Thursday, January 8, 2009

Ulamak mana yang penakut?





Sekitar tahun -tahun 80an - 90an ceramah-ceramah Parti PAS memang popular di negeri-negeri Pantai Barat. Selalunya ianya dimulakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan puji-pujian kepada Rasullah s.a.w. Dari bacaan ayat-ayat suci ini kemudiannya bertukar topik kepada isu-isu semasa yang diulas secara sepintas lalu dan kemudiannyaa dikupas dengan lebih terperinci.

Banyak-banyak pemimpin PAS yang mendapat sambutan hangat seperti bintang filem adalah Mohamad Sabu. Suaranya yang lantang, jenakanya dan ulasannya yang nampak logik dan boleh diterima akal boleh menarik penonton daripada pelbagai peringkat umur terutama daripada golongan muda.Betul atau tidak bukan penting, yang penting penonton akan puas dan seronok.

Suatu ketika apabila membincangkan tentang gejala - gejala sosial dan hukum Hudud, pemimpin-pemimpin PAS akan menyerang ulamak-ulamak yang bekerja dengan kerajaan sebagai 'ulamak suk' atau ulamak penakut kerana tidak memberi pandangan dan nasihat kepada Umarak (pemerintah) tentang jalan-jalan penyelesaian mengikut Islam. Mereka menuduh Ulamak -ulamak kerajaan mementingkan periuk nasi mereka saja tanpa berani menegakkan kebenaran. Lebih teruk lagi, Ulamak kerajaan dimalukan seperti makan gaji buta dan tidak berusaha meningkatkan martabat syiar Islam sesuai dengan kedudukan mereka dalam kerajaan.

Pendek kata ulamak yang berkhidmat dengan kerajaan ini salah belaka. 20 tahun sudah berlalu. Walaupun hukum Allah iaitu hukum hudud, qisas dan ta'zir belum dapat dilaksanakan. Namun sumbangan ulamak-ulamak di Malaysia bukan sedikit nilainya. Banyak sumbangan yang dilakukan melalui badan-badan kerajaan lain,JAKIM, NGO Islam dan sebagainya. Maka tidak adil dan tidak sedap telinga mendengar untuk menuduh ulamak sebagai 'ulamak suk'. Sejak merdeka, ulamak-ulamak yang bekerja dengan kerajaan telah berusaha gigih menyusun atur kehidupan, perundangan, muamalat dan munakahat umat Islam. Dalam sekelip mata, jasa dan sumbangan ulamak-ulamak kerajaan diperkecil-kecilkan dan bukannya hendak berterima kasih.

Sejak isu hudud di dendangkan, sehingga kini masih juga belum terlaksana oleh PAS kerana PAS masih belum menguasai negara ini. Mana boleh hendak menguasai negara ini jika kerusi yang ditandingi kurang daripada 100 berbanding 222 kerusi Parlimen. Kalau hendak juga menguasai pentadbiran peringkat Persekutuan terpaksa pula bergabung dengan DAP dan PKR. PKR macam tidak ada pendirian sementara DAP jelas terang dan nyata menolak hudud.

Dalam keadaan ini, Ulamak-ulamak PAS tidak pula berhajat untuk mengambil tindakan 'berani' untuk mempengaruhi DAP dan PKR. Tindakan yang sepatutnya diambil oleh PAS ialah dengan 'berani'nya keluar daripada Pakatan Rakyat. Mengapa PAS menentang UMNO? Jawapannya UMNO tidak melaksanakan hukum Hudud. Pas tentang habis-habisan. Pemimpin UMNO tidak pernah keluarkan perkataan ' Langkah Mayat Saya Dulu, Jika hendak melaksanakan hukum hudud' tapi UMNO di musuhi sepanjang zaman.

DAP boleh kata apa saja termasuk menghina Hukum Hudud. Tetapi Ulamak-Ulamak PAS membisu seribu bahasa. Berdetik pun tak ada, semuanya menikus. Penakut kah ulamak-ulamak PAS yang 20 tahun dahulu mengatakan Ulamak-Ulamak yang bekerja dengan kerajaan itu 'ulamak suk'. Ulamak mana yang penakut? Bak kata pepatah 'paku dulang paku serpih, mengata orang diri yang lebih'

Soalnya sekarang ulamak dari golongan mana yang LEBIH penakut?


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Apabila Ulamak Politik Di Maki.







Sejak kempen Pilihanraya Kecil P36 Kuala Terengganu bermula, banyak laman-laman web wujud yang menyiarkan berita-berita terkini tentang pilihanraya tersebut. Lebih menarik lagi website-website tersebut menyediakan ruang seluas-luasnya kepada pembaca untuk mengirim artikel dan tulisan-tulisan mereka. Bagi menarik lebih ramai melawati website tersebut ada pulak ruangan foram berkenaan sesuatu tajuk yang diutarakan.

Kemudahan IT sebegini sangat berkesan untuk penglibatan rakyat terbanyak untuk mengikuti perkembangan semasa dan isu-isu terkini. Sama ada website itu penyokong kerajaan atau pembangkang, ianya sudah menjadi lumrah bagi sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Hujah, pendapat, pandangan, cadangan, dan percambahan fikiran amat digalakkan. Namun penghujahan di alam maya ini membuka peluang kepada sesetengah pihak untuk mengeluarkan kata-kata atau ungkapan yang kurang enak.

Kalau yang terkena peluru itu, Menteri, Timbalan Perdana Menteri hatta Perdana Menteri pun sudah menjadi halwa mata membacanya. Sudah tidak rasa apa-apa pun apabila Pak Lah atau Najib terkena peluru penulis-penulis foram atau penulis-penulis artikel.Walau pun saya bukan penyokong dan peminat Parti Islam Se Malaysia (PAS), tetapi tersentak juga bila pemimpin-pemimpin mereka yang terdiri daripada ulamak-ulamak dihamburkan dengan kata-kata kesat.

Kalau takut dilambung ombak, jangan dirikan rumah di tepi pantai. Kalau sudah masuk ke dalam politik terima saja seronoknya, gembiranya, bahananya dan celakanya. Kalau ulamak pun sudah bercakap macam ahli politik biasa, siapakah yang boleh menahan orang lain untuk mempertikaikan apa yang ulamak politik katakan. Antara tajuk-tajuk tulisan yang menyerang ulamak- ulamak PAS seperti tajuk-tajuk ' Nik Aziz dan rasuah politik', 'Nik Aziz bangkrap Idea' Nik Aziz Pembohong' 'Hadi Awang lidah bercabang' dan banyak lagi penulisan rakyat biasa yang melepas geram kepada tokoh-tokoh ulamak tertentu. Yang membaca pun terasa hati, apatah lagi empunya badan.

Apa nak di kata, kalau dah masuk ke dalam tong taik, sedikit sebanyak terpalit juga.
Tidak kurang juga mereka menghentam Parti ISLAM SeMalaysia (PAS). Perkataan ISLAM pada parti tu yang tak seronok di dengar. Kalau ada kutukan terhadap parti berkenaan terasa juga sebab ada perkataan ISLAM. Tapi layakkah parti PAS itu dinamakan parti Islam. Lihatlah contoh-contoh ini: ' PAS PARTI LOKLEK DAN TOK ROK CE'TONG!! - DATUK IDRIS JUSOH',' PAS pelawak Sarkas - Anwar', 'PAS PARTI TAK ADA PRINSIP!!!' dan lain-lain lagi.

Kalau lihat pula website-website pro-pembangkang lebih dahsyat lagi ungkapan-ungkapan seperti 'UMNO Yahudi', 'UMNO parti menyundal'dan lain-lain yang tak tergamak hendak menyebutnya. Jadi, penyokong-penyokong parti Islam ini pun tidak menunjukkan akhlak yang baik. Kadang-kadang rasa keliru jugak kerana parti, penyokong dan pemimpin Islam ini tidak menunjukkan akhlak yang lebih baik dari parti-parti sekular yang lain. Kaedah menghalalkan cara ini digunapakai jugak oleh golongan ulamak ini untuk mencapai matlamat politiknya.

Walau dalam keadaan sedih dan malu, tapi apakan daya rakyat yang tidak mempunyai kuasa dan harta untuk mencadangkan ketidak wajaran digunakan perkataan Islam dalam parti siasah di negara ini. Jikalau parti ini dapat membezakan batang tubuhnya dengan parti-parti sekular yang lain dengan memaparkan akhlak yang baik dan mentarbiah secara bijak sana, mungkin kita boleh berasa bangga.


Amir Hamzah
Batu Pahat.

Wednesday, January 7, 2009

Kes Liwat Anwar Bukan Konspirasi ?





Kes liwat DS Anwar Ibrahim akan mula didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari 2009. Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01petang dan 4.30 petang 26 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan bon peribadi RM20,000. Seluruh rakyat Malaysia dan mungkin seluruh dunia akan mengikuti perbicaraan ini yang akan menentukan hidup dan mati DS Anwar dalam politik.

Ketika saya masih bertugas di Ipoh, saya sering juga mendengar ceramah-ceramah politik anjuran parti-parti pembangkang terutamanya PAS. Seingat saya antara tahun 1997 dan 1998 saya sering menghadiri ceramah-ceramah Sdr.Mohamad Sabu yang memang terkenal sebagai 'ayam laga' atau 'ayam sabung' Parti Islam SeMalaysia itu. Caranya yang bersahaja, cerita-cerita jenaka, selain maklumat-maklumat terkini politik tanah air sentiasa mengamit hati saya untuk mendengarnya.

Salah satu maklumat terkini dan paling panas ketika itu yang kurang menyenangkan hati saya ialah gosip-gosip berkenaan Timbalan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim berhubung dengan salahlaku moralnya, sehingga Sdr Mohamad Sabu menggelarkannya sebagai Sheikh Anwar Ibrahim Al-Juburi. Saya tidak senang dengan gosip itu kerana saya amat menyanjung tinggi peribadi Anwar bukan setakat jawatan TPM malah pernah menjadi menteri di kementerian saya bertugas. Malah jauh dari itu saya sememangnya antara ribuan peminat politiknya kerana karismanya, visinya, misinya, pidatonya, latarbelakang agamanya dan beliau menjanjikan harapan baru kepada Melayu, Islam dan Malaysia. Saya tetap berpegang kepada prinsip ' seseorang itu tidak boleh didapati bersalah selagi dia tidak disabitkan kesalahannya oleh mahkamah'

11 tahun sudah berlalu, terlalu sarat dengan peristiwa dan cerita-cerita politik. Imbauan 11 tahun dahulu membuat saya tersenyum kerana isu liwat DS Anwar telah saya dengar beberapa bulan sebelum beliau dipecat, bukan melalui saluran-saluran rasmi berita perdana tetapi melalui ceramah-ceramah politik Sdr Mohamad Sabu.

Lebih melucukan lagi Parti Sdr Mohamad Sabu sendiri sekarang sedang bersengkokol dengan parti DS Anwar Ibrahim. Sekarang ini orang yang disebut Sheikh Anwar Ibrahim Al-Juburi menjadi sahabat pula kepada parti Mohamad Sabu dan melantiknya pula sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Tulisan saya ini ada sedikit persamaan dengan tulisan seorang penulis yang mengelarkan dirinya pendeta dengan tajuk tulisannya 'Konspirasi Besar DAP, Pas Dalam Kes Liwat Anwar' ditulis pada 16 Julai 2008. Pendeta menulis :

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Karpal Singh dan Mat Sabu, Naib Presiden Pas sekarang adalah merupakan orang pertama yang mendedahkan salahlaku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 semasa DAP mengadakan Konvensyen mereka di Kuala Lumpur.

Karpal Singh telah menegaskan di hadapan ahli-ahli DAP di konvesyen itu dan mendakwa bahawa dia mempunyai bukti bahawa Timbalan Perdana Menteri pada masa itu melakukan salahlaku seks yang teruk.

Dia turut mencabar Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir mengambil tindakan ke atas Anwar kerana salahlaku seksnya dan membicarakan Anwar. Pendedahan salahlaku Anwar oleh Karpal Singh berlaku lima bulan sebelum salahlaku seks Anwar didedahkan kepada umum oleh Dr Mahathir.

Pelik tetapi benar, apabila dua orang pemimpin Pakatan Rakyat adalah orang pertama yang membuat tuduhan terhadap Anwar dan hari ini mereka amat menyanjungi Anwar.
Tentu sukar untuk mempercayai bahawa orang yang sama membuat dakwaan pertama tentang salahlaku Anwar ialah orang yang sama turut menjadi sebahagian daripada pasukan peguambela Anwar dalam kes tersebut.

Tetapi kenapa Karpal Singh yang pernah menuduh Anwar dengan tuduhan tersebut, bertindak menjadi peguambela bagi kes yang sama? Tidakkah ini kelihatan seperti “ada udang di sebalik batu”?

Lebih menghairankan lagi apabila Anwar sendiri rela diwakili oleh Karpal Singh yang pernah menuduhnya melakukan salahlaku seks. Atau adakah disebabkan dendam Karpal Singh terhadap Tun Dr. Mahathir pada masa itu?

Penulis berpendapat Anwar bersetuju menerima Karpal sebagai sebahagian pasukan peguambelanya kerana beliau tidak perlu malu dan segan untuk dia meluahkan segala rahsia seksnya kerana yakin Karpal sendiri sudah mempunyai maklumat yang sama apabila membuat dakwaan sebelum ini.

Jadi Anwar tidak perlu berselindung dengan Karpal dan memudahkan Karpal Singh mengatur strategi untuk membela Anwar dalam perbicaraan nanti.Pada masa itu, Karpal Singh mengambil peluang ini untuk menawarkan khidmatnya sebagai peguambela Anwar. Karpal sedar bahawa Anwar akan terpaksa mendedah segala maklumat penting bagi membolehkannya membela Anwar.

Jadi, boleh disimpulkan bahawa setiap sejarah hidup, perilaku dan tindakan yang pernah diambil oleh Anwar sudah berada di tangannya. Karpal juga mengambil kesempatan untuk menjadi popular apabila membuat tuduhan bahawa ada konsipirasi untuk membunuh Anwar menggunakan asernik dan sebagainya.

Hakikat sebenarnya tuduhan konspirasi ini tidak pernah wujud kerana apabila diperiksa oleh pihak doktor tiada sebarang sisa arsenik dalam tubuh badan Anwar.Malah jika benar dakwaan Wan Azizah bahawa Anwar disuntik oleh virus HIV, penulis yakin Anwar sudahpun meninggal dunia hari ini kerana penyakit AIDS.

Tidakkah Anwar sudah masuk ke perangkap Karpal Singh sehingga beliau bebas melakukan segala bentuk konspirasi selepas ini? Tidakkah Anwar telah dicucuk hidung dan bakal diheret ke mana-mana oleh DAP.Kenapakah sekarang DAP dan Karpal Singh setuju sebulat suara untuk melantik Anwar sebagai PM sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan Kerajaan Pusat.

Alasannya cukup mudah dan hebat!. Semasa menjadi peguambela Anwar, Karpal telah berjaya mengumpulkan banyak bukti hasil pengakuan Anwar sendiri dalam usaha untuk membebaskan dirinya daripada tuduhan salahlaku seks.

Penulis yakin Karpal Singh dan DAP masih menyimpan bukti-bukti ini bagi mengawal tindakan Anwar apabila dia menjadi PM nanti. Kita tahu bahawa sememangnya terdapat peruntukan undang-undang yang mewajibkan peguam menyimpan rahsia anak guamnya.DAP dan Karpal Singh mandapat faedah yang besar jika mereka berjaya memastikan Anwar Ibrahim mengikut telunjuk mereka dengan bukti-bukti yang ada pada Karpal.

Anwar yang sememangnya gilakan populariti sudah pasti tidak berani untuk melawan kerana bimbang rahsia yang memalukan akan terdedah kepada umum terutama penyokongnya yang setia.Jika ini berlaku, setiap tindakan dan keputusan Anwar tentunya akan memihak kepada Karpal Singh dan DAP.

Pada masa itu nanti, orang Melayu hanya mampu melihat tanpa dapat melakukan apa-apa tindakan. Jadi siapa sebenarnya yang melakukan dan mengatur konspirasi, DAP dan Pas ataupun Barisan Nasional?

Nasihat kepada Anwar Ibrahim supaya jangan pandai membuat tuduhan melulu kepada kerajaan. Belajarlah dari pengalaman yang lepas siapa yang sebenarnya melakukan konspirasi terhadap anda.Ingat satu jari anda menuding kepada orang lain, empat jari menuding kepada anda kembali.Tidak hairanlah kalau Karpal Singh menyokong kecaman Amerika terhadap Malaysia untuk menunjukkan sokongannya terhadap Anwar sebagai membalas sokongan Anwar mempertahankannya dalam kes biadapnya terhadap Sultan Perak.
Anwar dan Karpal Singh ibarat lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan. Jika kes liwat terbaru ini naik ke mahkamah, adakah Anwar akan melantik Karpal Singh sebagai peguambelanya. (petikan tulisan oleh pendeta)

Akhir kalam, Anwar yang saya sanjung dahulu, yang saya harapkan akan membawa harapan dan sinar baru kepada Melayu, Islam dan Malaysia semakin jauh dari hati saya dan rakan-rakan yang seangkatan. Dalam keadaan politik Pakatan Rakyat yang semakin carca merba, DS Anwar bukan sahaja jauh dan jauh tetapi akan terus hilang dari sanubari kami walaupun dahulu beliau adalah pemimpin Agong yang diimpikan.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Tuesday, January 6, 2009

Pergi ke Bulan Naik Roket Jangan Meletup di Tengah Jalan




Sahlah tiga calon bertanding dalam pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu iaitu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS, Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam. Ianya mengulangi seperti pilihanraya ke 12 lalu, cuma calon-calon sahaja yang berbeza.

Berdasarkan keputusan dalam Pilihanraya umum Mac 2008 yang lalu pertandingan kali ini dijangka lebih sengit daripada Pilihanraya kecil Permatang Pauh. Kalau Pilihanraya kecil Permatang Pauh kita boleh agak keputusannya semasa hari penamaan calon lagi tapi bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu agak berlainan sedikit. Berikut adalah keputusan Pilihanraya Umum 2008 bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Datuk Razali Ismail (BN-UMNO)= 32 562
Mohamad Sabu (PAS)= 31 934
Maimun Yusof (BEBAS)= 685
Undi Rosak = 931
Majoriti = 628

Berdasarkan statistik di atas tidak ada siapa yang boleh mendabik dada.Semua parti rasa seronok kerana majoriti kemenangan BN yang kecil. Semua yakin nak tarik undi Mak cik Maimon sebanyak 685. Semua sibuk nak mengajar memangkah sampai pandai kepada 931 undi yang dulunya dipangkah rosak. Calon BEBAS menjadi pemecah undi BN dan PAS. Calon BEBAS menjadi tempat luahan rasa pengundi yang tidak berpuas hati kepada BN dan PAS.

Disebabkan jauh daripada Kuala Terengganu, saya tidak pasti apakah isu tempatan yang dibangkitan di Kuala Terengganu. Kalau adapun mungkin isu-isu Pilihanraya umum 2008 yang lalu yang tak 'sejuk-sejuk'. Isu layanan polis melayan demontrasi di Kuala Terengganu mungkin ada parutnya lagi. Isu Royalti Minyak Terengganu, Piala Monsoon, pembangunan-pembangunan yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat Terengganu dan isu -isu tempatan lain mungkin relevan lagi berkumandang di corong-corong ceramah sepanjang kempen nanti.Daripada berbagai-bagai isu yang boleh memainkan sentimen pengundi ,nampaknya isu wang royalti minyak akan dijadikan isu oleh PAS pada pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

Daripada ceramah dan gaya percakapan calon PAS, jelas perkara ini akan menjadi ibu kepada segala isu yang akan ditimbulkan pembangkang.“Saya akan dedahkan 'pengkhianatan' Umno” kata calon PAS pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut.

Pengundi Kuala Terengganu seramai 80 325 orang (PRU ke12)boleh memikirkan sama ada hendak memfokuskan kepada isu-isu tempatan atau isu-isu peringkat pusat. Jikalau pengundi-pengundi menumpukan isu-isu tempatan maka ianya berkisar di negeri Terengganu sahaja. Sebaliknya jika pilihanraya ini dilihat dari sudut kepentingan nasional sudah tentu isu Pakatan Rakyat boleh diambil kira. Oleh itu calon PAS yang bertanding bukanlah membawa prinsip dan perjuangan PAS tetapi ianya membawa mesej Pakatan Rakyat.

Sejak kebelakangan ini rumah tangga Pakatan Rakyat yang belum didaftarkan itu sering menimbulkan kontroversi. Baik di dalam parti masing-masing atau antara parti yang menganggotainya. Semua pengundi KT faham tentang isu Hudud antara PAS dan DAP. Isu ini sangat sensitif bagi ke dua-dua parti dan kemungkinan ianya akan terus berlarutan. PAS sering terperangkap dalam isu ini kerana penubuhan sebuah negara Islam dan perlaksanaan Hukum Hudud adalah antara janji-janji dan manifesto PAS dalam beberapa siri pilihanraya sebelum ini.

Jadi isu Hudud tidak relevan untuk didendangkan oleh PAS kerana PAS bertanding atas tiket Pakatan Rakyat. Maka sebarang ulasan dan janji-janji berkenaan Hudud adalah satu pembohongan dan retorik belaka buat masa ini.

Memilih PAS bermakna pengundi di KT turut juga menyokong DAP. Menyokong DAP bermakna pengundi KT sudah melupakan penghinaan Karpal Singh dan Lim Guan Eng terhadap penubuhan sebuah negara Islam dan perlaksanaan Hudud.Tergamak kah pengundi KT menyokong DAP yang sentiasa menguris hati dan perasaan orang Melayu dan Islam. DAP adalah parti pelampau Cina yang anti Melayu dan anti Islam. DAP membawa risalah 'Malaysian Malaysia' yang menafikan hak-hak istimewa orang-orang Melayu, Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu dan Agama Islam sebagai agama rasmi.

Apabila DAP mempertikaikan 'Ketuanan Melayu' dan DEB, PAS dan PKR hanya menjadi pemerhati malah 'Ketuanan Melayu' yang didokong puluhan tahun Anwar Ibrahim kini sudah diputarbelitkan dengan 'Ketuanan Rakyat'. 'Ketuanan Melayu' itu meletakkan Raja-Raja Melayu sebagai institusi yang mulia dan menjadi pelindung kepada rakyat dan ianya telah diterima ratusan tahun dahulu. 'Ketuanan Rakyat' seolah-olah hendak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara sosialis dan republik. Adakah ini tanda-tanda awal ke arah satu revolusi untuk menghapuskan sistem monarki yang ada di Malaysia?

Menyokong PAS bermakna menyokong PR. PAS di Parlimen kurang mengambil bahagian berbanding rakan-rakan mereka seperti PKR dan DAP. PAS sering tersepit di antara hendak menegakkaan prinsip dan perjuangan parti atau hendak menjaga hati kawan-kawannya. Apabila ada isu-isu sensitif terhadap orang Melayu dan Agama Islam PAS seolah-olah sudah menjadi seperti Mesir, Jordan, Syria, Arab Saudi dan negara-negara Arab lain yang telah dibeli oleh Yahudi dan Amerika. Arab-arab ini ada kepentingan dengan barat sehingga sanggup menutup sebelah mata dan membutakan mata mereka terhadap pembunuhan dan pembersihan kaum Palestin oleh Israel.

Keadaan di Timur Tengah itu hampir-hampir menyerupai situasi antara PKR,DAP dan PAS. Masing-masing terpaksa menjaga kepentingan masing-masing dan mereka sekarang sedaya upaya mempertahankan pakatan ini walaupun ramai rakyat mengharapkan agar mereka ini akan 'berpisah'sebelum pilihanraya ke 13 nanti. Kalau tidak ramai ahli Parlimen PAS kurang mengambil bahagian di Parlimen, kenapa kita perlu menambah lagi pemimpin yang penakut dengan DAP. Lebih baik kita cari pemimpin-pemimpin seperti Datuk Ibrahim Ali yang sentiasa konsisten mempertahankan isu-isu Melayu dan Islam.

Selain daripada hubungan dingin antara PAS dan DAP, di dalam PAS sendiri sudah ada kem-kem yang menunjukkan unsur-unsur perpecahan. Dalam pilihanraya kecil P36 KT semua sedia maklum ada kumpulan PAS Terengganu, PAS Kelantan dan Kumpulan Erdogan yang Pro Anwar yang sering bertelagah sejak dari memilih calon lagi.Paku dulang paku serpih, mengata orang diri yang lebih. Parti ulamak-ulamak pun boleh bergaduh apatah lagi UMNO yang biasa-biasa ini.

Justeru itu pengundi-pengundi KT yang cerdik dan bijaksana dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata. Rakyat Malaysia pada umumnya menerima apa saja keputusan di KT kerana kemenangan PAS pun tidak membawa satu perubahan besar, kecuali kemenangan ini membawa Anwar Ibrahim ke Putrajaya. Kalau PAS menang juga boleh lah diibaratkan mereka bersama-sama pergi ke bulan naik roket jangan meletup di tengah jalan. SELAMAT MEMILIH DAN SELAMAT MENGUNDI.


Amir Hamzah
Batu Pahat.

Monday, January 5, 2009

Berpuluh tahun UMNO mempertahankan, sekelip mata PAS menghancurkan.




Keputusan kerajaan pakatan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)Perak untuk memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru di seluruh negeri ini menimbulkan persoalan kerana ia dilihat lebih bermotifkan politik.Ini kerana, pada masa yang sama, kerajaan negeri hanya merancang memberikan status hak milik 99 tahun kepada penduduk di Rancangan Kampung Tersusun (RKT).

Di seluruh negeri Perak, terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80peratus kaum Cina.Sementara RKT terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).

Cadangan untuk memberi status hak milik kekal itu dianggap sebagai luar biasa kerana kerajaan campuran Perak baru beberapa bulan memerintah.Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin berkata, rasional untuk memberi hak milik kekal dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ia mengikut apa yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara.Beliau akan merujuk cadangan tersebut mengikut Kanun Tanah Negara atau mana-mana perundangan yang dibenarkan.

Ramai pemerhati politik melihat tujuan cadangan ini bukanlah berdasarkan faktor ekonomi iaitu bagi membolehkan tanah itu dicagar untuk tujuan perniagaan tetapi ianya dilihat lebih berkait dengan isu politik demi menunaikan janji kerajaan negeri yang didominasi oleh DAP. Malang bagi Melayu Perak yang tinggal di lot-lot tanah di RKT akan diberikan status pajakan hanya 99 tahun kurang 900 tahun daripada Kampung-Kampung Baru.

Mengapa UMNO tidak memberi hak milik kekal kepada Kampung Baru perlu dilihat dari segi sejarah kewujudan Kampung Baru itu sendiri. Kampung baru (新村) ialah istilah umum yang selalu digunakan bagi penempatan baru pada zaman darurat pada tahun 1950an. Kampung baru dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tempat tinggal, air, elektrik, kemudahan kesihatan dan sekolah. Penduduk yang berhampiran hutan yang terancam dengan serangan ganas komunis dipindahkan ke kampung baru yang dilindungi oleh pasukan mata-mata khas yang juga dikenali sebagai special constable dan tentera.

Pada umumnya tujuan utama kampung baru dilaksanakan adalah untuk melemahkan gerakan Min Yuen. Gerakan ini membekalkan senjata, maklumat, ubat-ubatan, wang dan makanan kepada komunis. Kampung baru merupakan sebahagian daripada Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney pada tahun 1950.

Sebanyak 400,000 orang penduduk setinggan Cina telah dipindahkan ke lebih kurang 400 buah kampung baru di seluruh Tanah Melayu. Antara kampung-kampung baru popular ialah seperti Jinjang ,Kampung Tengah ,Loke Yew,Seri Kembangan ,Gombak ,Labis ,Sungai karas dan Sungai Way .

Dalam perkembangan terbaru Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Peguam Negara mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Perak kerana melanggar peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut perlu disegerakan kerana ia bercanggah dengan keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) yang mana Menteri Besar Perak turut menjadi ahlinya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebenarnya tidak mempunyai kuasa melainkan ada sebab-sebab istimewa yang amat jelas.

“Kenyataan Exco kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham baru-baru ini yang mendakwa pemberian hak milik tanah kekal selaras dengan syarat keadaan khas di bawah kanun tersebut tidak tepat sama sekali.

“Pada ketika masih ramai orang Melayu sendiri tidak ada tanah, dia harus faham betapa istimewanya nasib penduduk kampung baru mendapat pajakan tanah ketika itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.(petikan dari: www.pribumiperkasa.com)

Perkara utama yang dipertikaikan ialah mengapa hakmilik kekal selama 999 tahun tidak diberi juga kepada Rancangan Kampung Tersusun? Siapakah sebenarnya di belakang Menteri Besar Perak? Adakah MB cuba membelakangkan dan mengguris hati dan perasaan 2juta Melayu Perak semata-mata hendak menurut kata 18 DUN daripada DAP.

Apa yang berlaku di Perak ini adalah sesuatu yang paling mahal dibayar oleh pengundi-pengundi Melayu yang memenangkan calon PAS dan KEADILAN yang calonnya Melayu sehingga menafikan UMNO mendapat majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Pokoknya perpecahan Melayu Perak boleh membawa bencana kepada negeri dan tunggulah sepanjang 3 tahun lagi Menteri Besar ini akan diperkotak-katikkan untuk kesekian kalinya.

Amir Hamzah
Batu Pahat.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Mengapa BN Perlu Rampas Perak Semula?
http://puu-umno.blogspot.com

Tuesday, May 19, 2009
Sejauh manakah keadilan/ketelusan polisi pemberian geran tanah '999 Tahun' kerajaan Pakatan DAP/PKR/PAS di Perak??

Salam Sejahtera,

Saya terpanggil untuk berkata sesuatu berkenaan isu pemberian geran tanah '999' tahun oleh kerajaan pembangkang DAP/PKR/PAS di Perak, jika tidak silap saya awal bulan Januari tahun ini, sehinggakan ianya telah menarik perhatian Kerajaan Pusat mengesa agar pemberian itu ditangguhkan sehingga Majlis Tanah Negara (MTN) membuat ketetapan polisi yang seragam di seluruh Malaysia. Kepada yang tidak arif undang-undang, isu Tanah walaupun adalah di dalam bidangkuasa negeri masing-masing (tetapi untuk keseragaman polisi, ianya telah di letakkan di bawah bidangkuasa Kerajaan Pusat). Artikel 74 Perlembagaan Malaysia jelas maksudnya.
Saya telah membuat kaji-selidik dan berikut adalah apa yang saya perolehi daripada kajian saya:

Kampung Baru - 55,233

Kampung Tersusun - 73,703
___________

128,936 geran tanah
___________


Melayu = 27.66% (35,663 geran)

Cina = 57.49% (74,125 geran)

India = 14.85% (19,146 geran)

Justeru itu, dimanakah yang dikatakan kesamarataan, keterbukaan dan keadilan untuk semua yang diwar-warkan oleh pakatan pembangkang ini?
Saya serahkan untuk Saudara/Saudari membuat kesimpulan masing-masing.
Terima kasih.

Saturday, January 3, 2009

Politik- Segalanya Mungkin





Sememangnya dalam politik tidak ada yang mustahil, semuanya segalanya mungkin.Kita sepatutnya menerima sesuatu perkara sebagai takdir dan sudah menjadi satu ketentuan.

Di dalam sejarah politik tertinggi negara terutama melibatkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sangat menarik untuk diimbas semula.

Allahyarham Dato'Onn bin Jaafar adalah Pengasas dan Presiden UMNO pertama yang berpengaruh tetapi Allahyarham bukanlah Perdana Menteri Malaysia pertama walaupun beliau sangat berjasa kepada orang Melayu.Malah Dato'Onn meninggal dunia di luar parti UMNO.

Allahyarham Tun Dr.Ismail bin Abd.Rahman tidak sempat menjadi Perdana Menteri apabila beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973, jam 10 malam di rumah beliau di Kuala Lumpur semasa beliau berusia 58 tahun. Ketika itu Tun adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Tengku Razaleigh Hamzah adalah nama besar dalam politik Malaysia.Majalah Time meramalkan beliau akan menjadi pemimpin utama di Malaysia berdasarkan hubungan baik dan kepercayaan Tun Abd.Razak kepadanya. Namun apabila Tun Hussein Onn melantik Tun Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri, ianya menjadi titik pusing kerjaya politiknya.Pada masa itu Tengku Razalegh adalah Naib Presiden UMNO dengan undi tertinggi. Sehingga sekarang Tengku Razalegh belum lagi ditakdirkan menjadi PM Malaysia.

Tun Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri kelima di Malaysia dari 1981-1986 di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.Tun Musa juga tidak menjadi PM Malaysia.Tun Musa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, disebabkan percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri Dr. Mahathir terhadap dasar-dasar negara.

Tun Ghafar b Baba juga tidak kurang besarnya jasa kepada negara dan orang Melayu. Tun juga tidak menjadi Perdana Menteri kerana dalam tahun 1993, Tun Ghafar menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Presiden UMNO dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Datuk Seri Anwar juga mengalami nasib yang sama apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkir DS Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1998 dan kemudian dari Timbalan Presiden UMNO serta keahlian dalam UMNO.

Berdasarkan coretan di atas tidak mustahil DS Najib Tun Razak juga mengalami nasib yang sama. Disebabkan peristiwa ini belum berlaku, kemungkinan DS Najib menjadi Perdana Menteri tetap ada.

Apa cerita, apa peristiwa, apa yang tersirat, betul atau salah semuanya itu akan menjadi satu catatan sejarah. Realitinya Malaysia sudah mempunyai 5 Perdana Menteri dan 9 orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Kesimpulannya 2009 akan menjanjikan persaingan sengit politik Malaysia yang kadang kala boleh menakutkan.Sama ada DS Najib berjaya menjadi PM pada Mac 2009 atau DS Anwar sampai juga ke Putrajaya atau DS Abdullah terus menjadi PM sehingga pilihanraya ke 13 sama-sama kita nantikan kerana dalam politik SEGALANYA MUNGKIN!

Amir Hamzah
Batu Pahat

Thursday, January 1, 2009

Nasib Bahasa Melayu Terletak Di Tangan Pemimpin Melayu





Nasib Bahasa Melayu terletak di tangan pemimpin Melayu yang memegang tampuk kuasa. Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 152 jelas menunjukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi bagi negara ini.

Sejak Kerajaan Melayu Melaka, Bahasa Melayu menjadi Bahasa Linguafranca di kalangan pedagang-pedagang seluruh dunia.Negara kita dijajah sejak daripada Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun namun Bahasa Melayu terus wujud. Selagi ada penuturnya baik di kalangan rakyat biasa hinggalah kepada istana ,bahasa ini terus utuh, teguh dan berkembang.

Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968.Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Pada era 80an -90an nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum.

Apa pun sebutannya ia tetap Bahasa Melayu yang kita faham maksudnya.Kesenimbungan sejarah dan perkembangan Bahasa Melayu adalah digalas kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa.

Semenjak pemerintahan Tunku Abdul Rahman, Tun Abd.Razak dan Tun Hussein, Bahasa Melayu tetap terpelihara sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa Rasmi negara. Lebih penting lagi tidak ada suatu dasar kerajaan yang boleh melemahan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.

Kita mengharapkan di zaman Tun Mahathir Mohamad, Bapa Malaysia Moden ini akan menjulangkan Bahasa Melayu seperti mana beliau menjulangkan Malaysia antara negara membangun yang paling maju di dunia. Harapan kita selain menjulangkan ekonomi dan pembangunan negara, beliau dapat juga menjulangkan Budaya dan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa utama di dunia. Kita menaruh harapan kerana Tun adalah manusia Melayu genius, berjiwa besar dan berkeyakinan tinggi. Slogan 'Malaysia Boleh', 'Yakin Boleh' dan ungkapan-ungkapan motivasi telah meletakkan rakyat Malaysia di puncak Everest dan Kutup Utara.

Namun 'Malaysia Boleh'dan 'Yakin Boleh' masih belum cukup untuk kita merealisasikan 'Bahasa Melayu Boleh' walaupun bahasa itu telah wujud 1000 tahun dahulu. Pernah menjadi bahasa perdagangan, Bahasa pengembangan Agama Islam, Bahasa Pentadbiran dan Bahasa Ilmu Pengetahuan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.

Statistik di atas masih lagi belum berupaya untuk menanamkan 'keazaman politik' pemimpin-pemimpin Melayu untuk bertutur Bahasa Melayu dan mengangkat martabat Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya.

Kehebatan Bahasa Melayu terkandung di dalam konsep 'Ketuanan Melayu' yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu tetapi tidak dihayati. Sebab itu rakyat mempertikaikan konsep 'Ketuanan Melayu' yang diwar-warkan itu.

Bahasa Melayu yang berkait rapat dengan 'Ketuanan Melayu' itu sekali lagi terhakis dan terguris apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.

Nyata sekali, pemimpin-pemimpin Melayu yang berjiwa besar, mempunyai semangat nasionalisme tinggi, berfikiran global yang diharapkan oleh rakyat untuk mengangkat Bahasa Melayu tetapi pemimpin-pemimpin inilah yang meminggirkan Bahasa Melayu. Pak Lah dihujung pemerintahannya juga dilihat tidak mampu untuk mengembalikan semula kehebatan, keunggulan,kewibawaan dan kedaulatan Bahasa Melayu di tanah air tercinta ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat.