Friday, September 25, 2009

Umar Bin Abd Aziz Berbanding Pemimpin Masa Kini



Selepas Pilihanraya ke 12 lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang ada menyebut tentang pemerintahan Khalifah Umar b Abd.Aziz. Kononnya selepas menjadi ketua Menteri yang baru, beliau akan melaksanakan pemerintahannya seperti mana pemerintahan Umar b Abd.Aziz di zaman Bani Umaiyyah. Setakat menyebut nama Umar bin Abd.Aziz, ramai yang boleh menyebutnya dan menceritakan kisah pentadbiran serta kesederhanaannya. Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya tahu nama Khalifah Umar b Abd. Aziz melalui pembacaannya atau mungkin ketika belajar Sejarah Islam di Tingkatan 6 atau semasa di Universiti.

Apabila Ketua Menteri itu menyebut tentang pemerintahan Umar b Abdul Aziz, maka bersorak dan bertakbirlah segala juak-juak politik yang bersengkokol dengan partinya itu tanpa menyedari bahawa Lim Guan Eng hanya cakap-cakap politik semata-mata. Hanya nak menyedapkan hati orang-orang Islam bahawa beliau akan memerintah secara adil dan saksama tanpa mengira asal-usul keturunan, bangsa dan agama. Benarkah Lim Guan Eng betul-betul menjalankan pemerintahan seperti mana pemerintahan zaman Khalifah Umar b Abdul Aziz? Katak bawah tempurung pun boleh ketawa terbahak-bahak dan berdekah-dekah.

Jangan mimpilah pemerintahan seumpama Khalifah Umar b Abdul Aziz itu akan berulang di akhir zaman ini. Kemungkinan kita tidak akan berjumpa lagi dengan pemerintahan seperti itu. Kita hanya akan mengharap dan merindui keadilan dan kesederhanaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Pemimpin-pemimpin hari ini baik yang sekular atau dari kalangan ulamak, sosialis dan komunis terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pemerintahan Umar.

Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Semasa menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun, beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”

Adakah pemimpin-pemimpin kita baik yang sekular, sosialis dan Islamik hari ini tidak leka dengan kekayaan dan kemewahan? Adakah ada pemimpin-pemimpin kita yang mampu menjadi imam solat bagi rakyatnya? Kalau adapun yang boleh menjadi imam tetapi dalam masa yang lain, dialah pengadu domba, pemecah masyarakat, penabur fitnah, pembohong malah hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Adakah lagi pemimpin-pemimpin yang menggunakan kenderaan yang sederhana kalau bukan semuanya menggunakan kereta yang ratusan ribu harganya?

Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan
yang penuh zuhud dan kesederhanaan.

Pemimpin hari ini bukan sahaja tidak bersih tetapi takut untuk mengambil tindakan kepada pemimpin-pemimpin dan anggota kerajaan yang rasuah. Walaupun ada yang telah diambil tindakan tetapi masih mengamalkan sikap 'double standard'. Ada pemimpin yang kena dan ada pemimpin yang bebas walaupun sudah didapati bersalah. Adakah pemimpin-pemimpin kita sanggup menyerahkan hadiah dan barang kemasnya kepada Baitul Mal. Jangan harap dan jangan dimimpikan. Duit Baitul Mal, Wang Zakat dan Simpanan Tabung Haji pun diseleweng dan disonglap sesuka hati.

Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakkku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”

Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal.

Bagaimana pula anak-anak pemimpin-pemimpin kita baik yang mengamalkan dasar sekular, sosialis dan Islamik ? Bukankah anak-anak pemimpin-pemimpin kita juga hidup bermewah-mewah sepertimana ibubapanya? Malah anak-anak menantu pemimpin yang berstatus ulamak pun hidup kaya raya dan berebut-rebut projek untuk menghimpun kekayaan? Kalau anak-anak pemimpin yang sekular itu sudah biasa di dengar tetapi kalau anak-anak, saudara mara dan suku sakat pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam dan keadilan pun mempunyai sikap yang sama malah lebih buruk lagi, apakah harapan kita untuk melihat penjelmaan semula pemerintahan Umar bin Abdul Aziz itu?

Selain itu, Umar adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Cerita-cerita yang biasa kita dengar adalah jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Pemimpin-pemimpin kita baik yang sekular, sosialis dan Islamik pernahkah tidak menggunakan harta rakyat dan negara untuk kepentingan diri dan suku sakat? Tanyalah secara jujur kepada pemimpin-pemimpin kita terutama yang berserban seperti bakul yang hari-hari bercakap tentang Islam dan keadilan. Kalau jawapannya tidak ada walau sesen pun mereka menggunakan wang rakyat dan negara, besar kemungkinan mereka berbohong.

Umar Abdul Aziz juga selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam. Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sungguh jauh bezanya kalau hendak dibandingkan peribadi, akhlak dan corak pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan pemimpin-pemimpin kita yang ada di depan mata pada hari ini. Janganlah Lim Guan Eng hendak menyebut lagi cakap-cakap politiknya itu kerana sebesar hama pun tidak ada yang menyamai sifat-sifat dan perlakuan Khalifah agung itu. Pemimpin-pemimpin kita kebanyakannya hanya mementingkan duniawi, suka kepada perpecahan, mempunyai akhlak yang tidak baik, pembohong dan paling bahaya ada di kalangannya peliwat.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

8 comments:

Arif Omar said...

amil-amil pengutip zakat beribu kes seluruh malaysia makan duit zakat. kutip tapi tak serah kepada jabatan agama. PG pernah dengar kadhi kelantan dulu semasa bertgas di kota bharu. beratus kes. cuma mereka / jabatan agama tak lapur polis kerana bimbang islam akan malu. jadi mereka diamkan sahaja. tentang lim guan eng? tahi umar abdul aziz lebih wangi dari batang tubuhnya. itu pun penyokong PAS bertakbir nak keluar anak tekak bila lge mengeluarkan cakap politik tu. kesianya dia ( penyokong PAS ). terus diperbodohkan. kesian

Geng Samudera said...

Salam,
Satu ulasan yang terbaik dan perlu disebarkan ke masyarakat supaya semua tahu ttg kemasyuran pemerintahan Umar Bin Abd Aziz berbanding pemerintahan sekarang.

Syabas bro....

Kawan di Iran sekarang.

cekodokmasin said...

سلام توان،
جاڠن کات ليم ݢوان اڠ، ڤميمڤين2 يڠ اد سکارڠ، باءيق دري بن اتاو ڤمبڠکڠ، ڤون تق تريکوت چارا شاادينا عمر. مان اد يڠ کلوار ڤرݢي چاري اورڠ ميسکين، ڤاڤا، سوسه، فاکير دان سباݢايڽ. سمواڽ دلوڠݢوککن ڤد کمس، ڤجابت دايره، ڤجابت اݢام ترماسوقله سکوله. ماس ده تق اد ݢلرن يب، بارو سبوق نمڤق کميسکينن دان کسوسهن اورڠ کامڤوڠ دالم دون اتاو ڤرليمين ماسيڠ2. ايت ڤون ماسيه سبوق2 سوروه بري لاݢي ڤلواڠ.. ڤلواڠ نق بولوت تيندر دان کونترک اݢقڽ...

HALIM said...

salam ceeek
syabas bro dengan penjelasan tentang seorang khalifah Islam...

Anonymous said...

SLM BRO...LGE NK IKUT CONTOH KHALIFAH UMAR STAIL KHALID BERAHIM KOT. SAPU DUIT ZAKAT NEGERI PASTU BG KAT SAMSENG2 SEBAGAI WANG PELINDUNGAN.

AGAKNYA DIA TELEBIH PERASAN. MAKLUM LAH YG BAGI GELARAN TU LEBAI2 SI JANGGUT LEBAT PAS. DPT PASPORT MASUK SYURGA AWAL2 LAGI HEHEH ADOIYAIII

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam bro Arif Omar,
Duit Zakat pun nak serkau juga ke....kesian...LGE cuma cakap-cakap politik je tapi disambut dengan fanatik oleh penyokong-penyokong taasub PAS. Betul ke LGE nak perintah mengikut cara Khalifah Umar b Abd.Aziz? Katak pun boleh ketawa berdekah2. Pemimpin Islam pun tak terikut apatah lagi yang kafir macam LGE tu. hehehe

Salam Geng Samudera,
lama tak dengor cerita, Selamat hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir dan bathin. Balik dari Iran turunlah Batu Pahat. Boleh ngeteh2 lagi.......

Salam Cekodokmasin,
Karpal kata langkah mayat dia dulu kalau nak laksana negara Islam. Itu masa DAP dan PAS bergaduh. Tapi masa berbaik2 ni LGE pun sebut pemerintahan Umar b Abd.Aziz dan Ngah pun baca ayat Quran. Hehehe

Salam En.Halim,
pergi Mersing sorang2 aje ye.....

Salam Jeffry,
Lakonan LGE aje bro. Susah nak jumpa pemerintahan seperti Umar Abdul Aziz yang adil dan sederhana. Nak tunjuk kat rakyat le tu kononnya DAP dah mesra dengan Islam. Maklumlah Pilihanraya ke 12 orang Islam banyak dah pangkah DAP. huhuhu

zedmagel said...

SALAM BRO AMIR,

JANGAN LE KITA MEMBANDINGKAN PEMIMPIN SEKARANG DENGAN KEPIMPINAN UMAR BIN ABD AZIZ, SANGAT JAUH SEPERTI US DENGAN SINGAPORE.

JAUH TU...PEMIMPIN SEKARANG DAH BOLEH KELUAR FATWA DAN PANDANGAN SENDIRI, SEPERTI SEMBAHAYANG TAK SAH DAN DURGA NERAKA MILIK POLAN-POLAN TERTENTU..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam bro zedmagel,

Nak cari pemimpin di akhir zaman seperti Khalifah Umar Abdul Aziz umpama menunggu hujan naik ke langit la bro. hehehe