Thursday, December 18, 2008

Rumah siap,mereka hanya membuat tangga

Apakah yang membezakan antara profesor sejarah dan seorang profesor sains. Nampak macam teka-teki. Jangan lah difikirkan dengan serius kerana jawapannya pun macam main-main. Kalau hendak membezakan antara profesor sejarah dan profesor sains lihatlah botak di kepalanya. Kalau botak di bahagian hadapan tentulah dia profesor sains kerana dia selalu berfikir tentang masa depan. Kalau botak di bahagian belakang itu tandanya dia seorang profesor sejarah kerana dia selalu memikirkan perkara silam.

Maka satu kelas pelajar-pelajar ketawa berderai-derai. Selama ini guru sejarah yang tidak pernah senyum pandai juga membuat jenaka. 'Jadi, sekarang ini ramai orang botak di hadapan, maka ramai lah diantara kita tidak berfikir perkara silam. 'Tanya seorang murid lelaki dari arah bahagian belakang kelas. ' Bukankah kita disuruh selalu memandang ke hadapan, berfikir tentang masa depan' sambung pelajar tadi. Cikgu sejarah tidak menjawab, kebetulan loceng peralihan masa pun berbunyi. Dia keluar tanpa menjawab soalan pelajar tadi. Mungkin esok agaknya dia akan bersyarah panjang lebar.

Memang tidak dapat dinafikan, pelajaran sejarah bukanlah satu subjek yang disukai oleh ramai pelajar. Selain daripada cerita-cerita silam puluhan, ratusan dan ribuan tahun dahulu di mana pelajar tidak hadir dalam situasi tersebut bukan lah satu perkara mudah untuk menarik minat dan nafsu untuk mempelajarinya.

Walaupun sejarah merupakan subjek teras di peringkat PMR dan SPM tetapi ianya tidak meninggalkan kesan jika subjek sejarah gagal. Pelajar-pelajar boleh meneruskan pengajian mereka ke mana-mana IPTA atau IPTS walaupun sekadar cukup makan atau gagal sekalipun. Sejarah yang dipelajari kadang-kadang terlalu luas skop pembelajarannya. Sejarah Asia Tenggara, Sejarah Asia Timur, Sejarah Dunia, Sejarah Eropah, Sejarah Islam dan sebagainya menjadikan pelajar rasa terbeban.

Bagaimana pula dengan sejarah Malaysia dan Sejarah Islam. Bukankah ianya begitu hampir dengan kehidupan pelajar-pelajar khususnya pelajar Melayu. Jika sejarah itu begitu hampir dengan cara hidup kita, tentulah kita lebih cepat faham dan mudah mengingat tokoh dan watak, tarikh dan masa serta peristiwa-peristiwa yang berkaitan walaupun kita kurang membaca. Pengetahuan sedia ada daripada cerita-cerita lisan dan pengajaran secara formal di sekolah sudah cukup untuk membantu pelajar untuk mempelajari sejarah negara dan sejarah Islam itu sendiri.

Tambahan pula Sejarah Malaysia telah pun ditulis oleh penulis tempatan. Fakta dan huraian lebih tepat dan adil. Sejarah dalam Kajian Tempatan di sekolah rendah lebih bersifat tempatan iaitu pengkajian sejarah di mana tempat mereka tinggal. Sekarang ini sudah ada ura-ura untuk memperkenalkan matapelajaran sejarah di sekolah rendah sebagai satu subjek bukan sisipan seperti sekarang seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian On line baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila subjek itu diajar secara khusus bermula pada Tahun 3 pada 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah yang dijangka akan beroperasi, dua tahun lagi.

Bagi pelajar Melayu, di mana Tanah Melayu ini adalah segalanya bermula untuk bangsanya pun tidak berminat kepada subjek sejarah, apatah lagi kaum pendatang seperti Cina dan India. Bukankah sejarah Tanah Melayu itu banyak memberi untung kepada orang Melayu seperti Ketuanan Melayu yang di dalamnya memberi keistimewaan kepada Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam sebagai bahasa dan agama rasmi serta hak-hak keistimewaan lain yang telah pun termaktub dalam perlembagaan, itu pun tidak diambil tahu oleh orang Melayu terutama generasi muda. Apa tah lagi jika sejarah negara ini banyak menimbulkan rasa tidak puas hati kepada golongan pendatang itu. Agak munasabah jika mereka yang pendatang ini tidak berminat untuk mempelajari sejarah negara kita.

Penglibatan golongan pendatang dari China dan India dalam abad ke 20 yang dibawa oleh penjajah British adalah semata-mata untuk membantu British mengaut kekayaan bumi Tanah Melayu. British amat berterima kasih kepada mereka sehinggakan 100 tahun terakhir pemerintahan British golongan pendatang ini mendapat layanan baik dan diberi keistimewaan berbanding dengan golongan pribumi.

Sejarah penentangan menentang penjajahan semenjak Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak, Tok Janggut di Pasir Putih, Abd.Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Datuk Bahaman di Pahang, Dol Said di Naning, Rentap di Sarawak dan Rosli Dhobi di Sabah kesemuanya melibatkan anak-anak Pribumi. Mereka ada kepentingan kerana tanah ini adalah tanah pusaka datuk nenek mereka.

Apabila UMNO yang ditubuhkan oleh Dato' Onn bin Jaafar pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru yang menghimpunkan seluruh umat Melayu menentang Malayan Union, kaum pendatang hanya melihat dari jauh. Sebenarnya mereka menyokong pembentukkan Malayan Union kerana mereka mendapat laba yang besar seperti taraf kewarganegaraan dan menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu serta hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Zaman menentang komunis dan Darurat di Tanah Melayu dari tahun 1948 -1960, hanya anak-anak pribumi yang mengangkat senjata mempertahankan negara dan harta-harta kekayaan golongan pendatang. Berapa kerat golongan pendatang yang memikul senjata dan terkorban? Kalau adapun golongan askar Benggali dan Gurhka yang berkhidmat dengan tentera British.

Bilakah kaum pendatang ini mula menonjolkan diri ?Masanya tentulah semasa pemimpin-pemimpin negara menuntut kemerdekaan. Kononnya sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Kerja mereka sangat mudah umpama hutan belukar sudah ditebang, mereka datang hanya membuat lorong sahaja. Usaha mereka berbaloi, apabila British meletakkan syarat jika mahu merdeka mestilah penyertaan tiga kaum terbesar. Ini permintaan British atas belas kasihan dan terima kasih British kepada golongan pendatang. Pemimpin Melayu tidak ada pilihan lain.

Setelah mendapat taraf kerakyatan percuma dengan cara yang paling mudah dalam sejarah dunia yang diberi oleh golongan pribumi, golongan ini seolah-olah cuba memadamkan sejarah ini terutama di kalangan generasi muda mereka. Sebab itu golongan pendatang ini sangat liat untuk menerima hakikat sejarah awal pembentukkan negara. Kalau boleh sejarah negara ini diubah seperti mana Singapura yang telah mengubah sejarah asal digantikan dengan sejarah Singapura acuan mereka.

Bagi anak Pribumi belajar dan fahamkan sejarah negara kita kerana sejarah adalah pelajaran mengenai masa lampau kita. Dengan mempelajari sejarah kita akan lebih mengenal diri kita sendiri.Kejayaan generasi lampau boleh dijadikan iktibar dan semangat untuk kita mencipta kejayaan pada hari ini.Kegagalan generasi lampau boleh juga dijadikan iktibar dan teladan agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Wednesday, December 17, 2008

Kalau silap, betulkan

Sebagai calon Timbalan Presiden UMNO dan bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia sewajarnya tidak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Kenyataan beliau, 'Saya menjadi Presiden World Assembly Youth atau Presiden Perhimpunan Belia Sedunia (Way) sejak 1993 hingga sekarang. Pertubuhan yang diasaskan bersama mendiang Nelson Mandela, John F Kennedy, Martin Luther King dan Allahyarham Tun Abdul Razak ini dianggotai 130 negara'.Sebagai seorang pemimpin besar dalam UMNO (naib presiden), Ketua Menteri dan Pengerusi Belia 4B Kebangsaan, tidak wajar melakukan kesilapan sedemikian. Sama ada beliau terlupa atau sememangnya tidak tahu bukan masalahnya.

Dalam keadaan beliau ingin menawarkan diri bertanding jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan sekarang, tentulah orang akan menilai pengalaman, pengetahuan, tutur bicara, pemikiran, wawasan dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya dalam membuat penilaian kepada seseorang pemimpin. Kemungkinan rakyat terbanyak boleh memaafkan kesilapan beliau mengatakan Nelson Mandela telah meninggal dunia kerana sebagai Ketua Menteri yang sibuk kemungkinan terlupa atau terkeliru tetap ada.

Selepas mendengar berita dalam Buletin TV3, malam tadi (17 Dis.2008) yang mengatakan bahawa sudah 3 kali kepala babi digantung di tempat awam di Melaka, saya merasakan perkara ini lebih parah daripada kesilapan mengatakan Nelson Mandela telah meninggal dunia. Sudah tiga kali, bukan dua kali tetapi kemungkinan masuk kali keempat selepas dijumpai di Pantai Klebang dan rumah penduduk tidak termasuk yang baru berlaku semalam.

Saya dapat menyelami hati dan perasaan, marah dan terhinanya, tenang dan sabarnya penduduk tempatan yang terlibat. Saya angkat topi kepada penduduk-penduduk di situ yang masih tidak membelakangkan undang-undang malah masih menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.

Situasi ini nampak sukar diselesaikan khususnya oleh Ketua Menteri. Penduduk-penduduk yang telah 20 tahun hidup dalam keadaan pencemaran air, bau dan sebagainya merasakan sudah tiba masanya pusat penternakan babi berhampiran dipindahkan. Industri perlancongan di Pantai Klebang atau Pengkalan Balak dan pantai-pantai berhampiran sudah tidak berdaya maju akibat pencemaran.

Di satu pihak lagi, yang dikatakan rapat dengan Ketua Menteri mendesak agar perniagaan mereka yang telah bertapak 20 tahun yang lalu tidak diganggu gugat. Sama ada mempunyai lesen atau tidak dan sama ada menganggu alam sekitar atau tidak bukan perkara yang boleh didedahkan. Dakwaan mengatakan ada 'tangan-tangan hitam' yang campur tangan, kemungkinan ada.

Saya mencadangkan kepada penduduk-penduduk supaya membuat laporan kepada BPR jika ada individu-individu atau agensi-agensi kerajaan yang sudah 'termakan umpan' penternak-penternak babi ini sehingga mereka ini tidak boleh diusik apa tah lagi diambil tindakan undang-undang jika benar penternakan babi di situ dijalankan secara haram.

Apatah lagi Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 diluluskan semalam dan akan dikuatkuasa pada awal tahun 2009. Ini lah masa terbaik untuk mereka yang telah merasa terhina tetapi masih bertindak dengan waras untuk melakukan sesuatu berlandaskan undang-undang. Saya berpendapat rakyat Melaka sangat berperibadi mulia sehingga sampai ke tahap sekarang masih lagi dapat bertahan walaupun di kalangan mereka tidak semua yang berserban dan berjubah.

Cabaran yang lebih besar kepada YAB Ketua Menteri ialah membersihkan namanya yang kononnya dikaitkan dengan politik wang dalam pencalonan jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac 2009. Kemungkinan juga semasa berkempen sekarang pun, politik wang masih digunakan untuk meraih undi dan sokongan.

Semua orang tahu, pencalonan YAB dan YB Tan Sri Mohamad b Mohamad Taib melonjak-lonjak pada minggu-minggu terakhir musim mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara. Sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudahpun melepasi dengan selesa. Pelik bin ajaib juga perkara ini tidak pula berlaku pada jawatan Presiden. Adakah benar-benar ahli UMNO mahu jawatan Timbalan Presiden ini dipertandingkan atau memang sudah ada 'sampul surat' dilantai perwakilan cawangan-cawangan.
Keadaan ini lebih mencurigakan lagi setelah YAB tidak memberikan respon yang bersungguh-sungguh seperti yang dilaporkan dalam http://politica-net.blogspot.com/.

Kita tidak berniat untuk memburuk-burukkan pemimpin tetapi banyak perkara yang tidak dapat diselesai. Penternak-penternak babi haram ini bukan saja mengingkari arahan polis tetapi membelakangkan arahan kerajaan negeri. Sebanyak 400 aduan politik wang dilaporkan kepada BPR tetapi BPR tidak dapat menjalankan siasatan. Jika benar dakwaan ini maka Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 diluluskan semalam sudah boleh 'meninggalkan bekas' pada awal 2009.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Tuesday, December 16, 2008

Program 2 jam 3 jam

PORT DICKSON 15 Dis. - Penduduk di Kampung Pachitan dekat sini, menyambut baik program 'Mari Belajar 2 jam 3 jam' yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan menyifatkannya memberikan impak yang cukup positif.

Pengusaha kebun kelapa sawit di kampung berkenaan, Suhaimi Harun, 50, berkata, dia kini mewajibkan dirinya untuk bersama-sama anak-anak, sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk memantau perkembangan pembelajaran mereka.

''Dulu saya tidak memperuntukan masa untuk bersama-sama anak untuk mengetahui perkembangan pelajarannya tetapi kini, saya akan menutup televisyen untuk tempoh tersebut dan memberikan tumpuan kepada pelajaran anak saya," katanya yang turut sama menjayakan Konvensyen Mari Belajar 2 Jam 3 Jam peringkat negeri di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Abd. Jabar Che Nan. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Datuk Ali Nordin Wahiduddin dan Pengarah Risda negeri, Abdul Ghaffar Borhanudin.

Suhaimi berkata, program itu telah memberikan impak positif kerana sebelum ini dia sendiri pun jarang meluangkan masa untuk membaca buku, tetapi sekarang telah bersama-sama menghabiskan masa dua jam itu dengan membaca pelbagai jenis buku.
''Ia telah berjaya memupuk minat kepada anak saya untuk membaca buku kerana ayahnya turut sama membaca dengan mereka," katanya yang mempunyai empat orang anak.
Seorang suri rumah, Julia Jamal Mohamed, 34, memberitahu, hubungan dengan anaknya menjadi lebih rapat kerana dia sering menjadi rujukan dalam pembelajaran pada tempoh dua hingga tiga jam yang ditetapkan itu.

''Saya seronok kerana anak-anak mula menunjukkan minat untuk belajar bersama-sama dan biasanya, kami mengulang kaji pelajaran pada waktu malam," katanya yang mempunyai empat orang anak berusia antara setahun hingga sembilan tahun itu.

Menurutnya, dia seronok dengan program '2 jam 3 jam' itu kerana berupaya menyedarkan ibu dan bapa terutama di kawasan pedalaman mengenai kepentingan pelajaran kepada anak-anak.
Dalam pada itu, Normi Sadiman, 46, yang turut sama dalam konvensyen tersebut berkata, program sedemikian banyak memberi ilmu dan pemahaman terhadap konsep kecintaan pada pelajaran demi masa hadapan yang lebih cemerlang.

''Saya memberi penekanan khusus kepada anak-anak supaya menjadikan dalam sehari mesti ada dua atau tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran, belajar, mencari ilmu dan sebagainya.
''Saya tidak mahu melihat anak di desa keciciran dalam pelajaran dan nyata apa yang dirancang ini boleh memberi manfaat kepada semua," ujarnya.

Terdahulu, Abd. Jabar dalam ucapannya berkata, resipi kejayaan sesebuah negara itu bergantung kepada ilmu dan untuk itu, setiap generasi tidak kira sesiapa pun hendaklah menitik beratkan soal pelajaran.

''Ibu bapa perlu memberi sokongan terhadap pembelajaran anak-anak dan pada masa yang sama memupuk kesedaran, meluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk menjadi pemudah cara pembelajaran anak-anak di rumah,'' ujarnya.

Sehubungan itu katanya, ibu bapa akan menjadi jurulatih, pemantau dan pemerhati pembelajaran anak-anak di rumah.

PM bersyukur Rang Undang SPRM diluluskan Parlimen

16/12/2008 11:57pm
KUALA LUMPUR 16 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersyukur Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

“Alhamdulillah,” katanya dalam satu taklimat bersama editor di Bangunan Parlimen di sini.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan rang undang-undang itu dengan pindaan kecil pada Fasal 36(1)(b), bagi meminda perkataan Pendakwa Raya kepada Pegawai Pesuruhjaya.
Abdullah berkata, pelaksanaan SPRM itu merupakan hasratnya untuk menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2004.

Beliau berharap SPRM akan berfungsi dengan lebih berkesan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana bilangan anggotanya akan melebihi 5,000 orang selain mereka akan diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah.

“Gaji yang lebih menarik akan ditawarkan bagi menarik orang yang berwibawa dan berkebolehan untuk menjalankan tugas di bawah SPRM,” kata Abdullah. – Bernama

Cabaran SPRM telah sedia menanti

Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru saja dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini di Parlimen. Perkara yang menarik dalam pembentangan baru-baru ini adalah berdasarkan rang undang-undang itu, tafsiran bagi ’saudara’ telah diperluaskan untuk merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang, adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu, bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Berdasarkan pandangan ahli-ahli Parlimen dari kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang setakat ini memberi respon baik walaupun ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ' menyokong tetapi bersyarat' Pokoknya semua pihak memberi komen positif. Jelas usaha ini menunjukkan komitmen yang tinggi dan ikhlas kerajaan. Keadaan ini berlaku pada hari-hari terakhir pemerintahan Pak Lah.

Namun masih ada juga yang mempertikaikan kenapa rang undang-undang tersebut perlu diadakan, adakah ia mempunyai muslihat tertentu daripada sudut politiknya dan pelbagai andaian lain. Malah tidak kurang juga yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum bersara. Menjawab segala persoalan tersebut, Abdullah dengan tegas berkata, beliau tidak akan lari daripada amanah dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai Perdana Menteri. “Saya akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada…selagi saya masih Perdana Menteri saya akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir,” ujarnya sambil menegaskan, beliau tidak akan hanya berdiam diri menunggu masa untuk bersara. Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur hari Selasa.

Sebagai rakyat Malaysia kita berbangga dengan kesungguhan Pak Lah walaupun apa andaian dan pandangan terhadap usaha-usaha beliau ini. Walau bagaimana pun pengakuan yang dibuat, ianya mestilah dibuktikan juga dengan tindakan.

Baru-baru ini terdapat cerita-cerita kononnya, ada salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO dikatakan sudah dibabitkan dengan hampir 400 dakwaan rasuah. Dakwaan ini dipercayai sudah pun dilaporkan kepada BPR. BPR memang sudah bersedia hendak menyiasat seluruh dakwaan yang dah dilaporkan kepadanya. Malangnya, kononnya ada 'orang besar ' dikatakan menghalang BPR daripada menyiasat seluruh dakwaan itu.

Sebagai ahli UMNO memang tidak sukar untuk menelah siapakan calon Timbalan Presiden UMNO yang dimaksudkan. Ini kerana hanya tiga calon saja yang menawarkan diri sama ada ianya seorang menteri, seorang ketua menteri atau seorang senator. Tidak adil untuk kita menuduh secara sembrono jika tidak disertai dengan bukti-bukti yang kukuh. Oleh itu tanggung jawab ini wajar diserahkan kepada BPR. Ini lah yang dikatakan ujian yang dihadapi untuk meyakinkan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO dalam 'keazaman politik' kerajaan menanggani isu rasuah.

Jawatan Timbalan Presiden UMNO adalah jawatan tertinggi parti bagi membantu Presiden Parti. Malah Timbalan Presiden UMNO walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan tetapi secara tradisinya bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri. Betapa sayangnya kita kepada pemimpin yang berkenaan tetapi jika benar ada bukti pembabitannya dalam politik wang dan rasuah maka wajarlah kita hadapkan mereka ke muka pengadilan.

Dalam sejarah politik Malaysia , ini bukanlah pertama kali berlaku, pemimpin-pemimpin besar dalam UMNO didakwa di mahkamah. Walaupun mereka pernah menabur jasa pada parti dan negara tetapi tidak ada siapa yang kebal dengan undang-undang. Pengalaman pahit dan igauan buruk ini pernah berlaku kepada Datuk Mokhtar Hashim, Allahyarham Datuk Harun Idris, Tan Sri Rahim Tamby Chik malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Tan Sri Isa Abd Samad sendiri mungkin memahami setelah beliau didapati bersalah dan telah pun melepasi hukuman. Kini beliau sendiri membuat 'come back' dalam keadaan yang bersih untuk menabur khidmat kembali kepada parti dan negara.

Ahli-ahli UMNO seluruh negara ternanti-nanti berita hangat dan tergempar yang bakal berlaku. Ahli-ahli UMNO yang telah selesai menjalani mesyuarat di peringkat bahagian mungkin tersenyum kerana politik wang ini memang berlaku di setengah-setengah bahagian UMNO. Mungkin ada di antara mereka yang menerima tetapi tidak 'mampu' untuk membuat aduan. Proses pencalonan telah selesai, yang mendatang adalah proses mengundi. Kumpulan G7 dan perwakilan-perwakilan ke Perhimpunan Agong UMNO Pusat pada bulan Mac ini sedia maklum dalam hal ini.

Adalah malang bagi negara jika kita masih mempertahankan pemimpin yang korup seperti mana yang dilaporkan dalam banyak laman-laman web popular daripada kita mengorbankan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang nampak macam bersungguh-sungguh membenteras rasuah. Lebih malang lagi jika harapan rakyat yang menggunung ini dihampakan sekali lagi.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Monday, December 15, 2008

Betapa sukarnya Tok Nenek kita

Orang Melayu memang tidak pernah bersatu kecuali pada tahun 1946 apabila Allahyarham Dato' Onn bin Jaafar berjaya memberi kayakinan kepada Orang Melayu bahawa Malayan Union ciptaan Inggeris akan menghancurkan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Tanah Melayu sebagai sebuah negara Melayu.

Pada masa itu kesedaran politik di kalangan orang Melayu masih rendah apatah lagi taraf pendidikan yang diterima oleh mereka. Fuad Hassan menulis dalam blognya (dakwat dan kertas ) berkata ' Antara tahun 1919 sehingga Perang Dunia Kedua, bilangan anak-anak Melayu yang masuk sekolah Inggeris hanya 9 peratus daripada keseluruhan pelajar Tanah Melayu pada tahun 1919 dan Cuma 15 peratus pada tahun 1937’

British yang kita sanjung hanya melayan bangsa kita umpama sampah. Sedangkan seluruh kekayaan hasil mahsul Tanah Melayu habis dikorek dan diratah bagi mengayakan negara asal mereka. Apakah yang dibencikan sangat bangsa Melayu ini. Apakah yang telah mereka kaji tentang Melayu ini sehinggakan penduduk peribumi yang telah membenarkan mereka bertapak dan berkuasa dihina dan dinafikan hak mereka sebagai manusia.

Kerana dengkinya kepada Melayu ini, maka dibawa lah pendatang Cina dan India yang kononnya boleh bekerja di lombong-lombong dan ladang-ladang getah. Maka dijaja lah bahawa Melayu ini pemalas dan lemah maka sebab itu dibawa masuk orang asing bagi memacu ekonomi mereka terutama getah dan bijih timah. Apakah benar Melayu itu pemalas atau mereka sengaja tidak diberi peluang. Bagi mereka, biarlah Melayu itu kekal tidak berpendidikan supaya di kalangan mereka tidak akan ada yang akan menuntut kemerdekaan. Supaya mereka kekal dungu agar mereka tidak akan faham makna kemerdekaan. Agar mereka kekal bodoh supaya tidak ada kekuatan untuk mentadbir negeri sendiri.

Bagi mereka yang penting, Tanah Melayu akan kekal sebagai negeri jajahan yang kaya yang boleh membawa untung kepada negara mereka. Begitu lah sikap sebuah negara yang bertamadun tetapi yang tidak bermaruah. Fuad Hassan turut menulis ' Adalah menyedihkan apabila membaca stastik kesihatan orang Melayu pada zaman itu. Pada tahun 1947, kematian bayi Melayu semasa dilahirkan ialah 116 orang bagi setiap 1,000 kelahiran sedangkan di kalangan bayi-bayi Cina ialah 68 orang bagi setiap 1,000 kelahiran.

HINDRAF tidak usahlah hendak mendakwa bahawa mereka sedang menghadapi malapetaka
' pembersihan etnik' oleh UMNO tetapi membawa bukti-bukti pembohongan dan direka-reka penuh emosi sedangkan 'pembersihan etnik' di kalangan orang Melayu sudah pun berlaku secara halus sejak sebelum merdeka lagi oleh penjajah British.

bersambung...........................

Friday, December 5, 2008

Rasuah - ada agenda tersembunyi?

Kebobrokan rasuah hari ini bolehkah kita sandarkan kepada bahu Pak Lah seorang sahaja yang sehingga kini masih sebagai pemimpin dan Perdana Menteri Malaysia ke lima. Adilkah kita menyalahkan Pak Lah seorang tentang masalah gejala rasuah yang telah berakar umbi sekian lama dan tidak pasti bilakah ia bermula. Adakah ia bermula dalam sejarah singkat Malaysia atau sejak negara ini bernama Tanah Melayu atau sejak Kesultanan Melayu Melaka atau lebih awal dari itu kerajaan-kerajaan tua seperti kerajaan Gangga negara atau Genggayu.


Penglibatan orang Melayu dalam amalan rasuah atau 'pandai' memberi rasuah tidak juga dapat dikenalpasti tarikh yang tepat. Malah rasuah tidak mengenali bangsa, warna kulit, keturunan dan juga agama. Ianya satu amalan yang universal dan berlaku di seluruh dunia selagi ada yang memberi dan menerima dan melibatkan keuntungan di kedua-dua pihak.


Bagaimana amalan rasuah di zaman Almarhum Tunku, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein atau zaman Tun Mahathir. Apakah tindakan-tindakan kerajaan di zaman pemimpin-pemimpin tersebut. Siapakah di antara pemimpin-pemimpin yang terjebak dan terperangkap dalam isu rasuah ini. Adakah kerana benar-benar mereka terlibat dan bersalah atau memang ada agenda-agenda tersembunyi dan tersirat ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan. Adakah penangkapan Allahyarham Datuk Harun Idris di zaman Allahyarham Tun Hussien itu ada muslihat tersembunyi, dendam atau sebaliknya?


Bagi saya amat sukar untuk membaca yang tersirat kerana hanya Allah dan tuan punya diri saja yang tahu. Kita hanya boleh membuat andaian dan persepsi yang kadang kala betul tetapi selalunya kita tersasar.

Usaha Pak Lah membenteras rasuah sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara ini sehingga hari ini pun amat sukar untuk menentukan ianya ikhlas atau ada agenda-agenda yang tersembunyi. Ianya hanya satu andaian. seperti dalam tulisan Datuk ' Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.


Bagi saya sebagai orang kampung yang selalunya lurus bendul, teringat kata-kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan dalam temuramah dengan wartawan TV3 baru-baru ini, ' Di zaman Pak Lah memang nampak kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan untuk membenteras rasuah berbanding di zaman pemerintahan perdana menteri terdahulu' Kenyataan ini boleh juga dilihat sebagai satu propaganda Pak lah seperti mana tulisan Datuk, ' Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah.' Tambahan pula Ketua Pengarah BPR itu adalah orang Kepala Batas memungkin banyak kemungkinan yang tidak pasti.


Kalau kita sebagai rakyat hanya berfikir tentang persepsi, dan andaian sehingga yang fakta menjadi palsu dan sebaliknya maka amatlah sukar bagi mana-mana pemimpin atau kerajaan untuk membuat sesuatu dasar. Masalah rakyat Malaysia sekarang adalah terlalu banyak dimomokkan dengan persepsi-persepsi dan andaian-andaian. Rakyat Malaysia terlalu banyak 'berpolitik' sehingga kita kadang-kadang lupa untuk menyumbang. Terlupa untuk melibatkan diri atau tidak ambil pusing langsung malahan kita mengharapkan usaha-usaha itu akan gagal. Semuanya ini memang telah terserap di dalam hati dan minda lantaran kita benci dan tidak suka kepada Pak Lah.


Bagi saya Pak Lah juga gagal membenteras rasuah seperti mana pemimpin-pemimpin dan kabinetnya yang terdahulu. Malah semakin merisaukan seperti mana tulisan Ku Seman Ku Hussein dalam tulisannya bertajuk 'Analogi akar, pokok dan rasuah' dalam Utusan Malaysia 19/08/2007. Beliau menyatakan ' HASIL kaji selidik sebuah universiti tempatan tahun 2003 menunjukkan 30.5 peratus pelajar universiti sanggup menerima rasuah sekiranya ada peluang. Kita boleh saja tidak mempercayai hasil kaji selidik ini tetapi tidak boleh sama sekali memandang remeh tentang kecenderungan yang dicatatkan dalam kaji selidik tersebut.'

'Istilah rasuah dan perbuatan rasuah bukan perkara baru di negara ini. Tetapi yang barunya apabila generasi yang akan keluar sebagai penggerak dan pemimpin di sektor swasta dan awam mengaku sanggup menerima rasuah.'

Tulisan ini ditulis ketika Pak Lah baru saja menjadi Perdana Menteri. Namun tahun 2008 seperti mana tulisan Datuk dalam siri 2, ' Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.' Jadi wajarkah kita meletakkan kelemahan membenteras rasuah ini ke atas batu jemala pak Lah seorang jika berdasarkan kajian yang disebutkan tadi.


Malaysia bukan seperti Thailand atau Singapura yang menggunakan penguatkuasaan undang-undang untuk melaksanakan sesuatu dasar. Prinsip dan kaedah negara kita adalah melalui pendidikan yang boleh menimbulkan kesedaran kepada rakyat disamping penguatkuasaan yang tidak serius. Kaedah ini lah yang diguna pakai oleh semua pemimpin kita dari zaman Tunku hinggalah ke zaman Pak Lah. Sebab itulah kita gagal. Kerajaan berusaha tetapi tidak serius.


Apabila rasuah dianggap sebagai upah, yang memberi atau menerima tidak berasa bersalah apa lagi perbuatan itu mendatangkan keuntungan. Pihak yang menolong sesuatu perkara menerima upah sementara pihak yang ditolong memberi upah.

Kita perlu serius memahami hasil kaji selidik di atas sebelum menjadi begitu defensif atau sinikal terhadap gejala rasuah yang meletakkan Malaysia tangga ke-40 dari 163 dalam indeks Transparency International (TI) tahun 2006. Golongan pelajar barangkali memahami rasuah dari persekitaran mereka bahawa perbuatan ini bukanlah suatu yang luar biasa.

Statistik 30.5 peratus yang sanggup menerima rasuah itu tidak sepatutnya membuatkan kita marah, kecewa dan hilang punca untuk melihat positifnya. Kajian itu dengan sendirinya memberikan satu isyarat bahawa memerangi rasuah bukan saja di sektor awam dan swasta tetapi kalangan yang bakal memenuhi keperluan dua sektor tersebut.


'Peperangan' terhadap rasuah akan diwariskan kepada bakal perdana menteri yang akan datang. Jika pemimpin berkenaan bercakap secara lantang dan bertindak secara aggeresif adakah kita masih lagi berfikir ianya sesuatu yang ikhlas atau ada agenda yang tersembunyi?

Amir Hamzah
Batu Pahat