Tuesday, December 16, 2008

Cabaran SPRM telah sedia menanti

Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru saja dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini di Parlimen. Perkara yang menarik dalam pembentangan baru-baru ini adalah berdasarkan rang undang-undang itu, tafsiran bagi ’saudara’ telah diperluaskan untuk merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang, adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu, bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Berdasarkan pandangan ahli-ahli Parlimen dari kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang setakat ini memberi respon baik walaupun ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ' menyokong tetapi bersyarat' Pokoknya semua pihak memberi komen positif. Jelas usaha ini menunjukkan komitmen yang tinggi dan ikhlas kerajaan. Keadaan ini berlaku pada hari-hari terakhir pemerintahan Pak Lah.

Namun masih ada juga yang mempertikaikan kenapa rang undang-undang tersebut perlu diadakan, adakah ia mempunyai muslihat tertentu daripada sudut politiknya dan pelbagai andaian lain. Malah tidak kurang juga yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum bersara. Menjawab segala persoalan tersebut, Abdullah dengan tegas berkata, beliau tidak akan lari daripada amanah dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai Perdana Menteri. “Saya akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada…selagi saya masih Perdana Menteri saya akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir,” ujarnya sambil menegaskan, beliau tidak akan hanya berdiam diri menunggu masa untuk bersara. Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur hari Selasa.

Sebagai rakyat Malaysia kita berbangga dengan kesungguhan Pak Lah walaupun apa andaian dan pandangan terhadap usaha-usaha beliau ini. Walau bagaimana pun pengakuan yang dibuat, ianya mestilah dibuktikan juga dengan tindakan.

Baru-baru ini terdapat cerita-cerita kononnya, ada salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO dikatakan sudah dibabitkan dengan hampir 400 dakwaan rasuah. Dakwaan ini dipercayai sudah pun dilaporkan kepada BPR. BPR memang sudah bersedia hendak menyiasat seluruh dakwaan yang dah dilaporkan kepadanya. Malangnya, kononnya ada 'orang besar ' dikatakan menghalang BPR daripada menyiasat seluruh dakwaan itu.

Sebagai ahli UMNO memang tidak sukar untuk menelah siapakan calon Timbalan Presiden UMNO yang dimaksudkan. Ini kerana hanya tiga calon saja yang menawarkan diri sama ada ianya seorang menteri, seorang ketua menteri atau seorang senator. Tidak adil untuk kita menuduh secara sembrono jika tidak disertai dengan bukti-bukti yang kukuh. Oleh itu tanggung jawab ini wajar diserahkan kepada BPR. Ini lah yang dikatakan ujian yang dihadapi untuk meyakinkan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO dalam 'keazaman politik' kerajaan menanggani isu rasuah.

Jawatan Timbalan Presiden UMNO adalah jawatan tertinggi parti bagi membantu Presiden Parti. Malah Timbalan Presiden UMNO walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan tetapi secara tradisinya bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri. Betapa sayangnya kita kepada pemimpin yang berkenaan tetapi jika benar ada bukti pembabitannya dalam politik wang dan rasuah maka wajarlah kita hadapkan mereka ke muka pengadilan.

Dalam sejarah politik Malaysia , ini bukanlah pertama kali berlaku, pemimpin-pemimpin besar dalam UMNO didakwa di mahkamah. Walaupun mereka pernah menabur jasa pada parti dan negara tetapi tidak ada siapa yang kebal dengan undang-undang. Pengalaman pahit dan igauan buruk ini pernah berlaku kepada Datuk Mokhtar Hashim, Allahyarham Datuk Harun Idris, Tan Sri Rahim Tamby Chik malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Tan Sri Isa Abd Samad sendiri mungkin memahami setelah beliau didapati bersalah dan telah pun melepasi hukuman. Kini beliau sendiri membuat 'come back' dalam keadaan yang bersih untuk menabur khidmat kembali kepada parti dan negara.

Ahli-ahli UMNO seluruh negara ternanti-nanti berita hangat dan tergempar yang bakal berlaku. Ahli-ahli UMNO yang telah selesai menjalani mesyuarat di peringkat bahagian mungkin tersenyum kerana politik wang ini memang berlaku di setengah-setengah bahagian UMNO. Mungkin ada di antara mereka yang menerima tetapi tidak 'mampu' untuk membuat aduan. Proses pencalonan telah selesai, yang mendatang adalah proses mengundi. Kumpulan G7 dan perwakilan-perwakilan ke Perhimpunan Agong UMNO Pusat pada bulan Mac ini sedia maklum dalam hal ini.

Adalah malang bagi negara jika kita masih mempertahankan pemimpin yang korup seperti mana yang dilaporkan dalam banyak laman-laman web popular daripada kita mengorbankan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang nampak macam bersungguh-sungguh membenteras rasuah. Lebih malang lagi jika harapan rakyat yang menggunung ini dihampakan sekali lagi.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

No comments: