Monday, January 26, 2009

Pak Lah Tiada Pilihan Lain - Berundurlah.........



Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, “budaya dan imej UMNO” perlu dirobah supaya tonggak utama BN ini “disenangi oleh rakyat.”

Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, “UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.” Begitulah harapan bakal Perdana Menteri Malaysia dan bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

"UMNO mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan “hukuman mati” terhadapnya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Syed Hamid Albar

Siapakah yang perlu berubah? Tentu sekali pemimpin-pemimpin UMNO dipelbagai peringkat yang perlu berubah.Apakah yang hendak dibersihkan? Pemimpin-pemimpin UMNO mesti benar-benar bersih bukan kelihatan bersih. Bagaimana? Begini pandangan saya walaupun ianya kelihatan radikal,konservatif dan pahit tetapi mungkin menghasilkan sesuatu yang manis.

1. Pak Lah perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat kepada DS Najib supaya Najib mempunyai kuasa penuh untuk melakukan perubahan dengan segera kerana Najib sudah menang tidak bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

2. Perhimpunan Agung UMNO perlu dipercepatkan bagi membolehkan Najib membentuk kerajaan dan Kabinet baru selewat-lewatnya Mac 2009.

3. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyelesaikan kes-kes politik wang terhadap pemimpin UMNO sebelum Perhimpunan Agung UMNO bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua dan Timbalan Pemuda ,Wanita dan Puteri serta barisan exco bagi memberikan gambaran baru pembersihan yang bersungguh-sungguh oleh UMNO kepada rakyat Malaysia.

4. Cadangan ini adalah cadangan paling drastik dan konvensional kepada UMNO. Berat rasanya untuk mempersilakan Pak Lah berundur tetapi percayalah kebencian rakyat kepada UMNO dan BN bukanlah atas batang tubuh Pak Lah tetapi atas andaian dan persepsi rakyat bahawa pentadbiran Pak Lah telah dikuasai oleh anak, menantu dan Kalimullah serta kroni-kroninya.

5. Jika ianya satu fakta, Pak Lah wajar memohon maaf kepada ahli UMNO atas kekhilafan ini yang menyebabkan UMNO berada di hujung tanduk dan penuh caca merba di waktu ini. Pengunduran Pak Lah mengingatkan kita kepada penyerahan kuasa oleh Tunku Abd Rahman kepada Tun Razak selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969.

6. Dalam situasi yang hampir sama, Najib seperti bapanya perlu melakukan sesuatu. Allahyarham bapanya melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) rentetan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Hari ini Najib perlu memulihkan UMNO dan BN akibat tsunami politik Mac 2008

7. Tindakan drastik ini adalah tindakan paling awal dan perlu. Jangan berlengah lagi sebelum ada malapetaka besar lain yang akan berlaku. Selepas itu ahli-ahli UMNO perlu serahkan dan berikan mandat kepada Najib dan Barisan Kabinet barunya untuk melakukan sesuatu demi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Maafkan saya Pak Lah. Jasanya mu tetap dikenang, pengorbanan mu akan tertulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: