Friday, January 30, 2009

PAS Kedah Selesa, UMNO Kedah Merana.



Tidak seperti di Selangor dan Perak, Azizan Razak kelihatan selesa di Kedah. Jarang kedengaran isu-isu besar di Kedah. Negeri Jelapang Padi yang telah melahirkan dua Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abd.Rahman dan Tun Mahathir nampaknya sudah selesa di bawah pentadbiran PAS.

Isu yang hangat-hangat tahi ayam ialah apabila Menteri Besarnya sendiri yang mengugut akan menebang balak di kawasan tadahan air di negeri tersebut bagi menjana ekonomi negeri tersebut. Jika selama ini kawasan hutan simpan itu amat dikawal daripada melakukan kerja pembalakan bagi mengekalkan ekosistem dan kesemulajadian alam sekitar, kini ceritanya semata-mata terpaksa dilakukan bagi menjana ekonomi negeri terbabit, kawasan kawalan itu bakal dimusnahkan oleh kerajaan negeri yang diterajui PAS.

Hutan Simpanan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar dan estet hutan kekal Bukit Keramat dan Bukit Saiong merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis dan Pulau Pinang.

Namun bagi orang-orang Kedah ada jawapannya. Kerajaan Pusat lambat uruskan peruntukan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendiam diri untuk mencari pendapatan negeri. Lagi pun di Pahang tanah-tanah tinggi dan tadahan air pun sudah gondol dan togel. Kedah saja kah yang perlu menjaga alam sekitar? Begitulah jawab mereka.

Selain daripada isu penebangan balak, ada juga mata tertumpu ke utara tanahair apabila terdengar desas desus wujud serta makin ketara kedinginan hubungan antara Menteri Besar Kedah iaitu Ustaz Azizan Razak dengan Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Malah ada sumber yang memberitahu dan mendakwa bahawa Mahfuz Omar memang tidak menyenangi kepimpinan Azizan dan sering memperkecilkan kemampuannya dalam mentadbir PAS Kedah apa lagi untuk bertanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Memperlecehkan kepimpinan Azizan dan rasa tidak senang kumpulan ini dikatakan tidak dilakukan secara senyap-senyap malah kumpulan ini bergerak secara terbuka untuk memperlekehkan Azizan sebagai ketua parti di Kedah. Tindakan untuk mengkritik ini dikatakan telah sampai ke Menteri Besar Kedah dan beliau dipercayai sedia maklum perkara ini berlaku.

Maka rakyat Kedah pun menjawab, Pemimpin UMNO tidak bergaduh ke? Kalau pemimpin PAS bergaduh, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Bagaimana pula jika Johari Baharum berkrisis dengan Tun Mahathir, hingga sekarang tidak kebah-kebah.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS Kedah juga dicabar untuk menjalankan sistem pentadbiran Islam berteraskan perlembagaaan parti tersebut seperti mana corak pentadbiran di Negeri Kelantan dan mereka amat berharap PAS akan turut mengambil langkah seperti PAS Kelantan dengan mengharamkan segala bentuk perjudian, jualan arak dan membenteras segala perlakuan maksiat sekiranya mereka adalah benar-benar parti yang mendokong perjuangan Islam seperti yang mereka laungkan selama ini. Ini mungkin juga hasrat pengundi yang mengundi PAS dan tindakan segera mereka dalam isu ini patut laksanakan.

Kenyataan pertama daripada Azizan selaku Menteri Besar Kedah bahawa Kedah tidak mungkin akan dapat mengharamkan perjudian, arak, dan hiburan kerana hendak menjaga hati hati pengundi-pengundi Cina yang menyokong PAS. Dalam kawasan-kawasan pengundi Melayu perkara ini akan di kawal. Mahfuz mahukan Azizan bertindak aggresif supaya dia yang cakap berdegar-degar nanti ditempelak oleh rakyat.Sedangkan Azizan suka dengan kaedah biar lambat asalkan selamat.

Pendek kata, selesa benar PAS di Kedah sekarang. Kalau ada pun isu yang dibawa orang-orang UMNO Kedah ialah isu pagar rumah Menteri Besar Kedah, yang dikatakan untuk keselamatan dirinya dan keluarganya. Sudah kekeringan isu nampaknya atau memang tidak ada isu-isu besar yang dibawa oleh Azizan.

Kalau adapun rakyat bercerita, pada tahuh 2006, kerajaan Kedah yang diterajui oleh Barisan Nasional telah menaikkan kadar cukai tanah di negeri ini antara 100 peratus hingga 300 peratus. Tahun 2008 kerajaan baru mengumumkan penurunan cukai tanah untuk rakyat negeri ini. penurunan tersebut melibatkan tiga kategori tanah antara 25 dan 75peratus mulai tahun ini. Sekali lagi pukulan hebat untuk kerajaan UMNO terdahulu dan bertambah meranalah UMNO Kedah.

Ke manakah hilangnya bekas Menteri Besar Kedah dan para hulubalang UMNO Kedah seperti Ustaz Saidin, Datuk Amiruddin, Datuk Johari Baharum dan lain-lain. Kalau ADUN Bota memeranjatkan politik negara dengan melompat ke PKR, adakah pemimpin-pemimpin UMNO Kedah senyap-senyap sudah menyertai PAS. Manalah tahu, kerana politik ini adalah segalanya mungkin.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: