Saturday, March 21, 2009

Silap Memilih, UMNO Hilang KUASA !


Muhyiddin dianggap pemimpin UMNO paling lantang menegaskan 'kebenaran itu perlu dinyatakan walaupun pahit'.Di kala pemimpin-pemimpin UMNO membisu, Muhyiddin telah menegaskan bahawa isu peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib dipercepatkan. Berkali-kali beliau menegaskan bahawa tindakannya ini adalah berdasarkan kepada kehendak akar umbi.

Memandangkan kepada kelantangan Muhyiddin, beliau telah dipandang serong oleh Pak Lah. Pak Lah sendiri tanpa berselindung telah memberi sokongan terbuka kepada Ali Rustam. Berdasarkan perkembangan mutakhir ini, Muhyiddin dianggap sebagai 'master mind' kepada kes rasuah yang dihadapi oleh Ali. Saya tidak menyalahkan Ali kerana Ali cukup matang berpolitik dan saya anggap kes Ali telah pun selesai.

Keadaan sekarang sudah menjadi celaru. Celaru kerana penyokong-penyokong Ali hendak beralih kepada siapa? Kepada Muhyiddin kah atau kepada Mohamad kah? Jikalau penyokong Ali tetap percaya kepada 'konspirasi' Muhyiddin, maka keadaan Muhyiddin menjadi tenat. Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya sedar keadaan ini, Muhyiddin mungkin menjadi mangsa.

Sebagai seorang bakal Presiden Najib juga sedar keadaan ini. Najib berkata' hari ini kita ramai-ramai menawarkan diri bertanding, apa guna kita menang tetapi parti kita kehilangan kuasa'. Najib menegaskan, jangan terlalu ghairah berebut jawatan hingga melupakan kepentingan parti dan halatuju parti selepas perhimpunan agung.

Najib memerlukan timbalan yang boleh bekerja bersama-samanya menangkis serangan pembangkang yang bertali arus sejak pilihanraya ke 12 lalu. Siapakah timbalan Najib yang boleh kita harapkan untuk berhadapan dengan Anwar, Hadi Awang, Lim Kit Siang maupun Karpal Singh ?

Siapakah timbalan Najib yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk menangani krisis ekonomi dan politik yang semakin gawat ini. Kedua-dua tokoh ini tidak banyak bezanya. Kedua-duanya adalah bekas Menteri Besar kepada dua negeri yang maju. Kedua-duanya adalah daripada team wawasan ketika Anwar Timbalan Presiden UMNO pada 1993. Kalau begitu apakah pertimbangan lain yang boleh perwakilan fikirkan untuk membuat penentuan iaitu memilih satu daripada dua?

Akhirnya perwakilan khususnya penyokong-penyokong Ali Rustam perlu memikirkan kepentingan parti dan negara. Sebarang bentuk tekanan emosi dan sentimen hendaklah diketepikan. Pilihlah dengan kewarasan akal agar kesilapan tidak berlaku kerana sebarang kesilapan kemungkinan menyebabkan UMNO kehilangan kuasa.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, March 20, 2009

PILIHAN PERIBADI AMIRHAMZAH64 (SEGALANYA MUNGKIN)







PENGERUSI TETAP :
DATO PADUKA HAJI BADRUDDIN BIN AMIRULDIN

TIM. PENGERUSI TETAP :
DATUK HAJI MOHAMAD B HJ AZIZ

PRESIDEN :
DATO' SRI NAJIB B TUN RAZAK

TIMBALAN PRESIDEN :
TAN SRI DATO' MUHYIDDIN B MOHD.YASSIN

NAIB PRESIDEN :
DATUK SERI UTAMA DR RAIS YATIM

DATO' SERI MOHAMMED KHALID NORDIN

TAN SRI MOHD. ISA SAMAD

AHLI MAJLIS TERTINGGI:
1.DATO' SRI ADNAN YAAKOB
2.DATO' SERI DR MOHD.ISA SABU
3.DATO SERI UTAMA MOHAMAD HASSAN
4.DATO' SERI ABDUL GHANI OTHMAN
5.DATO' SERI HJ MAHADZIR KHALID
6.DATO' DR NORRAESAH HJ MOHAMAD
7.DATO' SERI JAMALUDDIN JARJIS
8.DATO' IDRIS B HARON.
9.DATO'IR MOHD ZIN B MOHAMED
10.DATUK SERI MUSA AMAN
11.DATUK BUNG MOKHTAR B RADIN
12.DATO'MUSTAPA MOHAMED
13.DATO' NOH HJ OMAR
14.DATO' SHAHRIL ABD.SAMAD
15.DATO'ZULHASNAN RAFIQUE
16.DR MOHD PUAD ZARKASHI
17.DATUK TAJUDDIN ABD.RAHMAN
18.DATO' MOHD.HUSNI MOHD.HANADZLAH
19.DATUK ABD.LATIFF AHMAD
20.DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID

ANDA BAGAIMANA?

Wednesday, March 18, 2009

Ali Ada Peluang Tiga Tahun Lagi.



Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ketua menteri Melaka walaupun didesak berbuat demikian oleh pelbagai pihak. Sungguhpun beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana melanggar etika kempen ,Lembaga Disiplin hanya memutuskan Ali tidak boleh bertanding atau dipilih bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Malaysia pada pemilihan parti itu 26 Mac depan.

Ianya juga selaras dengan kehendak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berkata, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan kekal sebagai Ketua Menteri Melaka walaupun telah dikenakan tindakan Lembaga Disiplin UMNO.

Lembaga Disiplin tidak menjatuhkan hukuman gantung 3 tahun seperti mana yang dialami oleh Isa Samad sehingga memaksa Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail berkata, kesalahan Ali berkaitan Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO (anggapan kebersalahan pihak ke tiga).

Setelah mendapat jaminan daripada Timbalan Perdana Menteri berkenaan jawatan Ketua Menteri Melaka, TPM juga menaruh keyakinan Ali akan menerima keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut dengan hati yang terbuka. Najib turut meminta semua ahli UMNO menghormati keputusan yang telah dibuat oleh lembaga berkenaan.

Rais Yatim dalam temuramah dengan TV3 juga meminta supaya ahli UMNO menghormati keputusan yang telah dibuat. Apa maknanya kita menubuhkan satu badan untuk mengawal tingkah laku ahli-ahli UMNO tetapi kita sendiri yang tidak menghormati keputusan yang telah dibuat.

Setelah kekal sebagai Ketua Menteri Melaka, adalah lebih molek agar Ali tidak membuat rayuan. Tindakan ini akan menyukarkan Lembaga Disiplin sedangkan masa sudah begitu suntuk. Kemungkinan Lembaga Disiplin akan menolaknya kerana apakah pandangan rakyat jika Lembaga Disiplin membenarkan Ali bertanding semula. Ianya adalah satu tindakan yang membuang masa.

Sebaik-baiknya Ali tidak terikut-ikut dengan kehendak penyokong-penokongnya. Terima saje lah keputusan itu kerana memang telah diakui umum. Belajarlah daripada Isa Samad yang menjalani penggantungan 3 tahun dan kembali semula dengan imej baru. Isa adalah calon popular kali ini dan tidak mustahil beliau mendapat tempat sekali lagi bagi jawatan Naib Presiden.

Saya yakin Ali Rustam boleh menerima dengan hati terbuka seperti mana Isa Samad dahulu. Penyokong-penyokong Ali Rustam mungkin ramai yang tidak puas hati. Ianya adalah perkara biasa asalkan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti dan negara. Kita masih ada 2 calon untuk Jawatan Timbalan Presiden. Pilihlah salah satu daripadanya.

Yang hendak kita pilih ini bukan peringkat negeri tetapi negara. Pemimpin yang menang Timbalan Presiden UMNO akan membantu Presiden menggalas tanggungjawab besar iaitu mengembalikan kestabilan politik negara, mempertahankan ekonomi negara yang gawat, mengembalikan UMNO di hati rakyat, mengumpul semula kekuatan BN yang terburai selepas PRU ke 12 yang lalu serta berkarisma, berwawasan, bersih, amanah dan mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat bila-bila masa.

Saya mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa simpati kepada Datuk Ali Rustam. Selagi Datuk di dalam UMNO selagi itulah Datuk adalah salah seorang pemimpin saya. Bagi penyokong-penyokong Ali walaupun kecewa tetapi jangan sampai memfitnah orang lain dan membuat pelbagai spekulasi kerana UMNO bukan parti 'Pasaran Saham'.

TERBARU!:

Jawapan Datuk Ali melegakan ahli parti yang bimbang akan berlaku perpecahan parti berikutan keputusan Lembaga Disiplin Selasa melarang beliau daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Kehadiran beliau dalam majlis memperkenalkan calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada para perwakilan Negeri Sembilan di Seremban Khamis malam melakarkan suasana yang cukup menarik. Sekali gus memperlihatkan kematangan beliau sebagai pemimpin UMNO.

Ini adalah komen beliau tentang hukuman yang dihadapinya:
“Lembaga Disiplin…dia jalankan tugas atas arahan UMNO…jadi mereka jalankan tugas sebagaimana diarah…jadi apa yang diputuskan kita kena terima secara terbuka dan berlapang dada.

“Saya terima dengan hati terbuka dan tak perlulah tuduh sesiapa dalam soal ini,” katanya dengan harapan isu tuduhan dan tohmahan tidak akan dijadikan cakap-cakap politik yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Kematangan beliau berpolitik adalah keuntungan jangkapanjang. Beliau bukan pemimpin yang cepat melatah. “Saya datang nak bagi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. UMNO masih kuat dan bersatu. Habis pertandingan kita akan rapatkan semula barisan.

“Walaupun saya terkeluar awal sedikit, saya tak rasa kecewa…biasa saja. Saya datang nak bagi sokongan dan semangat kepada kawan-kawan…takkan lepas terkeluar (daripada bertanding) saya nak ambil cuti pula,” ujar beliau.

“Apa yang penting jika menang jadilah pemimpin yang baik dan jika tak berjaya jadilah pengikut yang baik, InsyaAllah parti selamat,” katanya


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Hujah NTV9 : Semukakan Tun M , Gapena Dan GMP




Isu PPSMI semakin hangat diperkatakan oleh orang-orang politik, orang-orang akademik malah dikalangan rakyat biasa. Isu ini juga akan dibahaskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO 24-28 Mac 2009.

Sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung minggu hadapan ada baiknya Rancangan Hujah kelolaan NTV9 menjemput Tun Mahathir, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)Datuk Dr Hassan Ahmad berhujah dihadapan rakyat tentang PPSMI. Seperti biasa moderatornya adalah Prof. Dr Agus daripada UKM.

Sebelum para perwakilan-perwakilan berhujah di Perhimpunan Agung nanti ada baiknya pandangan daripada Tun Mahahtir yang bertanggung jawab dengan dasar PPSMI ini diberi peluang untuk memberi buah fikiran setelah 6 tahun perlaksanaannya. Saya rasa Prof Dr Agus berupaya mencungkil sejarah, latarbelakang serta kepentingan dan keperluan Tun tentang idea PPSMI ini.

Kita juga ingin melihat hujah-hujah daripada Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)Datuk Dr Hassan Ahmad yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kalau boleh jemput sekali wakil daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang konsisten menentang PPSMI sejak PAU 2004. Ada lebih molek dijemput juga Tun Abdul Rahman Yaakob Bekas Menteri Pelajaran dan bekas Ketua Menteri Sarawak yang sering mengatakan PPSMI ini adalah langkah mengundur ke belakang bukannya melangkah ke hadapan.

Akhir sekali jemput juga,Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng yang mungkin sesuai mewakili guru-guru PPSMI. NUTP mungkin sudah cukup maklumat berdasarkan sokongan dan bantahan daripada guru-guru khususnya guru-guru Sains dan Matematik.

Seingat ingatan saya, kesemua mereka ini tidak pernah membuat bantahan secara terbuka di hadapan Tun Mahathir. Kemungkinan pada masa itu, ramai yang takut bersuara kerana ketegasan Tun melaksanakannya. Sekarang Tun bukan lagi Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa lagi. Saya rasa perbincangan ini tidak memberi tekanan kepada para penentang PPSMI.

Mungkin tidak adil membiarkan Tun Mahathir keseorangan tetapi adalah bijak membiarkan Tun bersendirian kerana segala rahsianya ada di dalam batu jemala Tun dan hanya beliau sahaja yang dapat memberikan jawapan yang terbaik.

Para perwakilan UMNO yang akan bersidang adalah diharapkan sangat mengikuti program siaran langsung ini kerana di dalam program ini akan lahir banyak idea-idea dan mudah untuk mereka berbahas sama ada menyokong atau sebaliknya di dalam PAU nanti.

Perbincangan secara sihat , berhemah dan mempunyai nilai-nilai intelektual ini bukan sahaja ditonton oleh orang Melayu malah semua rakyat Malaysia. Bukan sahaja untuk ahli UMNO tetapi ahli semua parti politik dan orang-orang yang tidak berparti.

Saya rasa ianya akan menjadi panduan kepada perwakilan-perwakilan yang hendak berhujah dalam isu PPSMI ini di PAU nanti. Paling penting ianya akan memberi kepuasan yang tidak terperi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, March 16, 2009

Mari Kita Tengok, Siapa Yang Kenaaaaa........



Dua hari lepas saya mendapat sms dari seorang sahabat mengatakan ada peristiwa besar akan berlaku dalam sehari dua ini. Saya seperti biasa tidaklah gelojoh sangat untuk mengetahui apakah peristiwa besar itu kerana saya lebih berminat kepada peristiwa -peristiwa yang menggemparkan seperti peristiwa 1998 apabila DS Anwar dipecat daripada UMNO dan 1986 apabila Tun Musa meletakkan jawatan.

Kalau isu politik wang yang melibatkan tokoh-tokoh UMNO bukanlah peristiwa besar kerana ianya memang ditunggu dan sudah diketahui umum. Sama ada ianya betul-betul ikhlas untuk membersihkan UMNO atau untuk membersihkan 'orang-orang Pak Lah' yang pasti 17.Mac 2009 jam 4.00 petang semuanya akan terlerai. Mari kita tengok, siapa yang kenaaaa? (dailog Ibrahim Pendek dalam filem AliBaba Bujang Lapok)

Seolah-olah macam tidak ada kes tentang aduan rasuah dalam UMNO kepada Lembaga Disiplin parti dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia . Segalanya bermula apabila 2orang anak tokoh UMNO, Datuk Kadar Ninam Shah dan Datuk Mazlan Harun yang hendak mengambil tindakan injunksi bagi menghalang Perhimpunan Agung UMNO berkaitan kes-kes politik wang yang tidak diselesaikan.

Berikutan dengan itu Tun Mahathir juga telah menyentuh secara langsung di dalam blognya yang bertajuk 'Rasuah UMNO 2'. Tun menyatakan di waktu mesyuarat bahagian-bahagian UMNO diadakan untuk mencalon calon-calon bagi Majlis Tertinggi UMNO, pengerusi Lembaga Disiplin (Tengku Ahmad Rithaudeen) telah menyatakan yang beliau telah terima lebih 900 aduan berkenaan rasuah dalam pencalonan.

Tambahnya lagi, 'orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut. Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?'

Kes pertama melibatkan Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said yang bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu.

Datuk Mohamad Norza Zakaria,43 merupakan pemimpin tertinggi UMNO yang pertama dihadapkan di mahkamah atas dakwaan politik wang. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan hadir di Mahkamah Majistret Temerloh untuk mendengar dua pertuduhan yang didakwa berlaku pada 20 Januari lalu.

Dalam perkembangan terkini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan semua pihak di dalam UMNO jujur dengan diri sendiri dalam menghadapi isu politik wang. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus isu politik wang yang membabitkan beberapa pemimpin UMNO termasuk yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

Dalam isu terbaru, dikatakan ada kalangan calon yang bertanding jawatan tertinggi parti telah disiasat dan sedang menunggu tindakan diambil terhadap mereka. Menurut beliau, parti memang serius dalam soal isu politik wang dan mahu memastikan parti bersih dariapda amalan yang tidak sihat tersebut.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Ritahudeen akan mengadakan sidang media hari Selasa 17/03/2009 jam 4 petang. Difahamkan, sidang media berkenaan akan diadakan bagi mengumumkan keputusan siasatan lembaga berkenaan yang dipercayai ada kaitan dengan isu politik wang.

JAM 4.00 PETANG INI. MARI KITA TENGOK SIAPAKAH YANG KENAAAAAA..........


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, March 15, 2009

2 M Gagal. Najib-Muhyiddin Jadi Taruhan.



Tahun 1981-1986, Tun Dr Mahathir telah berganding bahu dengan Tun Musa sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Gandingan 2M ini berjaya mewujudkan keadaan politik yang stabil, ekonomi yang mampan serta UMNO sebagai tulang belakang BN adalah sebuah parti yang teguh dan kuat.

Harapkan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Seperti kata orang, dalam satu kandang tidak boleh ada 2 ekor singa. UMNO akhirnya mengalami krisis hebat pada tahun 1987. Tengku Razaleigh Hamzah telah mencabar Tun Mahathir sebagai presiden UMNO sementara Tun Musa dicabar oleh Tun Ghaffar bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Team B tewas. Kuli telah membawa keluar sebahagian ahli UMNO menyertai Semangat 46. Tun Musa bersara. Kumpulan 11 membawa UMNO ke mahkamah sehingga UMNO dharamkan pada 1988. UMNO (baru) dihidupkan semula dengan menambah perkataan (baru) semasa pendaftaran sedangkan perjuangan UMNO asal diteruskan.

Kemunculan Najib dan Muhyiddin menawarkan diri sebagai Presiden dan Timbalan presiden mengingatkan kita kepada gabungan 2M dahulu. Kemantapan dan kehebatan mereka berdua boleh menyaingi gabungan Mahathir-Musa.

Harapan rakyat mahu melihat gabungan ini menjadi kenyataan. Kehadiran mereka berdua sangat diperlukan buat ketika ini. Ketika UMNO berada di hujung tanduk. Ketika UMNO tinggal nyawa-nyawa ikan. Suntikan dan tangan ajaib Najib dan Muhyiddin diharap menjadi taruhan terbaik untuk memulihkan UMNO dan meletakkan semula UMNO ke landasan yang betul.

Kedua-duanya mempunyai pengalaman menjadi Menteri Besar. Najib pernah menjadi Menteri Mesar Pahang ketika berumur 29 tahun. Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor dan berjaya membawa Johor sebagai sebuah negeri industri serta mempunyai jasa besar dalam menyatukan semula orang-orang Melayu dalam Perhimpunan Melayu Johor.

Pembabitan mereka berdua dalam kementerian-kementerian utama serta meninggalkan jasa yang bukan sedikit perlu juga diambil kira. Keikhlasan Muhyiddin memberi laluan kepada Najib dengan meminta bahagian-bahagian UMNO mencalonkan Najib sebagai Presiden adalah satu permintaan yang ikhlas. Muhyiddin tidak terlibat dengan sebarang skandal, serta umurnya yang sudah menjangkau 61 tahun, lebih muda 5 tahun daripada Najib menunjukkan Muhyiddin bukan seorang yang gelojoh atau tamakkan kuasa.

Najib anak seorang negarawan, Muhyiddin anak seorang ulamak. Gandingan keduanya memang menjadi taruhan orang Melayu, Orang UMNO dan Rakyat Malaysia.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, March 14, 2009

Adik Nik Nur Madihah Yang Terlepas Pandang.




Adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran apabila meraih pencapaian cemerlang 20A termasuk 1A2, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan baru-baru ini.

Adik Nik Nur Madihah 18, dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) di Kota Bahru apabila mendapat A1 bagi Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Islam; Sejarah, Matematik; Sains; Kesusasteraan Melayu; Geografi; Bahasa Arab Tinggi; Matematik Tambahan; Perdagangan; Prinsip Perakaunan; Ekonomi Asas; Fizik; Kimia dan Tasawwur Islam.

Beliau turut mendapat A1 dalam Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah; Pendidikan Syariah Islamiah dan English for Science dan Technology. Satu-satunya mata pelajaran yang beliau mendapat A2 ialah Biologi.

Kejayaannya adalah hadiah paling berharga buat ibu bapanya, Nik Mohd Kamal Husin, 42 dan Mariani Omar, 40, yang sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan menuntut ilmu dalam usaha merubah kehidupan dan kemiskinan keluarga. Kejayaan anak gadis perkampungan nelayan, Kampung Parang Puting dekat Pantai Sabak pasti menjadi kebanggaan Pengetua, Zainah Abdullah dan Guru-guru di Maahad Muhammadi (P).

Saya secara peribadi mengucapkan setinggi tahniah kepada adik Nik Nur Madihah, Kedua-dua ibubapanya, guru-guru dan masyarakat disekeliling hidup Madihah. Kegigihan, ketekunan, disiplin dan hidup berlingkarkan agama yang teguh sepatutnya menjadi contoh dan ikutan pelajar-pelajar lain di seluruh negara.

Nik Nur Madihah sangat istimewa kerana masih ramai lagi pelajar-pelajar yang miskin dan daif seluruh negara tetapi mereka gagal melawan kemiskinan dan kepapaan dengan ketakwaan dan keredhaan. Ramai di antara mereka gagal dalam akademik dan akan mewarisi kemiskinan kedua ibubapanya .

Dalam ketenangan Madihah meneruskan kehidupan dengan segala kepayahan. Tidak ada bantuan atau biasiswa yang diterima kecuali daripada sumbangan ikhlas guru-gurunya sebanyak RM200.00 sebulan.

Memandang rumah Madihah, saya merasa sebak memikirkan apakah yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang berada disekeliling Madihah. Setelah merdeka 52 tahun lalu masih ada lagi rakyat Malaysia seperti keluarga Madihah yang terlepas pandang oleh pemimpin-pemimpin seperti ketua kampung, penghulu, wakil rakyat ADUN, wakil rakyat Parlimen, Pemimpin-pemimpin PAS yang sedang berkuasa dan pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah kaya raya.

Bagaimana kalau saya bandingkan rumah Zaid Ibrahim atau Annuar Musa di Kota Bharu maupun rumah pemimpin-pemimpin PAS yang hidup mewah berbanding dengan rumah keluarga Madihah tempat pelajar ini belajar dan bernaung dari panas terik mentari dan kesejukan dingin malam.

Nyata, Permata di Pantai Sabak ini telah terlepas pandang, kejayaan dan publisiti kejayaan adik Nik Nur Madihah akan mengamit hati-hati ramai manusia.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah-segalanyamungkin.blogspot.com