Saturday, May 2, 2009

Pegawai Daerah Pun Kena Turun Padang!


Setelah Najib menjadi Perdana Menteri ke 6, beliau mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap bagaimana hendak mentadbir negara secara berkesan. Pandangan tajamnya terhadap kemerosotan pengaruh kerajaan dikalangan rakyat bukan hanya tertumpu kepada permasalahan ahli-ahli politik yang menjadi wakil-wakil rakyat sesuatu parti tetapi merangkumi kepada badan bertindak atau badan perlaksana kepada sesuatu dasar kerajaan.

Kelemahan yang ada dalam sektor perkhidmatan awam juga mencerminkan kepada kelemahan kerajaan. Atas kesedaran itulah PM telah mencadangkan pembaharuan sektor perkhidmatan awam dengan memperkenalkan dasar terbuka iaitu membenarkan jawatan-jawatan utama sektor itu dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta. Menurut PM lagi, jawatan utama kerajaan juga harus dibuka kepada pegawai-pegawai perkhidmatan lain dan bukan hanya daripada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD).

Selain cadangan tersebut, Najib turut mengutarakan gagasan agar pegawai-pegawai awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan ke sektor awam. "Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara," ujarnya.
Beliau turut mahukan perkhidmatan awam mempunyai pelan pembangunan dan pencarian bakat kerana pengenalpastian bakat yang mantap akan menjadikan sesebuah organisasi hebat. Sistem tersebut kini dilaksanakan oleh PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Negara.

PM turut menggariskan empat anjakan dalam proses modenisasi paradigma perkhidmatan awam agar sektor tersebut sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru.
Pertama: Anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. “Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai,” jelasnya.

Anjakan kedua :Peralihan daripada budaya ‘output’ dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek ‘outcome’ atau dampak keberhasilan secara holistik.

Anjakan ketiga: Anjakan dibuat daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudahkan.

Anjakan keempat pula ialah anjakan daripada produktiviti samata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.

Paling mengembirakan saya sebagai rakyat Malaysia yang memendam rasa sekian lama ialah penegasan Najib bahawa kewujudan perkhidmatan awam adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. “Ini kerana sebab musabab kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kejayaan sektor awam. PM menegaskan, jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu memahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah.

Saya memang mengharapkan agar sektor perkhidmatan awam ini diperbaiki supaya ianya dapat membantu kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat. Ini bermaksud perlu ada gandingan mantap dan padu antara wakil-wakil rakyat dengan Pegawai Daerah dan Yang DiPertua Majlis Bandaran misalnya. Pegawai-pegawai Daerah dan YDP Majlis perlu juga turun padang meninjau kemajuan dan pembangunan setempat bukannya menyerah bulat-bulat kepada penghulu dan ketua-ketua kampung.

Kefahaman berkhidmat kepada rakyat ini diharap tidak ada lagi pegawai di Pejabat Tanah memberi sebarang alasan sekiranya ada pihak yang mencuri pasir di daerah masing-masing. Begitu juga para pegawai jabatan hutan tidak boleh lagi menyatakan mereka tidak mengetahui mengenai kecurian balak di kawasan mereka. Memahami denyut hati rakyat juga bermakna para pegawai dan pemimpin peka kepada keperluan masyarakat, khususnya yang berkaitan dengan keperluan asas yang masih menjadi rungutan di beberapa kawasan di seluruh negara. Setelah 52 tahun merdeka, masih ada lagi jalan yang tidak berturap dan tidak ada lagi bekalan air bersih atau masih ada lagi kampung yang bergelap.

Menunggu Najib atau Muhyiddin turun padang untuk menyelesaikan masalah tentulah tidak wajar. Tugas PM dan TPM mempunyai masa yang amat terhad. Jadi menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri serta Pegawai Daerah dan Yang dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT )harus mendepani sebarang kemelut dan masalah yang berlaku di kawasan masing-masing.

Saya juga mencadangkan agar Pegawai-pegawai Pertanian dan Haiwan Daerah turut turun ke bawah meninjau masalah petani-petani. Kalau dalam era-era 70an dan 80an, banyak kursus-kursus percuma diadakan di luar-luar bandar memberitahu rakyat tentang kemudahan dan teknologi terkini penorehan getah. Apa salahnya waktu ini, rakyat didedahkan tentang teknologi terkini penanaman sawit. Kalau dulu, pegawai-pegawai haiwan boleh turun ke kampung mengajar orang kampung menternak lembu pawah/daging atau lembu tenusu mengapa sekarang hanya duduk di pejabat berhawa dingin.

Kalau dulu, Jabatan Penerangan boleh turun ke kampung menayangkan wayang gambar terbuka kenapa dengan teknologi canggih sekarang Jabatan Penerangan hanya bergantung kepada televisyen sahaja untuk menyampaikan maklumat kerajaan. Jabatan Penerangan di bawah Tok Mat Rahmat dulu lebih berkesan sehingga menimbulkan rasa benci pembangkang kepada Kementerian Penerangan. Jangan tunggu menteri saja, Pegawai Penerangan Negeri dan Daerah perlulah ada kreativiti dan inovasi.

Saya sendiri mempunyai pengalaman berkenaan kelembapan perkhidmatan awam berhubung bantahan terhadap kewujudan tokong di tengah-tengah kampung Melayu. Walaupun ianya didirikan di tanah persendirian tetapi ianya tidak direstui oleh seluruh penduduk dan kami telah pun membuat demontrasi aman. Pihak kami telah dihubungi oleh SB Polis dan Tentera dan Bahagian Keselamatan Daerah, Pejabat Daerah telah mengeluarkan notis pemberhentian serta merta kepada tokong berkenaan. Namun permantauan susulan tidak dilakukan maka notis itu hanya menjadi 'sampah' walaupun kami telah memaklumkan beberapa kali kepada Pejabat Daerah dan Biro Pengaduan Awam tentang pengingkaran notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Keselamatan Daerah. Insiden ini sangat memualkan dan meloyakan.

Mereka tidak boleh lagi mengambil sikap sambil lewa atau merasa seronok menduduki kerusi empuk tertentu. Lantaran itu saya bersetuju dan menyokong penuh jika ada pegawai yang kurang baik, tokoh berbakat dari pihak swasta akan dipelawa masuk untuk menerajui jabatan atau agensi yang berkaitan.


Begitu juga dengan kakitangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang tidak berminat untuk bekerja termasuklah yang tidak menyokong dasar kerajaan agar memberi pilihan kepada mereka untuk bersara awal kerana ada ramai lagi penganggur-penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan. Saranan yang sama juga ditujukan kepada ketua-ketua Jabatan yang sering tidak selari dengan kehendak kerajaan. Konsep Satu Malaysia memerlukan kerjasama, perpaduan dan kesungguhan kedua-dua pihak awam dan swasta.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

8 comments:

afrohead said...

saya amat bersetuju jika yang tidak menyokong dasar kerajaan tu bersara awal kerana ramai lagi yang berminat untuk berkerja dengan kerajaan.. saya juga masih menantikan peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam anas afrohead,

ya betul, beri peluang kepada orang yang benar-benar memerlukan pekerjaan seperti saudara.

cekodokmasin said...

Salam tuan,
Ahak2... Esey sampai sokarang tak konal laie dongan Tuan DO Batu Pahat. Agoknyo, kono jomput Tongku Yem datang kek kampung den, baghu golabah nak turun bendang...
Cegito tokong tu pun samo dongan kek kampung den...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam cekodokmasin,

Hahaha, kawan kenal tuan DO. Tapi tuan DO kita tak macam Dato'Onn jadi DO dulu. DO sekarang kena jadi macam wakil rakyat. Tak sombong walaupun dia tu pegawai.hehehe mampu ke tuan DO

zedmagel said...

Bro Amir,

DO tu banyak kerja dan saya selalu melihat beliau turun padang, kesian saya lihat DO kita ni. Tahnian kepada beliau kerana bekerja keras memajukan rakyat di daerahnya.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,

Kawan tak sebut pun daerah mana. Bukankah ada banyak daerah dan jajahan dalam Malaysia ni bro.

Kenapa bro terasa hati banget?

zedmagel said...

Bro Amir,

Kawan pun tak sebut daerah dan jajahan mana? Mana ada?

DO secara keseluruhannya lah.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,

Sekilas ikan di laut, tau la kawan mana jantan mana betinanya.