Thursday, January 8, 2009

Ulamak mana yang penakut?





Sekitar tahun -tahun 80an - 90an ceramah-ceramah Parti PAS memang popular di negeri-negeri Pantai Barat. Selalunya ianya dimulakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan puji-pujian kepada Rasullah s.a.w. Dari bacaan ayat-ayat suci ini kemudiannya bertukar topik kepada isu-isu semasa yang diulas secara sepintas lalu dan kemudiannyaa dikupas dengan lebih terperinci.

Banyak-banyak pemimpin PAS yang mendapat sambutan hangat seperti bintang filem adalah Mohamad Sabu. Suaranya yang lantang, jenakanya dan ulasannya yang nampak logik dan boleh diterima akal boleh menarik penonton daripada pelbagai peringkat umur terutama daripada golongan muda.Betul atau tidak bukan penting, yang penting penonton akan puas dan seronok.

Suatu ketika apabila membincangkan tentang gejala - gejala sosial dan hukum Hudud, pemimpin-pemimpin PAS akan menyerang ulamak-ulamak yang bekerja dengan kerajaan sebagai 'ulamak suk' atau ulamak penakut kerana tidak memberi pandangan dan nasihat kepada Umarak (pemerintah) tentang jalan-jalan penyelesaian mengikut Islam. Mereka menuduh Ulamak -ulamak kerajaan mementingkan periuk nasi mereka saja tanpa berani menegakkan kebenaran. Lebih teruk lagi, Ulamak kerajaan dimalukan seperti makan gaji buta dan tidak berusaha meningkatkan martabat syiar Islam sesuai dengan kedudukan mereka dalam kerajaan.

Pendek kata ulamak yang berkhidmat dengan kerajaan ini salah belaka. 20 tahun sudah berlalu. Walaupun hukum Allah iaitu hukum hudud, qisas dan ta'zir belum dapat dilaksanakan. Namun sumbangan ulamak-ulamak di Malaysia bukan sedikit nilainya. Banyak sumbangan yang dilakukan melalui badan-badan kerajaan lain,JAKIM, NGO Islam dan sebagainya. Maka tidak adil dan tidak sedap telinga mendengar untuk menuduh ulamak sebagai 'ulamak suk'. Sejak merdeka, ulamak-ulamak yang bekerja dengan kerajaan telah berusaha gigih menyusun atur kehidupan, perundangan, muamalat dan munakahat umat Islam. Dalam sekelip mata, jasa dan sumbangan ulamak-ulamak kerajaan diperkecil-kecilkan dan bukannya hendak berterima kasih.

Sejak isu hudud di dendangkan, sehingga kini masih juga belum terlaksana oleh PAS kerana PAS masih belum menguasai negara ini. Mana boleh hendak menguasai negara ini jika kerusi yang ditandingi kurang daripada 100 berbanding 222 kerusi Parlimen. Kalau hendak juga menguasai pentadbiran peringkat Persekutuan terpaksa pula bergabung dengan DAP dan PKR. PKR macam tidak ada pendirian sementara DAP jelas terang dan nyata menolak hudud.

Dalam keadaan ini, Ulamak-ulamak PAS tidak pula berhajat untuk mengambil tindakan 'berani' untuk mempengaruhi DAP dan PKR. Tindakan yang sepatutnya diambil oleh PAS ialah dengan 'berani'nya keluar daripada Pakatan Rakyat. Mengapa PAS menentang UMNO? Jawapannya UMNO tidak melaksanakan hukum Hudud. Pas tentang habis-habisan. Pemimpin UMNO tidak pernah keluarkan perkataan ' Langkah Mayat Saya Dulu, Jika hendak melaksanakan hukum hudud' tapi UMNO di musuhi sepanjang zaman.

DAP boleh kata apa saja termasuk menghina Hukum Hudud. Tetapi Ulamak-Ulamak PAS membisu seribu bahasa. Berdetik pun tak ada, semuanya menikus. Penakut kah ulamak-ulamak PAS yang 20 tahun dahulu mengatakan Ulamak-Ulamak yang bekerja dengan kerajaan itu 'ulamak suk'. Ulamak mana yang penakut? Bak kata pepatah 'paku dulang paku serpih, mengata orang diri yang lebih'

Soalnya sekarang ulamak dari golongan mana yang LEBIH penakut?


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: