Sunday, December 21, 2008

Chin Peng Berhutang Darah dengan Melayu.



Bagi majoriti orang Melayu Parti Komunis Malaya (PKM)ditolak kerana ideologinya dan hasratnya ingin membentuk sebuah Republik Komunis berkiblatkan China dan Rusia. Secara tidak langsung akan menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu dan hak-hak orang Melayu dibuminya sendiri.Di dalam buku 'My side of History'jelas menunjukkan kekecewaan Chin Peng,'Dasar penubuhan Republik Malaya telah ditinggalkan, dan diganti dengan perjuangan berperlembagaan untuk menubuhkan sebuah kerajaan demokratik'.

Berdasarkan ulasan Sejarah dari kacamata Chin Peng oleh Lee Ban Chen, Malaysiakini.com jelas menunjukkan kemarahan dan kekecewaan Chin Peng dan PKM adalah kepada British. Selepas PKM dan British bekerjasama mengusir Jepun, PKM berasa kecewa apabila British dapat balik semula menjajah Malaya. Tempoh peralihan kuasa pada tahun 1945 selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah telah digunakan oleh PKM untuk membalas dendam kepada mereka yang menyokong Jepun dan mereka yang tidak menyokong ideologi komunis terutama orang-orang Melayu.

Orang-orang Melayu majoritinya menjadi mangsa 'Bintang Tiga'. Mereka dibunuh, dirogol dan disiksa. Api kemarahan orang Melayu tidak boleh dibendung lagi. Mereka bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama seperti yang berlaku di Batu Pahat dan Sungai Manik, Perak. Panglima Kiyai Salleh mengetuai tentera 'Selempang Merah'di Batu Pahat seperti mana kata Datuk Ron dalam laman blognya Kuda Kepang sebagai panglima yang tidak didendang berjaya mengangkat semula martabat bangsa dan maruah agamanya.

Chin Peng dan PKM bukan pejuang kemerdekaan seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin. Negara juga dikecohkan dengan kontroversi artikel setiausaha antarabangsa DAP, Ronnie Liu di laman web parti itu.Terdapat gambaran bahawa perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) menyumbang kepada kemerdekaan negara melalui tekanan mereka kepada penjajah Britain.

Jikalau pejuang kemerdekaan apakah niat mereka membunuh orang-orang Melayu yang tidak mempunyai senjata moden seperti mereka. Orang-orang Melayu Batu Pahat hanya bersenjatakan 'parang panjang' sahaja. Apa tujuan mereka? Mereka pejuang kemerdekaan untuk siapa? Kalau mereka berjuang untuk kemerdekaan Malaya kenapa orang-orang Melayu di bunuh? Kalau marah kepada British kenapa membunuh orang-orang Melayu?Kenapa bakar rumah Melayu? Kenapa rebus orang Melayu hidup-hidup? Marahkan nyamuk habis kelambu dibakar.

Benar kata Datuk Ron dalam blognya Kuda Kepang 'Nyawa dan Darah Melayu membuktikan Chin Peng bukan Pejuang Kemerdekaan' Anak Batu Pahat tidak akan lupa, anak Sungai Manik pun tidak akan lupa begitu juga dengan orang-orang Melayu di tempat lain yang menerima nasib yang serupa.

Chin Peng tidak layak hendak diletakkan sebaris dengan Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela di Perak, Tok Janggut di Kelantan, Dol Said di Naning, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Rentap di Sarawak dan Rosli Dhobi di Sabah. Mereka ini menentang British juga tetapi diiktiraf sebagai pejuang awal kemerdekaan dan pencetus semangat nasionalisme. Mereka menentang British. Mereka memang marahkan nyamuk, maka nyamuk lah yang dibunuhnya.

Lebih-lebih tidak layak lagi Chin Peng ini hendak disamakan dengan pengorbanan Almarhum Tunku Abd.Rahman dan Dato' Onn b Jaafar. Sepatutnya PKM patut berterima kasih kepada Almarhum Dato' Onn bin Jaafar. Kalau tidak kerana Dato' Onn bin Jaafar yang ketika itu Pegawai Daerah Batu Pahat pada 1945 tidak menahan tentera 'Selendang Merah' di Simpang Lima, mungkin bandar Batu Pahat menjadi padang jarak padang terkukur.

Kalau hendak dikatakan Chin Peng adalah orang pertama yang mengangkat senjata,Bendahari Persatuan Sejarah Negeri Sembilan Mohd Misan Mastor menjawab 'bahawa orang Melayu telah mula berjuang menentang penjajahan sejak kejatuhan empayar kesultanan Melayu Melaka, diikuti pada zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Chin Peng, 82, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bukan pejuang kemerdekaan.Chin Peng telah melakukan jenayah membunuh dan dia berhutang darah dengan orang-orang Melayu. Melayu Parit Sulong, Melayu Kangkar Senanga ,Melayu Semerah dan Melayu tempat-tempat lain yang senasib serta generasi mudanya tidak akan memadamkan sejarah pahit ini. Sejarah pahit ini akan kami dendangkan dari satu generasi ke satu generasi agar mereka faham, sedar, insaf, waspada dan sentiasa beringat-ingat.

Chin Peng sama lah seperti Muhammad (Ahmad) bin Indera atau lebih dikenali sebagai Mat (Muhammad) Indera merupakan salah seorang pemimpin komunis. Dia menjadi terkenal kerana memimpin serangan terhadap pihak Polis dalam peristiwa Bukit Kepong.Beliau bergerak cergas di sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Koris. Dia mengetuai pergerakan komunis d bahagian selatan yang merangkumi daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Melaka.

Walau pun bekas guru agama tetapi kerana perjuangannya tidak selari dengan hasrat dan kehendak majoriti orang Melayu, Mat Indera tetap tidak dianggap pejuang malah pada 14 Oktober 1952, Muhammad Indera telah diperangkap oleh anggota Cawangan Khas Batu Pahat dalam satu perjumpaan di Kampung Seri Medan. Orang Kampung dikatakan telah menipuhelahnya dengan memberi makan daun pucuk kecubung sehingga mabuk, beliau ditangkap dan kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di penjara Taiping. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.

Chin Peng tidak akan kami ingati.Kami juga membantah sekeras-kerasnya rancangan pengarah filem bebas, Amir Muhammad yang bercadang membuat sebuah dokumentari berkisar mengenai Chin Peng yang bertajuk 'Lelaki Komunis Terakhir'.Sebarang usaha menerbit bahan mengenai Chin Peng dan PKM yang secara langsung atau secara halus adalah jelas bertujuan meluaskan dakyah komunis dan bermatlamat menggulingkan kerajaan demokrasi Malaysia.

Pejuang tanah air, anggota keselamatan awam dan negara serta ahli keluarga mereka khususnya kami di Batu Pahat dan Sungai Manik pasti berkecil hati apabila ada usaha untuk mempopularkan bekas pemimpin komunis itu.

Amir Hamzah
Batu Pahat.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: