Friday, September 30, 2011

Hak Yang Hilang Akan Hilang Terus......

Sebahagian daripada kita berasa lega dengan penafian Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan memansuhkan kuota untuk bumiputera ketika berucap pada Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu seperti mana dalam laporan Malaysian Insider bertarikh 27.9.2011, sebaliknya beliau menyatakan bahawa orang Melayu jangan terlalu bersandarkan kuota. Tenaga bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha dengan orang lain supaya ia akan jadikan kita lebih dihormati.

Pengkhususan kouta 30% kepada bumiputera belum lagi dicapai walaupun dibantu oleh penguasaan GLC-GLC dengan sedikit sokongan syarikat-syarikat dan individu Melayu. hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Naib Presiden PERKASA, Dr Zubir Harun, hampir 60% daripada 67% kaum Bumiputera rakyat pribumi Malaysia itu mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM 1,500 sebulan (berada di paras miskin).

Secara logiknya, Orang Melayu baru saja terlepas daripada belenggu penjajahan kira-kira 54 tahun dahulu iaitu pada tahun 1957 sedangkan kita dijajah selama 446 tahun sejak 1511 apabila Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sepanjang tempoh penjajahan, Melayu bukan saja dijajah dari segi politik, tetapi mentaliti dan cara berfikir mereka telah dirosakkan. Tujuannya memang mudah agar pribumi sentiasa bergantung kepada British dan British sengaja tidak mahu memberi pendidikan yang sempurna kepada golongan pribumi.

Penjajahan dan mengaut hasil bumi di Tanah Melayu lebih rakus apabila British membawa pendatang-pendatang daripada China dan India untuk membantu meningkatkan penguasaan ekonomi British di Tanah Melayu. Orang Melayu tersisih daripada penguasaan bijih timah dan perusahaan getah, jika ada pun dikalangan kerabat diraja dan golongan bangsawan.

Pembukaan lombong bijih timah dan getah telah merancakkan pembukaan bandar-bandar baru seperti di Lembah Kelang dan Lembah Kinta. Di bandar ini menjadi pusat kepada perniagaan dan perdagangan yang dikuasai oleh pendatang-pendatang daripada China. Sekali lagi, Orang Melayu tersisih oleh arus perdana ekonomi Tanah Melayu.

Ianya bukan saja pusat perniagaan dan perdagangan tetapi juga pusat ilmu di mana sekolah-sekolah Inggeris didirikan di bandar-bandar. Siapakah yang berpeluang mendapat ilmu di situ? Sekali lagi anak-anak Melayu tertinggal dan terbiar.

Di bandar-bandar diterangi dengan bekalan elektrik, bekalan air bersih, sistem pengangkutan , sistem pengairan, tahap kesihatan lebih baik dan tempat kediaman yang sempurna, terancang dan teratur. Maka sekali lagi orang Melayu tersisih dan tertinggal sejak sebelum merdeka lagi.

Orang Melayu hanya dibiarkan berselerak di kampung-kampung dengan sistem sosial dan ekonomi yang tradisional serta sistem pendidikan yang menyediakan mereka menjadi 'office boy' dan kerani saja. Memang itupun tujuan British supaya anak pribumi terus kekal bodoh dan dungu agar mereka tidak pun terfikir untuk merdeka dan memerintah negara sendiri.

Selepas merdeka 1957, tidak ada apa tindakan kerajaan secara berkesan kepada orang Melayu untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. Maka DEB dilancarkan pada tahun 1970.

“DEB telah berjaya dilaksanakan dan itulah sebabnya peratus kemiskinan rakyat dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus sahaja pada 2002. Sebagaimana mengikut persetujuan semua kaum, DEB lupus pada tahun 1990, dan dengan itu berakhir program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat dalam tempoh 20 tahun..” Dasar Ekonomi Baru digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (1990)

Jikalau dilihat dengan tempoh masa kita dijajah dan tempoh kita merdeka, padang yang disediakan untuk Bukan Melayu dan Orang Melayu memang tidak sama rata. Orang Melayu tidak marah kepada Orang Cina, India atau British kerana orang Melayu mempunyai rasa tolak ansur yang luar biasa. Cuma mereka memerlukan pembelaan sehingga mereka dapat dipulihkan agar dapat berjalan dan bersaing serta berdiri dengan megah di tanah airnya sendiri.

Bagi memulihkan pencapaian orang Melayu yang gemilang dahulu bukan boleh diambil dalam masa yang singkat. Jika orang Melayu terhina selama lebih 400 tahun maka orang Melayu sewajarnya dibantu selama 400 tahun juga.

Umum mengetahui bahawa masalah ketidaksamaan sosioekonomi di negara ini masih berterusan. Terdapat golongan yang masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan dan hak milik kekayaan, iaitu :

1. Golongan Bumiputra – pemilikan dari segi ekuti dalam sektor korporat 19.4%, hak milik premis 15.0%, dan pendapatan purata RM3,156.

2. Golongan Bumiputra Sabah & Sarawak – dari segi hak milik sektor korporat 3.0%, dan pendapatan purata antara RM2,063 hingga RM2,858.

DEB merupakan penterjemahan roh perlembagaan dalam usaha memulihkan nasib generasi bumiputra yang ketinggalan sejak berzaman atas apa jua alasan yang diberikan sejarah. Perbedaan struktur asasi masyarakat mengikut garis ethnik dalam bidang pekerjaan, pendapatan dan harta memerlukan jangka masa yang lama hingga memerlukan beberapa generasi untuk dipulihkan. Ini diakui oleh Pendita Zaaba dalam tulisannya mengenai kemiskinan orang Melayu 1927, dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman.

Orang Melayu perlu belajar daripada orang Cina bagaimana mereka mempertahankan hak dan menuntut hak. Baca USUL HUA ZONG


Kalau ada tanah, jangan terjual kepada orang lain. Kalau ada bangunan jangan terlelong pada orang lain, kalau ada hak jangan mudah membuang hak itu. Kalau hak itu tidak penting tentu mereka tidak bersungguh-sungguh untuk membuang segala hak keistimewaan orang Melayu tersebut.

Bagi mengubah orang Melayu supaya menjadi yang lebih baik ianya tidak ada kena mengena dengan hak. Pemimpin Melayu jangan lagi sesuka hati mengubah dan membuang hak bangsanya seperti mana mereka menggantikan Tanah Melayu kepada Malaysia, Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, melemahkan Tulisan Melayu dalam arus pendidikan perdana, soal-soal biasiswa dan pendidikan dan beberapa lagi tindakan yang mengguris hati orang Melayu.

Penubuhan Teraju dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), umpamanya dibuat untuk menjaga kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Walaupun ada pihak memandang sinis penubuhannya dan mengaitkannya dengan cubaan mengaburi mata Melayu dan Bumiputera yang tidak sedar keistimewaan mereka ditarik sedikit demi sedikit, nyata penubuhannya akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi mereka bagi jangka panjang.

Penubuhan Teraju, umpamanya, antara usaha menambahkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara ini sekurang-kurangnya sehingga 50 peratus. Usaha yang berterusan hingga membolehkan Teraju mengenal pasti lebih 1,000 syarikat milik Bumiputera yang berpotensi untuk dibantu berkembang kini mencapai tahap membanggakan.

Jikalau Melayu tak menjadi pemerintah jangan mimpi lah kita boleh merancang sedemikian rupa. Perancangan dan perlaksanaan yang dilakukan oleh Teraju dan MTEM itu atas dasar hak kita sebagai pribumi.

Keistimewaan Melayu adalah hak kita dan bukan satu keperluan.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

4 comments:

KUNTONG said...

Hanya Melayu dn bumiputera sahaja
yang perlu menjaga hak ini. Kalau dah ada Melayu sendiri yang mempertikaikan HAK ini, maka pencapaian yang diharapkan akan menjadi kabur. Justeru, pilihlah pemerintah yang mempunyai kesedaran ini.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Hak kena jaga......bukan banyak lagi perkara yang Melayu tinggal....Pemimpin Melayu jangan nak gadaikan lagi hak yang sedikit itu

wakketar said...

Salam tuan tanah kedaung... (Hehehehehe)
Orang Melayu... Ada yang berfikiran... asal aku dapat... hak lain peduliiiiiiiii apa aku...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

wakketar:
Tu namanya mementingkan tembolok sendiri.....hehehe