Thursday, January 15, 2009

Siapa Undi Penentu di P036 Kuala Terengganu




Pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu sudah hampir ke kemuncaknya. KT menjadi tumpuan penyokong-penyokong, pemimpin-pemimpin dan peminat-peminat politik seluruh negara menyaksikan satu lagi pilihanraya kecil yang dikhabarkan berada dalam suasana tenteram dan aman. Ini membuktikan demokrasi semakin subur, rakyat semakin matang dan pemimpin-pemimpin politik saling memahami.

Gambaran sebenar tidak diketahui kerana penulis tidak hadir di tempat kejadian. Hanya menulis dari jauh dan mengikuti tulisan-tulisan, pandangan-pandangan dan ulasan pelbagai orang yang mengambil berat dan merasakan PRK ini membawa 'kepentingan' kepada politik negara keseluruhannya.

Ketika sedang 'ngeteh' di warung, ramai yang berkira-kira dan congak-mencongak BN atau PAS kah yang berjaya menambat hati majoriti pengundi KT. Tidak kurang menariknya apabila ramai yang berhujah dan berfirasat siapakah yang menjadi undi penentu bagi memastikan calon parti mana yang memenanginya secara mutlak.

Daripada 80 229 jumlah pengundi, ada yang berpendapat undi Melayu sebenarnya yang menjadi penentu. Memandangkan Melayu adalah pengundi majoriti di situ, maka Melayu lah yang menentukan kemenangan PAS atau BN. Namun begitu, ada yang mendakwa undi Melayu telah terpecah dua, 50-50. Kalau begitu siapa pulak yang menjadi penentu?

Mengikut salah seorang penulis blog yang dikenali sebagai 'budak kg', disebabkan pengundi Cina yang diwar-warkan sebagai pengundi penentu maka banyaklah habuan yang diterima oleh mereka. Katanya 'Apa yang saya perhatikan pengundi Cina yang di beri keutamaan yang dikatakan pengundi penentu. Oleh itu BN dan Pas berusaha untuk memenangi hati pengundi Cina.'

Banyak peruntukan BN diberi kepada pengundi Cina di DUN Bandar antara nya 6.1 juta untuk Dewan Cina yang di umumkan oleh Menteri Besar YAB Mat Said, dan peruntukan daripada Menteri Pelajaran sebanyak lebih kurang 2.3 juta untuk SRJK(C) di Kuala Terengganu. Inilah politik 'jaga hati 'yang di lihat bermain di Terengganu khasnya dan Malaysia am nya selepas peristiwa Titanic Mac 2008' Begitulah keluhan salah seorang pengundi Melayu di KT.

Melihat kepada keluhan pengundi PRK kali ini seolah-olah tidak ada peruntukan di kawasan-kawasan pengundi Melayu. Kalau ada gamaknya tidaklah sampai berjuta-juta seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media massa tentang kesungguhan BN menarik pengundi Cina. Senario ini mungkin kurang menyenangkan pengundi Melayu tetapi penulis tidak berada di tempat kejadian. Kemungkinan habuan projek untuk kawasan-kawasan Melayu tidak begitu mewah tetapi meliputi kawasan yang lebih banyak melibatkan jutaan ringgit juga.

Ada juga melihat undi penentu ini datangnya daripada kalangan warga pendidik seperti yang ditulis oleh www.kudakepang.com. 'Bagaimanapun, ada pemerhati dan penganalisis politik mengatakan, penentu kepada mana-mana calon dalam PRK Kuala Terengganu bukannya undi kaum Cina. Sebaliknya, kemenangan BN atau PR dalam PRK ini ditentukan oleh undi warga pendidikan.'

Datuk Ron menulis 'Ramalan demikian kerana sehingga hari ini adalah dipercayai bahawa sebilangan warga pendidikan dalam Parlimen Kuala Terengganu dikatakan “tersinggung hati”' Datuk Ron sendiri tidak dapat mengulas mengapa agaknya cikgu-cikgu yang cemerlang di KT itu mirip kepada pembangkang.

Ada kemungkinan betul juga kata Datuk Ron kerana bukan sahaja cikgu-cikgu di KT malah di seluruh negara cikgu-cikgu sudah tidak ambil pusing dengan BN. Pelik juga cikgu-cikgu ni, gaji semakin tinggi, peluang naik pangkat semakin banyak tetapi tidak tahu bersyukur. Sebab itulah gamaknya budak-budak sekolah semakin tidak siuman.

Ada juga yang berpendapat undi penentu adalah ditentukan oleh sikap dan tingkahlaku pemimpin-pemimpin BN sendiri khususnya UMNO. Mereka mendakwa parti lawan bukannya berkemampuan sangat berdasarkan isu-isu yang dimainkan di KT. Lebih ditakuti BN adalah kerja-kerja 'tikam belakang' kepada calon BN bukannya bekerja keras memenangi calon pilihan pemimpin pusat. Dikhabarkan Datuk Wan Farid kurang disenangi pengundi kerana hubungan baiknya dengan Khairi Jamaluddin.

Selain daripada isu-isu undi penentu, cerita-cerita kedai kopi ada mengaitkan PRK P036 ini sebagai ujian kepada Najib sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri Mac nanti.Kalau BN menang di KT akan menaikkan imej Najib selaku bakal PM, jika BN kalah nampaknya 'sial' Permatang Pauh sudah berjangkit ke Kuala Terengganu. Majoriti pemerhati mengharapkan Pak Lah tidak perlu turun ke Kuala Terengganu. Setakat ini sudah dua kali Pak Lah datang ke KT. Kehadiran Pak Lah dikatakan nanti akan merosakkan mood pengundi BN dan buat 'kacau daun' saja. Begitu lah komen pencacai-pencacai politik di warung-warung kopi di seluruh negara.

Walau pun begitu, melalui pembacaan , perbualan, perbincangan di warung-warung saya meramalkan PAS akan memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang kecil, walaupun rakan-rakan mencongak BN akan menang selesa. Semoga PRK P036 Kuala Terengganu berjalan dengan lancar , aman dan selamat.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: