Monday, January 18, 2010

Harapan Tinggi Kepada Melayu Johor.











Perlancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Johor pada 17 Januari 2010 (Ahad) yang lalu membuktikan bahawa Melayu Johor adalah benteng terakhir kepada perpaduan Melayu kerana kekuatan dan perpaduan yang ditunjukkan sejak dahulu terserlah dengan kahadiran yang ramai menyokong penubuhan PERKASA di negeri ini. PERKASA sebuah NGO diharap dapat merapatkan kembali perpecahan di kalangan orang Melayu atas nama agama dan bangsa. PERKASA amat peka dengan kedudukan orang Melayu yang semakin terancam akibat 'tikam belakang' oleh orang-orang Melayu sendiri kerana perebutan kuasa.

Menyedari hakikat ini, PERKASA akan menjadi orang tengah, penegur yang aktif dan pembangkang yang tegar bagi mempastikan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi dan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang telah pun termaktub di dalam perlembagaan itu kekal dan dipertahankan.

Cintakan perpaduan dan keamanan ini sudah lama tertanam di dalam diri dan jiwa Melayu Johor. Mereka sedar bahawa mereka tidak boleh berpecah kerana disekeliling mereka adalah musuh-musuh yang sentiasa mengintai peluang. Sekali mereka leka dan alpa, negeri tercinta ini akan tergadai. Melayu Johor tidak boleh berpecah!

Amir Hamzah
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Setiausaha,
PERKASA Johor.

Monday, January 4, 2010

PERLANCARAN PERKASA JOHOR



JEMPUTAN KE MAJLIS PERLANCARAN PERKASA NEGERI JOHOR

Dengan segala hormatnya saya menjemput dan mempersilakan tuan puan umat Melayu ke Majlis Perlancaran PERKASA Johor seperti ketentuan berikut :

Tarikh : 17 Januari 2010
Hari : Ahad
Masa : 2.30 Petang
Tempat : Dewan Jubli Intan Batu Pahat, Johor

Perasmi: Presiden PERKASA Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Bin Ali Merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas.

Datang lah beramai-ramai sebagai bukti sokongan kepada suara Melayu dan kekuatan Melayu dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu di tanah airnya sendiri.

Suara kita suara keramat dan kita satukan dan gemakan di dalam PERKASA.


Sekian Terima Kasih,


Amir Hamzah bin Hj Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Negeri Johor.

Thursday, December 31, 2009

Allah BUKAN Kepunyaan Kristian !


"Saya bukan ulama tetapi saya adalah penganut Islam yang yakin dan percaya kewujudan Allah, Muhammad s.a.w dan Al-Quran. Saya tidak perlu untuk membaca jauh sekali untuk mengkaji kitab Injil Kristian kerana saya sudah yakin benar dengan Islam kecuali saya masih ragu-ragu dengan Islam.

Dalam pada itu, gugur iman saya jika saya tidak percaya kepada 4 kitab Allah iaitu Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Namun setelah turunnya Al-Quran, maka terhapuslah kitab-kitab yang terdahulu kerana Al-Quran itu adalah pelengkap beragama kepada umat manusia. Maka sesiapa yang ingkar dengan perintah-perintah ini apatah lagi tidak percaya kepada Al-Quran, maka manusia itu dianggap derhaka kepada perintah Allah.

Islam adalah tuntutan beragama kepada manusia yang Allah jadikan. Manusia yang mengikut Islam adalah yang benar. Manusia yang masih di luar Islam tetap dianggap derhaka akan perintah Allah. Mengikut Islam, mereka akan menanggung dosa setiap saat dan detik selagi mereka tidak mengesakan Allah, menerima Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah dan Al-Quran sebagai petunjuk dan mukjizat kepada umat manusia.

Nabi Isa a.s adalah tetap nabi dan rasul umat Islam. Percaya kepada Rasul-Rasul adalah satu daripada rukun Iman. Nabi Isa menurut Islam berbeza dengan Nabi Isa tafsiran Kristian. Antara contoh perbezaannya adalah seperti berikut:

Isa mengikut versi Islam merupakan seorang manusia 100%. Baginda hanya merupakan seorang nabi. Baginda tidak dibunuh dan disalib. Al-Quran telah menjelaskan hal ini dengan nyata:

“Dan kerana ucapan mereka : ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, ‘Isa anak Maryam, Rasul Allah’, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya…” ( Surah An-Nissa: 157)

Isa mengikut versi Kristian adalah manusia/tuhan Yesus yang telah mati dibunuh oleh orang-orang Yahudi. Kitab Injil ada memberitakan hal ini:

“Tetapi ketika mereka sampai kepada Yesus dan melihat bahwa ia telah mati….” (Yohanes 19:33)

“Ia pergi menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus. Pilatus memerintahkan untuk menyerahkannya kepadanya. Dan Yusuf pun mengambil mayat itu….”(Matius 27:58-59)

Mengikut Kristian, Yesus Kristus (8–2 SM hingga 29–36 Masihi), [1] juga dikenali sebagai Yesus dari Nazareth, ialah tokoh utama agama Kristian. Beliau biasanya dirujuk sebagai Yesus Kristus, dengan ungkapan "Kristus" yang berasal daripada gelaran Yunani yang bermaksud "Yang Dilumaskan Minyak" (bahasa Yunani: Χριστός Christos) yang sepadan dengan perkataan terbitan Ibrani, "Al-Masih" (bahasa Ibrani: יהושע Yĕhošūa'). Dalam Bahasa Indonesia, beliau juga digelar sebagai Yesus Kristus.
(sumber : Dari Wikipedia Bahasa Melayu)

Kita tidak perlu khuatir dan menyusahkan fikiran kita dengan memikirkan hujah-hujah dari kitab Injil kerana kitab Injil telah dibuktikan korup, menyeleweng, hilang keaslian dan bercampur antara ayat yang haq dan ayat yang batil. Buktinya kaum Kristian tidak berpuas hati dengan hanya menyelewengkan kitab Injil dan cuba pula hendak menyelewengkan kitab suci Al-Quran.

Al-Quran, Al-Hadis dan ijma’ ulama Islam tidak pernah bersetuju bahawa Nabi Isa yang diceritakan dalam al-Quran merupakan Yesus Kristus, tuhan orang Kristian. Perlakuan orang Kristian memalsukan ayat Al-Quran yang tersebut di atas untuk tujuan menghalalkan ajaran agama mereka.

Firman Allah :

“Segolongan di antara orang-orang Ahli Kitab bercita-cita hendak menyesatkan kamu, dan tiadalah mereka menyesatkan (orang lain), hanya diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak menyedarinya.” (Surah Ali-Imran: 69.

Saya tidak mahu mengutuk ulama politik berlebih-lebih kerana memang begitulah perangai mereka. Namun begitu biarlah rakyat yang tidak berparti dapat menilai pendirian ulama-ulama kalau sudah berpolitik mereka juga tidak terlepas daripada berbohong, hipokrit dan bermuka-muka demi mendapat keuntungan politik parti yang diwakilinya.

Akhir kalam, disebabkan Kristian menolak Muhammad s.a.w sebagai Nabi terakhir dan penutup segala nabi dan tidak ada lagi nabi selepas Muhammad, menolak Al-Quran sebagai sumber rujukan dan panduan manusia maka Allah yang benar itu adalah hanya untuk manusia yang menjadikan Islam itu agama anutannya.

KLIK Di sini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com"

Sunday, December 27, 2009

Bagaimana UMNO Nak Pulih ?


Semua orang tahu hubungan Zahid - Anwar ketika Anwar menjadi TPM. Malah ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO , Zahid lah yang mengetengahkan isu kronisme dan nepotisme di dalam UMNO. Kita pun tahu siapa di belakangnya. Kalau tiada 'Tokan' mana mungkin Zahid menjadi sebegitu berani lebih-lebih lagi di zaman Tun M menjadi PM. Tapi itu dulu.....Selepas itu Zahid telah 'kembali ke pangkal jalan' sehingga Zahid masih kekal di dalam kabinet Pak Lah dan Najib. Nasib politik Zahid semakin cerah sehingga berjaya menduduki kerusi Naib Presiden di dalam UMNO.

Namun, masih ada yang memandang sinis terhadap kesetiaan Zahid.

Siapa sebenarnya Zahid?

Baca petikan daripada tulisan Sulaiman Abdullah bertajuk 'Apakah Zahid Hamidi Gunting Dalam Lipatan Pentadbiran Najib?' dalam www.malaysia-instinct.com. Saya tidak minta untuk percaya tetapi saudara mungkin ada pandangan sendiri. Kalau benar seperti yang didakwa oleh penulis ini, semakin sukarlah untuk memulihkan UMNO dan BN tetapi semakin mudahlah Anwar akan ke Putrajaya.

Oleh Sulaiman Abdullah

Sikap dan tindak -tanduk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula menjadi buah mulut di kalangan anggota masyarakat terutama mereka yang celik politik.

Beberapa sikap yang dipertontonkan Zahid menimbulkan persoalan dan tanda tanya apakah Zahid sebenarnya gunting dalam lipatan kepada pentadbiran Najib.

Untuk memahami mengapa sikap Zahid boleh dipersoalkan maka kita perlu melihat kepada apakah sikap atau perbuatan yang dipertontonkan beliau.

Pertama adalah pemilihan calon pilihanraya kecil Permatang Pasir Ogos lalu.

Zahid selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah mencalonkan seorang calon bermasalah iaitu Rohaizat Othman.

Sebelum proses pengundian bermula pun orang ramai sudah tahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melingkup di kawasan itu.

Puncanya mudah sahaja kerana calon itu penuh bermasalah orangnya seperti memiliki rekod menipu wang pelanggan semasa menjadi peguam, berkahwin dua dan sebagainya.

Disebabkan reputasi dan kedudukan Zahid, apabila beliau mencalonkan satu nama, maka UMNO pusat pun bertindak meluluskan atau endorse nama berkenaan untuk menjadi calon.

Pilihan raya Permatang Pasir ketika itu amat penting buat BN kerana BN ketika itu sedang baru mula melalui momentum kenaikkan apabila hanya tewas dengan undi kecil sebanyak 65 undi sahaja di kubu kuat Pas di Manek Urai pada pilihan raya kecil sebelum itu.

Calon yang dicadangkan Zahid bukan sahaja melemahkan UMNO tetapi mencacatkan momentum sokongan ke atas Najib dari satu segi.

Kemudian, yang terbaru ini, secara tidak semena-mena timbul pula kes kehilangan pesawat pemintas F5E yang berlaku pada tahun 2007 yang tiba-tiba bocor ke pengetahuan media.

Kehilangan itu berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Ada banyak pihak yang mendakwa bahawa Zahid yang bertanggungjawab membocorkan perihal kejadian itu kepada pihak media.

Tidak ada bukti yang kukuh untuk mengesyaki Zahid tetapi jika niat beliau adalah untuk memburuk dan melemahkan pentadbiran Najib, maka sudah hampir pasti kejadian itu sampai ke telinga media melalui perbuatan Zahid.

Mungkin bukan Zahid yang bercakap terus kepada pihak akhbar, tetapi mungkin dilakukan oleh orang-orang suruhannya.

Terdahulu pada itu, Zahid juga dengan tidak semena-mena mencadangkan agar kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang diberikan kepada UMNO.

Walaupun beliau memilki sebab dan alasan untuk berbuat demikian, tetapi sebagai ahli politik yang senior, beliau pastinya lebih arif perkara seperti itu tidak boleh dilakukan terutama di kala sokongan masyarakat Cina kepada BN berada di tahap paling rendah.

Menuduh secara terbuka Gerakan tidak membuat kerja hanya mewujudkan situasi tidak senang Gerakan dengan UMNO dan kepada Najib secara tidak langsung.

Cadangan seperti itu juga dilihat masyarakat Cina sebagai menghakis kuasa politik masyarakat Cina dan UMNO bersikap pembuli.

Walaupun Zahid Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, beliau tidak rugi banyak dengan kenyataan beliau itu, tetapi impaknya ke atas BN dan Najib terutama dari perspektif sokongan masyarakat Cina adalah amat buruk sekali.

Di Janda Baik bebebrapa minggu lalu, Zahid dilaporkan berkata, kalau beliau menjadi Perdana Menteri 12.50, Khairy Jamaluddin (KJ) akan dilantik menjadi menteri 12.51.

Lagi sekali....apa motif Zahid berkata begitu?

Patutnya beliau fahamlah tentu Najib ada sebab untuk tidak melantik KJ.

Kenyataan Zahid itu nyata sekali merendahkan Najib dan tindakan Perdana Menteri. Apakah Zahid cuba menzahirkan beliau lebih bijak daripada Najib?

Atau sebenar mahu memecah-belahkan dengan lebih teruk lagi Pergerakan Pemuda UMNO yang sudah sedia kala agak haru biru di bawah KJ.

Kenyataan itu hanya menambah benci yang mendalam di kalangan penyokong KJ terhadap Najib dan tidak membawa sebarang kebaikkan.

Itu adalah antara beberapa contoh sikap dan tindak tanduk Zahid yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Untuk menzahirkan mengapa penulis mencurigai Zahid, harus rasanya dikongsi sedikit pengalaman seorang rakan wartawan menemu bual Zahid secara eksklusif di pejabatnya tahun lalu.

Rakan itu menceritakan kepada penulis, dalam pertemuan hampir satu jam setengah itu, 60 peratus perbualan yang terbit daripada mulut Zahid adalah berkisar kepada Anwar Ibrahim.

Bukannya mengutuk tetapi puji-pujian dan kisah-kisah yang kononnya boleh menimbulkan rasa sedih dan simpati terhadap Anwar.

Zahid adalah Ketua Pemuda UMNO di zaman Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Zahid adalah antara anak didik Anwar yang paling berjaya. Malah, semasa reformasi, Zahid juga antara yang paling banyak memberikan ucapan pembakar semangat di rumah Anwar setiap malam.

Malah, dilaporkan sebab terlalu mengidolakan Anwar, Zahid pada satu peringkat mahu meninggal UMNO untuk menyertai perjuangan Anwar tetapi hasratnya berjaya dipatahkan oleh isterinya sendiri yang tidak bersetuju jika Zahid keluar UMNO.

Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib dan perlantikan Zahid itu adalah atas arahan Anwar Ibrahim sendiri yang menentukan siapakah pegawai-pegawainya yang harus bersama dengan pemimpin-pemimpin Pasukan Wawasan.

Justeru, peranan Zahid memang sejak awal lagi untuk memantau pergerakan Najib.

Berbalik kepada pengalaman rakan penulis, rakan itu berkata, simpati dan kesetiaan Zahid kepada Anwar masih terlalu menebal.

" Zahir bercerita bagaimana Wan Azizah meninggal nota di peti sejuk mengatakan Papa dah takda jadi semua orang kena berjimat-cermat dan sebagainya bagi memperlihatkan bagaimana keluarga Anwar kononnya bersedih dan susah ketika Anwar dimasukkan ke penjara," kata rakan penulis.

Dengan apa yang diberitahu rakan penulis dan melihat tindak tanduk Zahid, mahu tidak mahu wujud semacam perasaan skeptikal dan curiga terhadap Zahid.

Apakah beliau gunting dalam lipatan?

Mengapa Naib-naib Presiden yang lain seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Datuk Seri Shafie Apdal tidak pula mengeluarkan sebarang kenyataan atau berkelakuan seperti Zahid?

Apakah Zahid mahu melemahkan pentadbiran Najib untuk membuka laluan yang lebih kukuh kepada Anwar? Mengenangkan kedududkan Zahid dan keintiman beliau dengan ketua pembangikang berkenaan, perkara ini tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Atau Zahid mahu melemahkan pentadbiran Najib dengan niat untuk menaikkan dirinya dengan pantas ke jawatan yang lebih tinggi.

Cita-cita politik Zahid pun bukannya kecil, jangan kita lupa Zahid asalnya mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sudah diketahui akan ditandingi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pemilihan UMNO yang lalu. Hanya selepas beberapa ketika baru beliau menarik diri dan mengumumkan bertanding Naib Presiden pula.

Mungkin Zahid mengintai jawatan-jawatan tertinggi negara dan parti untuk dirinya.

Apa pun, sikap dan tingkah laku Zahid dalam UMNO dan kerajaan harus dipantau dari dekat. Jika ada lagi perbuatan-perbuatan yang 'pelik' atau menimbulkan persoalan, maka tidak ada pilihan melainkan Zahid perlu dikawal.

Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sebelum Zahid Hamidi menjadi kanser kepada parti, beliau perlu diubati. Tanda-tanda awal kanser sudah mula kelihatan dan tidak boleh dipandang enteng.

Tuesday, December 22, 2009

Teguran Kepada UMNO Johor!




UMNO Johor perlu belajar daripada apa yang berlaku di Selangor dan Perak. Kedua-dua negeri ini mempunyai taburan pengundi yang hampir sama dengan Johor. Pilihanraya Umum ke 12, Johor antara negeri yang bernasib baik tidak terkena tsunami politik tetapi tempiasnnya terasa juga. Sejak PRU ke 12, Johor nampak tenang dalam gelora. Tidak banyak isu besar kecuali beberapa isu seperti Wilayah Pembangunan Iskandar dan juga 'jambatan bengkok' yang semakin sepi.

Namun air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Apabila saudara jeffry (http://jeffrydamien09.blogspot.com) menerima email daripada seorang sahabat yang dikenali sebagai IMMY HILLHEAD (NAMA SAMARAN) saya berasa terpanggil juga untuk menyiarkannya di sini. Tiga orang AP yang disebut di dalam tulisannya adalah AP Johor Bahru, Pasir Gudang dan Pulai. Penulis mungkin seorang profesional yang ingin memberi pandangan atau idea tentang pengurusan / pentadbiran Johor tetapi tidak ada saluran sedangkan lazimnya UMNO jarang memberikan tempat kepada golongan ini.

Para cerdik pandai atau cendiakawan selalunya diketepikan oleh UMNO kerana mungkin ianya memberi 'ancaman' kepada penyandang yang sedang berkuasa. Ahli UMNO terlalu banyak 'bermain politik' sedangkan golongan ini lebih cenderung kepada perkhidmatan, kecuali jika golongan profesional ini dapat mengimbangi antara politik dan perkhidmatan. Personaliti golongan profesional ini juga mesti disenangi oleh ahli UMNO yang lain kerana rata-rata ahli UMNO yang aktif adalah dari kalangan golongan pertengahan Melayu.

Walau apa pun ada benarnya tulisan ini, maka kita harus membaca secara terbuka. Golongan ini sebenarnya ramai di Johor. Buktinya PRU ke 12 lalu, Johor adalah negeri tertinggi mempunyai undi rosak. Mereka protes tapi belum tergamak lagi untuk memberi undi kepada pembangkang. Berikut adalah tulisannya.

Saudara,

Apa yang saudara tulis memang ada kebenarannya tetapi apa yang UMNO Johor SEDANG dan AKAN buat diJOHOR untuk menentang arus Pakatan Rakyat diJOHOR?

UMNO JOHOR masih lagi tidur, dibuai mimpi bahawa majoriti orang Melayu masih lagi menyokong UMNO, tetapi adakah ini satu realiti atau hanya satu teori?

UMNO Johor perlu memperkasakan diri, membuat perubahan, membuat pembersihan dalaman, etc, etc. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengekalkan sokongan majoriti Melayu dan sokongan bukan-Melayu kepada BN.

UMNO JOHOR perlu membuat usaha untuk memenangi sokongan golongan orang muda, golongan professional.

UMNO JOHOR perlu memenangi golongan terpelajar, seperti pelajar-pelajar dan para pensyarah Universiti di IPTA dan IPTS.

Kenapa UMNO JOHOR takut nak masuk UTM? Kenapa YB Dato' Khalid Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi tidak pernah hendak memenangani hati dan perasaan pelajar-pelajar dan para pensyarah UTM? Takut atau malas?

DiUTM, majoriti pensyarah UTM menyokong pembangkang dan menyalurkan fahaman pembangkang kepada para pelajar UTM. Apa yang YB Dato' Khalid Nordin dan UMNO JOHOR sudah buat? Jangan sampai kebawah Duli Sultan Johor bertitah, baharu terkedek-kedek buat kerja sebab baharu bangun dari tidur yang lena.

Naib Chancelor UTM asyik dengan kerja sendiri, kebajikan dan nasib para pensayarah-pensyarah UTM diabaikan. Apa yang YBKhaled Nordin dan UMNO JOHOR dah buat? Masih tidur lagi?

Sila buktikan bahawa kita orang Johor bolih buat semua itu, jangan asyik menghentam orang tanpa fakta. Talk about fact and figure, don't argue anything over a thin air.

Issue pasal IRDA, UMNO JOHOR tidak pernah bersuara. BISU?

Golongan Professional Melayu Johor (seperti peguam, Arkitek, Jurutera Perunding, Jurukur Berlesen, Jurukur Bahan) telah lama mengeluh bahawa kerja-kerja perundingan (consultancy job) dan kontrak kerja, hampir kesemuanya disapu olih orang-orang Kuala Lumpur. Kalau ada yang selebihnya, baharu ditawarkan kepada orang-orang Johor. Itupun kena bayar tol. Apa yang UMNO JOHOR dah buat?

Yang terbaharu, konsultan-konsultan KL akan menubuhkan cawangan mereka diJohor Bahru dan akan memonopoli kerja-kerja perundingan diIRDA. Apa yang UMNO JOHOR dah buat didalam issue ini?

Para Pengurusan atasan IRDA dikuasai olih orang-orang KL. Mereka-mereka ini lebih banyak menghabiskan masa diKL dan bukan diJohor. Orang JOHOR tidak ada yang berkaliber hendak menerajui IRDA dan IIB? Apa cerita?

Dimana letak KEJANTANAN UMNO JOHOR didalam menangani issue-issue ini?

Tolong jadikan UMNO JOHOR sesuatu yang bolih dicontohi dan bukan sesuatu yang diketawakan.

YAB Menteri Besar Johor adalah Pengerusi Bersama IRDA tetapi kenapa tidak bolih menyelesaikan issue yang kecil ini. Asyik main zapin sahaja?

Apa yang kami nampak adalah, jika issue yang sebegini kecil tidak bolih diselesaikan oleh YAB Menteri Besar dan UMNO JOHOR, maka janganlah bermimpi untuk menyelesaikan issue-issue yang lebih besar.

Apa yang telah dibuat oleh MP Johor Bahru (YB Dato' Shahrir), MP Pasir Gudang (YB Dato' Khaled Nordin) dan MP Pulai (YB Dato' Jazlan) didalam issue diatas? LIP SERVICE?

Kenapa kesemua Member of Parliment didalam kawasan Iskandar Development Region (IDR) tidak pernah hendak duduk semeja dengan golongan Professional Melayu JOHOR? Kenapa mereka-mereka ini tidak membela nasib golongan Professional Melayu sedangkan issue ini berada betul-betul dihadapan batang hidung mereka?

Kenapa YAB Menteri Besar Johor tidak pernah hendak berdailog dengan golongan Professional JOHOR? Takut atau malas?

Kami, golongan Professional Melayu Johor beranggapan bahawa YAB Menteri Besar Johor, MP Johor Bahru, MP Pasir gudang dan MP Pulai telah lalai dan gagal didalam menangani issue ini.

Jikalau hendak mengekalkan sokongan orang Melayu kepada UMNO, tolong buat kerja, jangan asyik bercakap sahaja. Kami dah mula muak dan jelik dengan UMNO JOHOR.

Carry-on dreaming.

Thanks.

Jimmy Hillhead.
(On a business trip)
Osborne Park, Perth, Western Australia


Umno Juara Rakyat dilancar Januari
Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my

MELAKA: Umno akan mengadakan satu program raksasa di seluruh negara, bermula bulan depan sehingga pilihan raya umum ke-13, dalam usaha membawa kesedaran baru kepada rakyat , khususnya ahli parti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
amirhamzah64: Kesedaran baru kepada rakyat atau kepada pemimpin TS. Pemimpin tertinggi dan pemimpin pelbagai peringkat dalam UMNO masih sibuk dengan perebutan jawatan dan projek.

Timbalan Presiden parti itu berkata, program ‘Umno Juara Rakyat’ itu untuk mengajak ahli parti supaya bekerja lebih keras dalam menjalankan aktiviti sehingga ke peringkat akar umbi merangkumi bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
amirhamzah64: Ahli parti dah lama dah kerja keras. Malah ada yang sanggup mengabdikan diri pada parti. Lihat veteran UMNO yang berjasa. Habis madu sepah dibuang. Pemimpin juga yang kaya raya dan 'kenyang' memanjang. Pemimpin dulu kena tunjuk komitment dan kerja keras, ahli di bawah akan menyokong

Katanya, rancangan untuk mengadakan program berkenaan dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada transformasi Umno selepas menerima cadangan daripada Jawatankuasa Pengurusan parti yang beliau pengerusikan.
amirhamzah64: Siapa yang kena transformasi ni TS? kerana pemimpin bergaduh, ahli yang huru hara. Mana ada Bahagian UMNO yang tidak bergelora dan berpuak-puak?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, December 21, 2009

Beranikah Najib Mengambil Tindakan? Mungkin Tidak!

Senario ini sering menyaksikan kehadiran kadang kala tidak mencecah 50 orang di pihak BN di Dewan Rakyat.Sedangkan pembangkang mempunyai 82 ahli dan Bebas tiga orang. Berdasarkan pemantauan dan conggak tersebut, pihak pembangkang mungkin membuat andaian mengikut beberapa pengundian yang dibuat sebelum ini, jumlah Ahli Dewan Rakyat BN yang berada di Dewan kadang kala hampir sama jumlahnya dengan Ahli Dewan Rakyat pakatan pembangkang.

Mungkin atas perkiraan ini, Anwar melihat pengundian lewat malam di Dewan Rakyat merupakan peluang untuk ‘menggulingkan’ kerajaan secara lebih demokratik.Melihat kepada situasi ini, BN tidak boleh sentiasa merasa selesa kerana setiap peluang yang ada pasti akan diintai oleh pakatan pembangkang.

Apakah selepas ini BN akan lebih serius berhadapan dengan pembangkang di Dewan Rakyat kerana Perdana Menteri dan Timbalannya yang merupakan Ketua Whip BN dapat menyaksikan sendiri bagaimana kelebihan tiga undi yang meluluskan Bajet 2010 telah berjaya menyelamatkan hayat kerajaan BN.

Malah menukar mesyuarat kabinet pada hari Jumaat semasa sidang Dewan Rakyat daripada semangatnya ialah bagi membolehkan Menteri dan Timbalannya sentiasa berada di Parlimen.
Begitu juga halnya dengan wakil rakyat yang menjadi penyokong, kehadiran tidak boleh diambil mudah.Moga mereka belajar dan sedar kerana landskap politik dan Dewan Rakyat telah berubah. (Agendadaily.com)

Berikut adalah Ahli-ahli Parlimen BN yang tidak hadir. Selepas seminggu berlalu mungkin sudah ada jawapan untuk Perdana Menteri. Ada yang bertugas atau bercuti keluar negara, cuti sakit, atau apa sahaja alasan yang munasabah.

MENTERI


Tambun – Husni Hanadzlah
Tasik Gelugor – Nor M Yackop
Penampang – Bernard Dompok
Sembrong – Hishamuddin
Bagan Datok – Zahid Hamidi

Tg Karang – Noh Omar
Segamat – S Subramaniam
Raub - Ng Yen Yen
Kimanis - Anifah Aman

Jeli – Mustapa Mohamed
Lumut – Kong Cho Ha
Kemaman – Shabery Cheek
Tampin – Shaziman Mansor

Semporna – Shafie Apdal
Marudu – Maximus Ongkili
Betongi – Douglas Uggah
Pasir Gudang – Khaled Nordin
Jelebu - Dr Rais Yatim

TIMBALAN MENTERI


Muar - Razali Ibrahim
Papar – Rosnah Shirlin
Pontian – Ahmad Maslan
Sg Besar - Noriah Kasnon

Jerlun - Mukhriz Mahathir
Kampar – Lee Chee Leong
Kluang - Hou Kok Chung
Larut – Hamzah Zainuddin

Baram - Jacob Dungau
Bt Pahat – Puad Zarkashi
Beaufort – Lajim Ukim
Cam Highland – Devamany

AHLI-AHLI PARLIMEN BIASA-BIASA JE....


Libaran – Juslie Ajirol
Mamboing – James Dawos
Mas Gading – Tiki anak Lafe
Mukah – Leo Michael Toyad
Pasir Salak – Tajuddin Rahman

Kinabatangan – Bung Mokhtar
K Tinggi – Syed Hamid Albar
Kulai – Ong Ka Ting
Lanang - Tiong Thai King
Lawas – Henry Sum Agong

K Batas – Abdullah Badawi
K Kangsar – Rafidah Aziz
Kalabakan – Ghapur Salleh
Kangar – Radzi Sh Ahmad
Keningau – Joseph Pairin

Gelang Patah – Tan Ah Eng
Gua Musang – Razaleigh Hamzah
Hulu Rajang - Billy Abit
Igan – Abd Wahab
Jerantut – Tengku Azlan

Alor Gajah - Fong Chan Onn
Bintulu - Tiong King Sing
Bukit Katil - Md Sirat
Bt Sapai - Edmund Chong
Batang Sadong - Nancy Shukri

Tebrau – Teng Boon Soon
Tg Batu – Idris Haron
Tg Malim – Ong Ka Chuan
Tg Manis - Norah Rahman
Tuaran – Mujilip Bumburing

Rembau – Khairy Jamaludin
Rompin – Jamaluddin Jarjis
Seria – Richard Riot
Sibuti – Ahmad Lai Bujang
Setiawangsa – Zulhasnan

Padang Besar – Azmi Khalid
Pengerang – Azalina Othman
Pulai –Nur Jazlan
Putatan – Makcus Mojigoh
Putrajaya – Tengku Adnan

Salah seorang Timbalan Menteri sudah bagi jawapan dan alasan :

ini jawapan Ahmad Maslan dr blog parpukari

"Saya hadir 100% di Dewan Rakyat tahun 2009 ini...kehadiran penuh..tak pernah ponteng walau sehari..Alhamdulillah..sukar juga utk hadir 100%..tahun lepas pula saya tak hadir Dewan Rakyat cuma 1 hari iaitu pada hari pengkebumian arwah ayah saya..selepas tahlil mlmnya saya balik & hadir hari berikutnya..pada hari pengundian Isnin lepas, saya hadir Dewan Rakyat dari jam 10pagi hingga 330ptg..selepas itu pergi mtg di BTN Hq sbb hari berikutnya Selasa, PM berjumpa dgn pegawai2 BTN..pada mlm pengundian saya tak hadir sbb uruskan emak yg uzur kerana ptg itu utk kali pertama didapati/diagnose oleh Hospital Ampang Puteri terdapat batu karang dlm pundi hempedu & ketumbuhan dlm hati..ini memeranjatkan kami sekeluarga..masalahnya ialah tiada sms atau telefon nyatakan ada pengundian mlm itu yg saya terima..pada jam 11paginya saya terima sms biasa yg diterima banyak kali pada hari2 sblmnya ttg dewan bersidang hingga 10.30mlm..itu saja, tiada sms yg saya terima ttg pengundian atau mlm itu mlm akhir penggulungan Menteri..mungkin terlupa/silap teknikal/terlepas pandang utk disms kpd saya..itu cerita sebenar..selalu ada sms/call dibuat jika ada kejadian2 yg difikir penting akan berlaku..tapi tidak saya terima pada mlm itu..jgn kerana 1 mlm itu saya tak hadir, maka dianggap saya tak bertanggung jawab..pada bacaan Bajet kali pertama, ramai MP BN hadir utk standby khuatir ada pengundian..tetapi tiada pengundian mlm itu bila pembangkang dapati ramai MP BN yg hadir..tetapi ketika itu saya dimaklumkan ttg hal kemungkinan pengundian melalui sms..CADANGAN saya ialah agar komunikasi antara peg2 khas/peg2 bertugas kementerian & urusetia tertentu dimantapkan, strategi/masa penggulungan diperbaiki dan kejadian itu dijadikan iktibar yg penting..saya juga telah memaklumkan kpd PM&TPM beberapa cadangan lain utk ditimbangkan..terima kasih Ahmad Maslan"

Ahli Parlimen yang datang malam tu adakah terima sms atau panggilan telefon?
Kalau Menteri atau Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen perlu di sms atau di telefon jika ada 'kecemasan', kerja siapa pulak ni? Hehehe.....masing-masing dah mula menuding jari........

Bung Mukhtar ni kita maaf ajekan dia. Dia sedang berbulan madu. Selamat Pengantin Baru Bung......Ayat power Bung :" walaupun saya tidak cukup kacak untuk Zizie tetapi cukup kuat untuk Zizie" kahkahkah......

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, December 17, 2009

Bola Sepak dan Maal Hijrah.......



Malaysia menamatkan kemarau emas selama 20 tahun selepas menumpaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-25, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di Vientiane petang semalam (Khamis).

Gol kemenangan Malaysia adalah hasil gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83. Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur (1989) di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Malaysia menempah tiket ke final selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1 sementara Vietnam mengalahkan Singapura 4-1, pada perlawanan separuh akhir, pada Selasa.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan itu diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Sejak kes rasuah bolasepak pada tahun 1990an saya sudah lama tidak menjengah ke mana-mana stadium bolasepak. Sejak tertangkapnya Azizul Abu Hanifah dan dikenakan hukuman buang daerah ke Perlis saya seolah-olah 'merajuk' dengan bola kerana terasa tertipu dengan permainan yang telah diatur keputusannya. Team pujaan saya ketika itu ialah pasukan Perak kerana adanya Azizul Abu Hanifah, Roffandi Yussuf dan Zaidi Napiah dan ketika itu saya tinggal di Perak. Namun pasukan yang saya minati tentulah pasukan negeri kelahiran saya yang ketika itu mempunyai ramai pemain-pemain ternama seperti Dollah Salleh, Nasir Yussof, Khalid Shahdan, Ismail Ibrahim, Anuar Abu Bakar disamping 3 pemain import berbisa iaitu Ervin Boban, Alister Edwards dan Abbas Saad. Pada ketika itu, saya jarang ketinggalan untuk ke stadium sama ada di Stadium Perak di Ipoh, Stadium Datuk Haji Hassan Yunos, Johor Bahru atau Stadium Shah Alam di Selangor.

Selepas era tersebut saya lebih suka menonton televisyen jika ada perlawanan-perlawanan menarik seperti final Piala FA atau final Piala Malaysia. Semasa era itu juga saya agak bosan dengan pasukan kebangsaan yang prestasinya turun naik. Tidak seperti era Allahyarham Mokhtar Dahari, Isa Bakar, Ali Bakar, Shukur Salleh, Khalid Ali, Hassan Sani, James Wong, Soh Chin Aun, Santokh Singh , Arumugam dan nama-nama lain yang cukup terkenal pada masa itu. Saya tidak melihat kejayaan pasukan negara melayakkan diri bertanding di Munich pada tahun 1972 dalam sukan Olimpik kerana pada masa itu saya baru darjah dua dan kampung saya belum masuk elektrik lagi tetapi kejayaan melayakkan diri ke sukan olimpik Moskow 1980 adalah di depan mata. Saya masih ingat, Malaysia mengalahkan Korea Selatan 1-0 di Kuala Lumpur.

Namun semua itu hanya tinggal kenangan.......

Pada malam Maal Hijrah, skuad bawah 23 tahun telah mencuri perhatian kita dengan merangkul pingat emas. Namun skuad ini masih terlalu mentah dan banyak perkara perlu diperbaiki. Seperti kata pengulas-pengulas sukan yang banyak di kedai-kedai kopi (juruletih kampung) menyimpulkan antaranya:

'stamina dah ok...

taktikal masih kurang..

Kelemahan kawalan bola..

Kurang kawalan permainan...

Lemah dalam membuat hantaran dan cuai ...

Ada kalanya kurang kawalan emosi dan ketenangan'

Itulah antara komen-komen yang dapat dikumpulkan jika Malaysia mahu keluar daripada juara peringkat Asia Tenggara. Kalau tidak sampai bila-bila pun kita akan jadi 'juara kampung'.

Bagi saya, ianya satu permulaan yang baik. Cuma kita rakyat Malaysia mendoakan dan memberi sokongan padu sama ada ketika menang atau kalah kerana tidak ada sesiapa yang mahu kalah. Kita boleh memberi pandangan dan kritikan membina demi sukan no. 1 negara itu. Tahniah Malaysia....Malaysia Boleh.

Seperkara lagi, melalui bolasepak kita boleh menyatukan semua hati-hati manusia kerana sukan ini mempunyai peminat yang ramai. Tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa dan budaya, manusia akan bersatu menyokong pasukan negara. Begitu hebatnya pengaruh bolasepak....

Malam tadi mungkin ramai yang alpa dan terlepas dengan doa akhir tahun dan doa awal tahun kerana asyik berada di hadapan televisyen menyaksikan siaran langsung. Namun dicelah-celah 'keasyikan' itu rasanya ada juga yang melakukannya bersendirian tidak seperti selalu di surau-surau dan masjid-masjid. hehehe....apa pun saya ucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1431H kepada para pembaca sekelian.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com