Saturday, September 24, 2011

MCA rasa dah kuat sangat ker?

Presiden MCA Chua Soi Lek hari ini memberi kata dua bahawa MCA akan keluar Barisan Nasional(BN) jika hukum hudud dilaksanakan oleh UMNO. Suara yang sama juga dicanang oleh Karpal Singh di dalam Pakatan Pembangkang yang menentang perlaksanaan hudud di Kelantan kerana bercanggah dengan perlembagaan negara.

Bezanya Karpal Singh bercakap di mana DAP mendominasi Pakatan Pembangkang yang menang besar dalam PRU 12 yang lalu. DAP adalah 'abang besar' dalam Pakatan Pembangkang berbanding PAS yang tidak mempunyai suara yang kuat di dalam Pakatan Pembangkang kecuali diperalatkan semata-mata. PAS hanya bertanding 66 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Di Dewan Rakyat PAS hanya ada 23 kerusi berbanding DAP 28 dan PKR 31 dalam PRU ke 12. Setelah ramai wakil rakyat PKR keluar BEBAS, DAP mengetuai jumlah kerusi terbanyak di kalangan Pakatan Pembangkang walaupun terpaksa mengekalkan Anwar Ibrahim PKR sebagai ketua pembangkang. Pendek kata, Karpal Singh menganggap PAS hanya ranking ke 3 di dalam Pakatan Pembangkang.

Berbanding dengan keputusan pilihanraya Umum ke 12, MCA kalah teruk di tangan DAP. MCA hanya menang 15 kerusi daripada 40 kerusi yang dicalonkan dan kehilangan banyak kerusi DUN daripada 90 kerusi DUN yang dipertandingkan. MCA mengalami kekalahan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, P. Pinang dan N. Sembilan. Dengan 15 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen atas kedudukan apa MCA boleh memberi kata dua kepada parti UMNO iaitu perti teras di dalam BN. Ada kerusi calon MCA yang hanya kerusi subsidi yang diberikan walaupun kawasan itu majoritinya Melayu. Kalau tiada kekuatan , mengapa Chua Soi Lek berani mengeluarkan amaran dan memberi kata dua?

Bukan Chua Soi Lek tak faham seperti yang dinyatakan oleh TPM, Muhyiddin Yassin. Bagi saya Chua Soi Lek amat faham dan yakin benar bahawa BN tidak akan melaksanakan Hudud dalam masa terdekat. Namun MCA tidak ada pilihan lain untuk membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa bukan DAP saja yang berani menentang hudud malah MCA di dalam komponen BN pun tak kurang beraninya. Lawan MCA adalah DAP di kebanyakan kerusi. Jikalau MCA tidak bersuara, maka benar lah MCA adalah 'adik kecil' di dalam BN. Daripada memberi undi kepada 'adik kecil' lebih baik pengundi Cina memberi undi kepada 'abang besar' (DAP) di dalam Pakatan pembangkang.

Di Dalam PRU ke 12 lalu, pengundi-pengundi Cina banyak membantu PAS dan PKR ketika bertanding melawan UMNO. Kekalahan pemimpin-pemimpin UMNO di kawasan undi bercampur adalah disebabkan pengundi Cina telah beralih arah mengundi PKR / PAS. Pengundi Cina juga berperanan memenangkan banyak kerusi PAS terutamanya di kawasan Pantai Barat.

Semasa PRU ke 12, PAS agak berlembut dengan berkorban menukarkan manifestonya yang menjadi tradisi setiap kali pilihanraya daripada penubuhan negara Islam dan Hudud kepada yang lebih enak dan cucuk dengan masyakarat bukan Melayu. Hasil pengorban menggugurkan tujuan asas dan dasar PAS itu maka pengundi tidak lagi menganggap PAS sebagai Parti Islam yang tertutup.

Apabila Nik Aziz bermain dengan retorik hudud semula, maka MCA terpaksa menuruti DAP yang terang-terang menolak hudud. Kenyataan Soi Lek itu menunjukkan MCA masih berusaha menarik semula pengundi Cina balik kepada MCA. Apabila Nik Aziz bermain dengan isu hudud semula, pengundi Cina akan beralih arah dan tidak akan menyokong parti PAS ketika bertanding dengan UMNO. Di kawasan majoriti Cina mereka juga akan berpecah semula sama ada MCA atau DAP. Maka tindakan Chua Soi Lek itu adalah betul.

Jerkahan Chua Soi Lek itu adalah tindakan politik MCA sebagai usaha terakhir menarik semula pengundi Cina. MCA terpaksa mengeluarkan kenyataan seperti itu atas dasar mahu menang dalam pilihanraya kerana MCA tidak mahu lagi menanggung malu. Jikalau MCA kalah dengan teruk dalam PRU 13 nanti, orang Cina akan melupakan MCA. Chua sendiri pernah memberitahu kerajaan jikalau calon-calon MCA ramai yang kecundang dalam PRU 13, kerajaan boleh tidak memilih wakil-wakil MCA sebagai menteri atau timbalan menteri.

Kesimpulannya, MCA terpaksa buat apa saja termasuk sanggup 'bermain' dengan isu hudud ini. MCA tidak banyak pilihan kerana masa untuk menghadapi pilihanraya terlalu hampir.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Friday, September 23, 2011

Hudud : Sekejap Ada, Sekejap Tak Ada.

Apa reaksi Najib apabila Nik Aziz memohon Perdana Menteri, supaya menarik balik surat tersebut dan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud jika benar-benar UMNO ikhlas berjuang untuk agama. Klik di sini untuk membaca surat Tun Mahathir kepada Nik Aziz.

Di dalam surat tersebut juga Tun menulis yang membawa maksud adalah tidak adil hukum hudud ini hanya pada orang Islam sahaja sedangkan mereka yang bukan beragama Islam akan terlepas walaupun melakukan jenayah yang sama, jadi di manakah keadilan di dalam hukum Hudud ala PAS ini? Sehingga kini surat itu tidak pernah dijawab oleh Nik Aziz.

Setiap kali pilihanraya, setiap kali lah akan berkumandang isu-isu lama untuk membugarkan kembali semangat penyokong PAS yang agak kecewa apabila dasar PAS daripada menubuhkan negara Islam dengan melaksanakan hukum hudud telah bertukar kepada Penubuhan Negara Kebajikan. Isu ini menjadi peluru kepada blogger-blogger pro kerajaan dengan menyerang PAS. PAS dikatakan hilang prinsip dan terpaksa tunduk kepada tuntutan di dalam pakatan terutama Anwar dan DAP.

Nik Aziz sedar keluh kesah dan kebimbangan penyokong tegar terutama penyokong golongan ulamak bahawa tindakan mengubah dasar asas ke arah pembentukan negara Islam kepada penubuhan negara kebajikan adalah satu kesilapan daripada segi moral dan maruah parti. Bagi menutup kesalahan ini, Hadi Awang bukan orangnya kerana Hadi tidak cukup berani berbanding Nik Aziz yang dikenali sebagai ahli politik yang 'gila-gila bahasa'. Maka Nik Aziz dikambing hitamkan sekali lagi.

Permainan wayang ini terus berlaku apabila Anwar secara peribadi menyokong hudud dilaksanakan di Kelantan. klik di sini. Sedangkan pemimpin-pemimpin PAS sendiri berbeza pandangan. Apa kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkenaan dengan perlaksanaan hukum hudud. klik di sini. kenyataan Naib Presiden PAS ini tidak jauh bezanya dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO.

Berkenaan dengan hukum hudud ini ramai yang telah mengulasnya. Hudud Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah itu bersifat adil ke atas seluruh umat manusia. Agama Islam itu sendiri adalah satu agama yang benar untuk seluruh umat manusia maka hukum-hukumnya juga adalah untuk menjaga alam ini supaya aman, damai dan barakah. Sedangkan Hudud PAS pula lebih bersifat politik dan hanya untuk orang Islam dan ianya telah disanggah oleh Tun Mahathir dalam suratnya kepada Nik Aziz. Penulisan yang menarik tentang hudud yang benar-benar dituntut Islam boleh baca di sini.

Seperti biasa ketika menjelang pilihanraya, sebelum menang mereka akan berjanji akan melaksanakan hudud sebelum ayam berkokok, selepas menang mereka akan berkata hukum hudud 0.0001 daripada hukum Islam seperti yang dikatakan oleh Hadi Awang.




Kita jangan terpengaruh sangat dengan pergaduhan olok-olok antara Nik Aziz dengan Karpal Singh berkenaan isu hukum hudud ini. Seperti kata Nik Aziz perjuangan hudud ini telah PAS perjuangkan sejak tahun 1951 lagi. Semenjak itulah 'hudud' menjadi senjata PAS dalam setiap kali pilihanraya. Akhirnya PAS tersilap langkah selepas PRU ke 12, sepatah pun perkataan Islam termasuk manifestonya telah digugurkan semata-mata untuk menjayakan pakatan politik bersama PKR dan DAP.

Percayalah, jika Najib membenarkan sekalipun, hudud ini tidak akan tertegak di Kelantan. Nik Aziz tahu Najib tidak akan membenarkannya bagi pihak kerajaan persekutuan, maka sebab itu Nik Aziz berani menimbulkan kembali isu ini dan berjanji untuk kesekian kalinya menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud. Najib memikirkan keadilan untuk semua rakyat atas kepentingan jawatan Perdana Menteri yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara sedangkan Nik Aziz bercakap mewakili umat Islam yang menjadi majoriti rakyat negerinya.

'Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.'

Baca juga di sini.

Pada pandangan peribadi saya, sesekali Najib perlu juga menjadi 'gila-gila bahasa' dengan membenarkan Nik Aziz melaksanakannya di Kelantan. Nik Aziz sudah memerintah Kelantan 20 tahun sehingga kini cita-citanya tidak pernah tercapai. Di penghujung usianya Kerajaan Persekutuan berilah keizinan kepada Nik Aziz kerana rakyat Kelantan sudah faham dan menerima hukum Allah ini dan tidak ada halangan kerana 95% rakyat Kelantan adalah beragama Islam.

Jika hasrat Nik Aziz ini disekat oleh Kerajaan Persekutuan, selagi itulah Kerajaan Persekutuan akan dipersalahkan. Kalau berjaya kita jadikan contoh, kalau gagal Nik Aziz telah meruntuhkan sebuah sistem undang-undang Islam yang adil dan benar.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Sukanya dia.......







Wednesday, September 21, 2011

Tukar Kerajaan Mestikah Perlu Tukar Bendera ?

Hasrat membuak-buak pakatan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada selepas PRU ke 13 sudah sampai ke peringkat tidak terkawal lagi. Beberapa kenyataan yang mengambarkan keghairahan mereka sudah terpacul daripada mulut pemimpin-pemimpin mereka. Mereka sudah merancang dan berkira-kira apa yang akan dibuat selepas menawan Putrajaya nanti.

Pemimpin Pakatan daripada PAS, Mat Sabu mahu mengubah sejarah negara ini dengan melakukan penulisan semula sejarah negara. Kononnya sejarah negara yang ditulis sekarang terlalu menyebelahi kepada kerajaan dan UMNO. Banyak fakta-fakta sejarah yang disembunyikan oleh UMNO kerana kononnya UMNO mahu rakyat tahu hanya UMNO saja yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Mat Sabu akan mengangkat komunis sebagai pejuang sebenar dengan menafikan golongan yang mereka anggap sebagai tali barut British sekiranya Pakatan menang nanti.

Kemudian timbul pula hasrat pemimpin pakatan pembangkang daripada DAP, M.Manoharan mahu menukar bendera Malaysia kepada sesuatu yang lain. Bendera yang yang ada sekarang lebih mengambar UMNO dan Barisan Nasional serta mempunyai persamaan seperti mana bendera Amerika Syarikat.

Bagi kedua-dua hasrat pakatan pembangkang ini menggambar mereka sudah kekeringan isu. Modal untuk menipu rakyat sudah tak ada, maka mereka membangkitkan sentimen-sentimen membenci oleh rakyat kepada kerajaan dengan isu-isu sejarah dan bendera.

Tidak ada perkara lain kah jika mahu membuat perubahan atau pembaharuan?

Apa niat sebenar dan simbolik tentang hasrat M.Manoharan untuk mengubah bendera Malaysia. Bagi saya Manoharan hanya mahu mengubah simbol-simbol dan warna di dalam bendera bukan mahu menjadikan bendera Malaysia itu berbentuk bujur, bulat atau tiga segi.

Simbol apa yang kemungkinan Manoharan mahu mengubahnya.

1. Simbul bulan dan bintang akan diubah menjadi simbul sabit dan tukul besi. Simbul itu adalah simbul komunis. Sedangkan bulan sabit itu lambang agama Islam sebagai agama Persekutuan.

2. Jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan juga akan dibuang kerana mereka mahu menjadikan negara ini satu kerajaan Republik Komunis yang berpusat kepada satu kerajaan bukannnya pecahan daripada pelbagai negeri

2. Jalur 14 merah putih akan disatukan menjadi satu warna iaitu warna merah yang amat disukai oleh orang Cina dan komunis.

3. Warna kuning mungkin juga akan ditukar kerana pakatan pembangkang tidak berminat kepada sistem beraja kerana sistem komunis anti tuhan,anti agama dan anti raja. Sedangkan warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

Ramai orang berpendapat, daripada memikirkan perkara-perkara yang belum pasti lebih baik pastikan pendaftaran ROS pakatan diluluskan sebelumkan PRU. Lambang dan bendera pakatan pembangkang pun belum wujud. Mereka akan bertanding dalam PRU dengan menggunakan lambang dan bendera parti masing-masing. Bagaimana mahu dipanggil 'pakatan 'jika banyak mereka antara mereka belum sepakat.

Persoalan lain, perlukah menukar bendera Malaysia jika kerajaan baru di bentuk kerana bendera Malaysia adalah lambang kedaulatan negara bukan lambang kepada parti atau kumpulan.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat