesatuan Melayu dlm usaha mereka menguasai Tanah Melayu kita ini.

Anonymous said...

hahaha... PR dah mengelabah dah tu... teruskan misi 1Melayu, 1Bumi ini... teruskan

rimaJOHOR said...

Salam Tobeng dan Spin 1001:

Naib Presiden PKR, Tian Chua kata Utusan, PERKASA didakwa apikan sentimen perkauman.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

UMNO berani meletakkan calon MCA / Gerakan / MIC di tengah-tengah majoriti pengundi Melayu. PAP di Singapura sebaliknya. Melayu Singapura mahu PAP mencalonkan satu atau dua calon Melayu untuk bertanding di kawasan undi perseorangan (SMC) yang telah ditambah bilangannya menjadi 12, daripada sembilan sekarang, dalam semakan baru itu. Jika tidak, ke dua belas calonnya terdiri daripada orang Cina.

zedmagel said...

Salam Bro Amir,

Melayu ini harus dikejutkan demi kebangkitan Islamnya, Bangsa dan maruah diri. Tapai payah benar satu kaum yang dinamakan Melayu ini untuk bersatu dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan maruahnya.

Inikah suratan Melayu itu atau kebongokan kaum itu berfikir memangnya begitu?

zedmagel said...

RimaJohor,

Jangan samakan antara Melayu dan PERKASA... PERKASA itu ngo nya. Melayu iti bangsanya. Ada masih ramai lagi Melayu yang bencikan PERKASA apa cerita?

mukhtar said...

Kalau orang Cina jadi PM dan MB, jangan harap dia akan membela Islam dan orang Melayu.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Kalau depa jadi PM atau KM.......mmmmm