Saturday, March 6, 2010

Masing-Masing Ada 'Sampah'....



Apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang keluar dari PKR dan masuk UMNO, maka berbunyi lah orang mengatakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang itu sebagai 'sampah' tetapi 'mutiara' bagi UMNO. Secara kasarnya memang benarlah kenyataan itu, sebab sesuatu yang sudah tidak berguna lagi atau pun sudah mahu dibuang dianggap sebagai sampah.

Mana-mana parti politik pun tidak akan menolak mana-mana individu yang ingin menyertai parti selagi ianya mengikut syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh parti. Seingat saya, UMNO bukanlah sebuah parti 'pendendam' dan tertutup, malah di dalam sejarahnya UMNO akan menerima semula ahli-ahlinya sama ada ahli yang pernah dipecat, ahli yang keluar dengan sendiri atau ahli-ahli yang pernah dihukum.

Tun Mahathir pernah dipecat di zaman Tunku Abdul Rahman kerana mengkritik pentadbiran Tunku tetapi diambil semula di zaman Tun Abdul Razak. Tun Mahathir sendiri pernah berkata yang penting bukannya individu atau pemimpin tetapi parti yang lebih utama kerana pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Tun Mahathir sekali lagi keluar daripada UMNO kerana tidak puashati dengan pentadbiran dan rasuah politik di zaman Tun Abdullah tetapi masuk semula UMNO setelah Najib menjadi PM.

Tengku Razaleigh dan kawan-kawannya pernah bersama parti Semangat 46 tetapi akhirnya rujuk semula kepada UMNO dan Semangat 46 pun telah lama berkubur. Namun jasa Parti Semangat 46 kekal hingga ke hari ini kerana PAS masih kekal memerintah Kelantan sejak pilihanraya 1990 apabila PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah berjaya mengalahkan BN dalam pilihanraya tahun tersebut.

Ezam Mohd Noor, 'Singa' Parti Keadilan rakyat yang mengutuk UMNO siang dan malam juga diterima menjadi ahli UMNO semula setelah hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat. Sejak 1998 hingga 2010 menyaksikan berpuluh-puluh pemimpin utama PKR yang telah berhijrah parti atau pun menjadi Bebas. Pendek kata kebanyakan pemimpin-pemimpin PKR silih berganti dan rata-rata pemimpin PKR sekarang adalah muka baru kecuali Azmin Ali dan Wan Azizah.

Kemasukan Mohamad Fairus yang pernah menjadi 'penjilat' Anwar ke dalam UMNO bukan sesuatu yang pelik dan anih. Memang begitulah kehidupan ahli-ahli politik bagi meneruskan survival politik mereka supaya terus berada dalam arus perdana politik tanah air. Apabila kemasukan seseorang itu ke dalam sesuatu parti atau keluar daripada parti sudah barang tentu banyak 'cerita-cerita' yang dulunya rahsia, kini terbongkar satu demi satu.

Jikalau beliau masuk ke dalam UMNO ada sebabnya dan keluar daripada PKR juga ada sebabnya. Paling seronok ialah sebab-sebab yang diberikan oleh bekas kawan-kawannya dalam parti PKR. Antara dakwaan terhadap Fairus ialah beliau ada membuat tuntutan melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar RM15,000 sebulan buat selama-lamanya. Pada pandangan mata umum, UMNO lah yang menyelesaikan masalah Fairus sehingga beliau sanggup menjilat kahaknya semula kerana kesempitan dan tersepit dan sudah tentu Fairus akan melakukan sesuatu untuk UMNO sebagai membalas jasa UMNO itu. Itulah andaian yang berlegar-legar di kalangan masyarakat awam.

Kemarahan penyokong PKR terserlah apabila mengatakan bahawa projek melompat parti ini adalah hasil kerja pimpinan Umno yang didalangi oleh bekas pemimpin PKR sendiri, yang sentiasa berhubung dengan pemimpin Umno. Penulis ini yakin bahawa sekarang ini adalah masanya bagi pemimpin Umno atau bekas pemimpin PKR menuai hasil ternakan mereka.
Maksudnya, bekas-bekas MP PKR (yang melompat keluar parti) ini telah diternak lama oleh tauke mereka dan selama ini diberi makan percuma sehingga sampai ke tahap 'matang'.
Adalah menjadi satu syarat wajib 'contract farming' bahawa hasil ternakan yang dibiayai sepenuhnya oleh tauke apabila sudah matang, akan 'dibeli balik' atau hasil ternakan itu 'mesti dijual' kepada pembiaya! Oleh itu, tidak hairanlah apabila diberitakan yang mereka kembali kepada Umno atau melompat parti sebagai MP bebas! Adalah diharapkan agar MP Pakatan Rakyat supaya elakkan diri daripada diternak, dibiayai dan dibeli balik (dijual) dengan harga yang murah! Harga diri MP Pakatan Rakyat bukanlah sebegitu rendah bagaikan harga binatang ternakan. (http://www.malaysiakini.com/letters/125631)

Saya boleh terima bahawa Mohamad Fairus itu dianggap sebagai 'sampah' dan beliau memang 'sampah politik' pun. Nasib baik ada UMNO yang 'kutip', kalau tidak jadilah 'pengemis politik'. Namun apa kurangnya dengan pihak sebelah sana yang menerima 'sampah-sampah' daripada UMNO dan MCA misalnya. Apa kurangnya dengan Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng, bukankah mereka ini juga sampah bagi parti masing-masing dan mutiara bagi Pakatan Pembangkang?

'Sampah' yang paling kotor sudah tentu daripada ketua pembangkang mereka sendiri. Bukankah Anwar 'bapak segala sampah' jika hendak diikut istilah yang diguna pakai sebagai ahli politik yang tersisih. Anwar dipecat atas salah laku dan telah pun dihukum atas kesalahan tahun 1998. Kesalahan terbaru masih dalam perbicaraan. Bagi berlaku adil, maka kita boleh simpulkan bahawa 'sampah politik' ini memang ada di mana-mana. Tidak adil lah jika dipihak kerajaan diperlekeh kerana mengutip ahli politik yang melompat sedangkan di pihak mereka apa kurangnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Sunday, February 28, 2010

Siapakah Yang 'Bajingan' dan 'Balaci' ?



Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang kontroversi, Zulkifli Noordin menyifatkan pemimpin Islam yang bersetuju dengan cubaan pihak tertentu membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebagai "bajingan" serta "balaci" yang rela dicucuk hidung seperti lembu.

Kepada siapakah gelaran 'banjingan' serta 'balaci' yang hendak ditujukan oleh Zulkifli Nordin ini? Sudah tentunya ia ditujukan kepada orang yang menyokong percubaan Lim Guan Eng untuk membatalkan perarakan maulidur Rasul di Pulau Pinang baru-baru ini. Soal boleh atau tidak boleh atau patut atau tidak patut bukan isunya. Isunya ialah menyokong percubaan LGE itu bersifat politik kerana sudah ada 'perjanjian syaitan' dalam pakatan pembangkang bahawa perlu saling sokong menyokong walaupun ianya melibatkan soal agama.

Saya teringat, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan bagi menyambut Maulidur Rasul memandangkan bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan.

“Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa. Di rumah saya sendiri, saya tak pernah buat Maulud. Sebenar-benar Maulud bagi saya, bagi orang seperti kami (gerakan Islam) ialah mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara. Ini sebenar-benar Maulud” Kata Tuan Guru.

Tentu orang boleh berfikir bahawa Nik Aziz tidak upaya mengumpul orang bagi sambutan maulud tetapi boleh pula untuk menghimpun orang sembahyang hajat untuk memohon pertolongan Allah melepaskan seorang manusia daripada tuduhan liwat yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Tidak menjadi kesalahan kepada Nik Aziz untuk meminta orang mengaminkan doanya supaya pemimpin Islam yang menjadi musuhnya pecah perut. Semua ini boleh dan tidak berdosa bagi Nik Aziz. Perkara-perkara ini mungkin lebih baik dan lebih penting daripada sambutan mengingati kelahiran nabi Muhamad s.a.w.

Suasana Islam yang bagaimana mahu diwujudkan oleh Nik Aziz jikalau sambutan maulud nabi pun dianggap tidak baik. Nik Aziz menyokong pembatalan perarakan maulud nabi itu adalah kerana sokongan politik kepada rakan baiknya di Pulau Pinang. Apa salahnya perarakan itu kerana ianya bukan berlaku di Kelantan tetapi di Pulau Pinang dalam suasana aman.

Nik Aziz pura-pura tidak sedar bahawa cadangan pembatalan perarakan itu adalah percubaan LGE untuk melihat tindak balas orang Islam di atas tindakannya itu. Jika tidak ada bantahan, langkah LGE seterusnya ialah memastikan supaya azan di Pulau Pinang tidak perlu menggunakan pembesar suara dengan alasan menganggu suasana kedamaian penduduk-penduduk sekitarnya. LGE mahu menjadikan Pulau Pinang seperti Singapura dengan tidak membenarkan azan menggunakan pembesar suara.

Seorang lagi pemimpin PAS, Mahfuz Omar pula berkata,"Bagi saya berarak maulud tak salah tak berarak tidak lah berdosa. Untuk apa kalau berarak membawa pada dosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi kemudian tolak apa yang Nabi suruh. Apa guna kita berarak dan berselawat tapi tak hayati sunnah Nabi. Ini lah dia Umno berarak berselawat kemudian rasuah. selawat lagi sapu duit rakyat.berarak berselawat kemudian salah guna kuasa".

Mengapa mahu kaitkan perarakan dengan rasuah? Apakah semua yang berarak itu makan duit rasuah? Kenapa pula sebelum ini Mahfuz tidak berbunyi apa pun tentang sambutan dan perarakan maulidur rasul kecuali selepas LGE ingin membatalkan perarakan di Pulau Pinang?
kalau begitu, ramai juga orang yang berserban dan berjanggut buat kerja maksiat seperti membeli nombor ekor, berjudi, merogol dan sebagainya. Kalau begitu semua orang berserban dan berjanggut itu tidak boleh dipercayai.

Bersihkah PAS daripada rasuah? Bersihkan pemimpin-pemimpin PAS daripada penyalahgunaan kuasa?

Yang makan rasuah tu pegawai-pegawai kerajaan pangkat tinggi yang ada kuasa. Apa kena mengena dengan orang yang hendak sambut maulud nabi?

Selagi tidak bertentangan dengan aqidah tidak menjadi suatu kesalahan untuk menyambutnya.

Tetapi pandangan Nik Aziz dan Mahfuz dibidas oleh seorang ulama dari Kelantan juga yang menyifatkan beliau sudah "menyimpang ". Menurut Pengasas Pondok Genting , Tok Guru Hj Lah , maulud merupakan perhimpunan untuk memuji dan memperingati hari kelahiran nabi dan membaca kisah-kisah mengenai nabi .

Selain itu ,beliau juga berkata memperingati Nabi Muhammad merupakan sunat muakad yang tertinggi dalam menghayati sejarah serta perjuangan baginda yang dapat menginsafkan diri setiap umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menganggap sebarang pandangan yang menganggap hari keputeraan baginda itu tidak perlu disambut sebagai bertentangan dengan akidah.

"Dia termasuk dalam orang yang mengharamkan ijtihad kerana hukum ini ialah dalam empat perkara iaitu al-Quran, hadis, sunnah dan kias (ijtimak ulamak).
"Siapa yang menolak ini tak bolehlah kerana boleh diibaratkan macam sesat jadi bila sesat wajib kita tentang,"

Mungkin kerana menyokong LGE berkenaan isu perarakan itu, maka agaknya Zulkifli Nordin menghamburkan gelaran 'Bajingan dan balaci' kepada orang-orang yang mengeluarkan kenyataan politik sebelum ini. Agaknya memang kata-kata itu ditujukan kepada Nik Aziz dan Mahfuz yang beriya-iya menyokong LGE. Bukan saya yang kata, tetapi sahabat Nik Aziz dan Mahfuz dalam Pakatan Pembangkang.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Friday, February 26, 2010

Maulidurasul Dan Perlantikan Tunku Temenggung


Tunku Temenggung bersama Tengku Mahkota



Tunku Idris dimasyhurkan Tunku Temenggong Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengisytiharkan pelantikan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris, sebagai Tunku Temenggong Johor.

Pengisytiharan itu dilakukan Sultan Ibrahim semasa bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru.

"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.

Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Jamilah Ariffin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan, turut hadir.

Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.

Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.

- Bernama

Rakyat Johor menjunjung kasih merafak sembah takzim atas perlantikan Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail sebagai Tunku Temenggung Johor oleh DYMM Sultan Ibrahim di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Wednesday, February 24, 2010

Brutal Ekonomi Jahanamkan Melayu!


Apabila Francis Yeoh meminta supaya dihapuskan subsidi dan perlindungan kepada bumiputera, pewaris YTL itu mahukan wujudmya satu suasana persaingan yang 'brutal' dalam dunia perniagaan Malaysia. Seolah-olah pertolongan kerajaan dan 'tongkat' yang diberikan bagi membantu orang Melayu itu dianggap sebagai menyekat kepada perkembangan ekonomi negara. Terang-terang dasar kapitalis ini menjadikan yang kaya akan terus menghisap darah orang miskin di mana yang kaya bertambah kaya sementara yang miskin bertambah ramai serta hidup melarat.

Dasar ekonomi cadangan Francis ini akan melebarkan jarak dan jurang antara Melayu dan bukan Melayu dalam bidang ekonomi. Tidak adil untuk Francis meminta agar subsidi ditarik balik dan membiarkan orang Melayu terkial-kial mencari punca rezeki. Francis mungkin terlupa dengan kedaifan dan kemunduran orang Melayu yang berterusan sejak kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Orang Melayu ditindas oleh 3 penjajah barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris. Ini bermakna, Melayu telah ditindas selama lebih 400 tahun sedangkan kita baru merdeka selama 53 tahun. Hanya pada tahun 1970 apabila Dasar Ekonomi Baru itu disusun sedemikian rupa untuk membasmikan kemiskinan dikalangan orang Melayu disamping menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Itupun DEB hanya untuk tempoh 20 tahun dengan sasaran 30% kekayaan negara dikuasai oleh orang Melayu. DEB gagal mencapai matlamatnya.

Adilkah bagi Francis Yeoh, setelah gagalnya DEB mencapai target yang ditetapkan maka subsidi, pertolongan dan bantuan itu pula dihentikan.

Memang benarlah tuntutan Francis itu kejam, dahagakan darah, tak berhati perut, tak berperikemanusiaan, tak timbang rasa dan tak bertamadun.

Bagi orang Cina pula, walaupun mereka itu hanya pendatang tetapi layanan penjajah terutama Inggeris amat istimewa jika dibandingkan dengan orang Melayu dan pribumi. 100 tahun sebelum merdeka lagi, orang Cina sudah mendapat pelbagai keistimewaan daripada British khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Walaupun Malayan Union berjaya dihalang namun dasar-dasar British di bawah Persekutuan tanah Melayu 1948 sebenarnya tidak membawa banyak perubahan kepada orang Melayu.

Pada tahun pertama Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO, bilangan pelajar Melayu mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pelajaran hanyalah 16 orang sedangkan bilangan pelajar bukan Melayu yang mendapat biasiswa ialah 60 orang.

Pada tahun 1951 juga pendapatan digabungkan boleh cukai oleh 5,195 orang Cina ialah RM62 juta berbanding 773 orang Melayu yang mempunyai pendapatan terkumpul RM8.1 juta. Mengulas mengenai ini, ahli sejarah Victor Purcell menulis bahawa angka itu memperlihatkan perbandingan kekayaan antara kaum pada waktu itu.

Orang bukan Melayu yang majoritinya tinggal dibandar-bandar mendapat keistimewaan berbanding orang Melayu di kampung-kampung. Memang benar Perlembagaan 1948 memperakui kedudukan istimewa orang Melayu tetapi kerajaan penjajah British tidak memberi banyak ruang untuk orang Melayu membaiki nasib mereka.

Orang Melayu tidak digalakkan belajar bahasa Inggeris kerana British tidak mahu ”kehilangan kuli-kuli.” Bahasa Inggeris dan pendidikan Inggeris jika diberikan secara besar-besaran kepada orang Melayu akan membuka peluang kepada mereka untuk menjadi tuan dan menuntut kemerdekaan.

Malah pada tahun-tahun tersebut yang merupakan tahun-tahun darurat 1948-1960, orang Cina ternyata mendapat kelebihan yang tidak disangka-sangka berikutan suasana darurat.

Untuk mengelakkan orang Cina tinggal di pinggir-pinggir bandar dieksplotasi oleh komunis, kerajaan British menempatkan mereka di kampung-kampung baru yang kemudian mendapat peruntukan khas daripada kerajaan British untuk dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan penempatan moden seperti sekolah, pusat kesihatan dan jalan raya.

Pendek kata adalah tidak adil bagi orang Melayu untuk bersaing di padang yang sama rata. ianya boleh diumpamakan seperti perlumbaan lumba lari bagi pelari yang cukup sifat sedangkan seorang lagi kudung kakinya. Maka sistem ekonomi laissez-faire mengikut cadangan Francis ini tidak sesuai antara orang Cina dan Melayu.

Beruntung benarlah orang Cina ini yang mendapat kebebasan mengumpul kekayaan tanpa sekatan di bawah kerajaan Melayu. Mereka juga kaya kerana bantuan kerajaan juga. Selain kerajaan menyediakan suasana perniagaan yang kondusif, stabil dan selamat mereka juga mendapat bantuan perniagaan daripada kerajaan.

'Raja Gula' Robert Kuok jadi kaya raya kerana francais gula. Monopoli ni mula zaman bapa dia, Kouk Keng Kang, lagi. Pada zaman Inggeris, beras dan gandum pun mereka monopoli juga. Ananda Krishnan kaya kerana lesen judi dan lumba kuda, telekomunikasi, penswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang yang jadi KLCC dan caruman modal kerajaan. Keluarga mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kerana lesen kasino dan tanah di Genting Highlands. Tan Sri Tiong Hiew King, tauke surat khabar Sin Chew, kerana konsesi balak di Lembah Baram, Sarawak. Tan Sri Vincent Tan kerana penswastaan Sports Toto, tanah di Bukit Kiara dan Bukit Tinggi. Datuk Tan Chin Nam pemaju Mid Valley kerana kontrak rumah murah zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan pajakan tanah Bandaraya Kuala Lumpur.

Malah keluarga Yeoh sendiri jadi kaya raya kerana kontrak bina sekolah dan hospital, konsesi loji penjana elektrik, perkongsian dengan Syarikat Perumahan Negara dan tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul. Malangnya bagi seseorang yang bercakap dalam ekonomi yang kompetetif tetapi YTL sendiri pun mendapat tongkat daripada kerajaan.

Atas sebab itu juga Presiden PERKASA mencabar Francis Yeoh membatalkan semua perjanjian Independent Power Producer (IPP) dengan TNB atau menstruktur semula perjanjian yang dikatakan berat sebelah dan tidak masuk akal. Jangan jadi terlalu tamak dan perlahap sehingga sanggup menginjak-injak kepala orang lain. Inilah yang dikatakan sudah diberi peha hendak pula betis. Dasar pendatang tak sedar diri.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Monday, February 22, 2010

Semuanya Nak Di Punggah Ke Singapura!

Dahulu orang melihat BPR (Badan Pencegah Rasuah)sebelah mata sahaja dan beranggapan BPR hanya berani menangkap ikan bilis sahaja sedangkan jerung-jerung besar terlepas dan bermaharaja lela. Daripada BPR bertukar nama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sekarang ini dapat pulak boss baru yang semua rakyat tahu dimana beliau mempunyai komitmen tinggi untuk membenteras rasuah.

Masalah penyeludupan pasir ke Singapura tidak selesai-selesai sehingga mendapat rungutan daripada Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. Tun merungut tentang mengapa pasir masih lagi dijual kepada Singapura baik pasir darat atau pasir sungai maupun pasir silika.Presiden PERKASA juga berpendirian yang sama agar dihentikan penjualan semua jenis pasir ke Singapura. Sebenarnya masalah ekspot pasir ke Singapura adalah isu poltik yang sensitif kerana melibatkan hubungan dua hala antara kedua negara yang pernah bertelagah di masa lalu kerana sengketa penjualan pasir dan air.

Penyeludupan pasir ke Singapura ,puncanya adalah RASUAH.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 34 orang di lima negeri, termasuk dua ahli politik dan dan penjawat awam, kerana dipercayai menerima rasuah wang tunai dan nikmat seksual, melalui satu tindakan besar-besaran keatas kegiatan haram perlombongan pasir.Dengan penangkapan itu, SPRM yakin telah berjaya membongkar satu sindiket yang terlibat dalam penyeludupan pasir ke Singapura.

Belum reda cerita pasir timbul lagi cerita baru berkenaan penyeludupan tanah dan batu kuari dari Minyak Beku di Batu Pahat ke Singapura. Kisah penyeludupan terbaru ini dibongkar oleh Tv3 yang disiarkan melalui Buletin Utama stesyen tv terkemuka itu. Bagaimana kuari yang telah diarah tutup sebelum ini oleh Jabatan Auditor Negara tetapi lesen perniagaan kuari tersebut dilanjutkan sehingga Julai 2010. Sekali lagi puncanya adalah RASUAH. Ada sesuatu yang tidak kena antara Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor serta Kastam Negeri Johor. Apa nak jadi ni? Tak habis-habis nak jual negara. Pentingkan perut dan tembolok sendiri tanpa memikirkan langsung soal-soal keselamatan, politik dan ekonomi negara di masa hadapan.

Rasuah pasti berlaku di kalangan pegawai-pegawai kedua-dua jabatan ini berdasarkan kes penyeludupan pasir yang terdahulu di mana SPRM membuat tangkapan dan dakwaan ke atas seoarang pegawai Tanah dan Galian Johor serta 2 orang berpangkat Pembantu Superitendent Kastam Johor. Apa lagi yang hendak rakyat taruhkan kepercayaan kepada kedua-dua jabatan ini. Masih adakah lagi integriti di dalam dua jabatan ini setelah berlakunya kes penyeludupan pasir, tanah dan batu kuari secara berleluasa.

Masalahnya yang busuk adalah kerajaan negeri tetapi yang membuat onar dan memalit taik ialah pegawai-pegawai perkhidmatan awam. Apakah mereka ini cuba sabotaj kerajaan yang ada supaya kebobrokan perangai mereka akan dipertanggungjawabkan kepada kerajaan. Kami rakyat marhaen menaruh harapan tinggi kepada SPRM agar terus membersihkan pertualang negara bukan sahaja di Pejabat Tanah dan Galian serta Kastam tetapi juga dijabatan-jabatan lain seperti Pejabat Daerah, Jabatan Polis, Imigresen dan lain-lain. Kita juga amat yakin kepada ketua Pengarah SPRM yang baru .Perlantikan beliau sebagai KP adalah sesuatu yang tepat.


Terima kasih dan syabas SPRM!

Amir Hamzah
Batu Pahat

Sunday, February 21, 2010

Bersaing Memberi Khidmat Kepada Rakyat



Saya amat tertarik dengan idea Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada pemilikan rumah mampu milik untuk generasi muda. Idea ini sebenarnya sangat baik, praktikal dan dirasai terus oleh rakyat. Tanpa mengira parti politik mana pun jika ianya memberi kebaikan kepada rakyat harus disokong dan pihak kerajaan pusat atau negeri-negeri yang dipimpin oleh UMNO harus bersaing memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kerajaan sedia ada harus peka bahawa dalam tempoh pendaftaran pemilih bagi suku tahun keempat tahun 2009, menyaksikan 82,668 pengundi baru yang mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semua sedia maklum bahawa kebanyakan pengundi baru ini adalah dari kalangan generasi muda. Dalam keadaan persepsi generasi muda hari ini lebih memihak kepada pembangkang maka berita baik daripada Kerajaan Selangor ini perlu diambil berat oleh kerajaan bagaimana untuk memberi persaingan sihat bagi memberi sesuatu yang berfaedah kepada generasi muda ini.

Kerajaan perlu mengambil perhatian bahawa 75% daripada jumlah penduduk Malaysia adalah berumur kurang daripada 40 tahun dan kebanyakkan mereka adalah dalam kategori belia dan kerajaan juga perlu memberi komitmen untuk menambahbaik persekitaran kepada pemuda-pemudi serta keluarga yang muda dari segi pekerjaan, peluang pendidikan dan perumahan untuk membolehkan mereka menonjolkan potensi mereka dan seterusnya membolehkan negara berkembang dengan lebih maju lagi.

Generasi baru hari ini tidak lagi boleh disogok dengan pembinaan gelanggang futsal, jersey bolasepak, kompang, T shirt, bola dan sebagainya kerana itu hanya sekadar hiburan dan sukan semata-mata tetapi bagaimana kita boleh membantu kelangsungan hidup mereka yang lebih berkualiti. Seperti kebiasaannya golongan belia/ muda di kampung-kampung mudah dibeli dengan peruntukan-peruntukan yang disebutkan tetapi akhirnya masalah kehidupan seharian mereka terabai. Kita gagal mencari punca permasalahan dan golongan ini kemudiannya akan menambahkan semula bilangan rakyat yang miskin dan melarat. Kita selalu memberi ikan kepada mereka tetapi kita tidak memberi mereka pancing supaya mereka boleh memancing setiap hari.

Kerajaan juga harus sedar dan sila ambil perhatian bahawa ekonomi Malaysia pada masa kini terperangkap dalam kombinasi kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji rendah di mana 60% keluarga di Malaysia hidup dengan gaji seisi rumah bulanan yang kurang daripada RM3,000. Dengan taraf hidup yang semakin tinggi ianya sesuatu yang membebankan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu. Bagaimana tindakan kerajaan untuk membantu golongan ini kerana pihak pembangkang akan mengwar-warkan bahawa kepincangan dan rasuah di kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan menyebabkan segelintir daripada rakyat yang mengaut keuntungan peribadi dan sebahagian besar rakyat hidup dalam kemelaratan.

Rakyat juga sedang melihat bagaimana kerajaan Selangor berjaya menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai sejak tahun 2003 di pangsapuri Taman Ukay Bistari di Hulu Kelang di mana pemilik-pemiliknya sudah tujuh tahun menunggu kerana pembinaannya tergendala. Dalam masa yang sama ada beratus-ratus projek rumah terbengkalai yang tidak dapat disiapkan kerana kerenah birokrasi. Pemaju punya hal rakyat yang teraniaya. Kerajaan perlu segera memulihkan rumah-rumah yang terbengkalai diseluruh negara supaya pemilik-pemilik rumah yang tertipu dapat mendiami rumah mereka sebelum pilihanraya ke 13 nanti. Kalau kerajaan Negeri Selangor boleh lakukan mengapa kerajaan pusat dan kerajaan negeri-negeri lain yang sedang memegang tampuk kuasa masih gagal membantu dan memulihkan rumah-rumah terbengkalai ini.

Hari ini politik persepsi sedang bermaharaja lela. Jika pihak kerajaan gagal tentunya akan dikaitkan dengan kelemahan pengurusan, birokrasi, salah gunakuasa dan rasuah. Suka atau tidak Pemuda UMNO perlu bersaing dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk bersaing memberi perkhidmatan kepada rakyat terutama golongan muda / belia jika mahu mendapat sokongan daripada pengundi baru dalam pilihanraya akan datang.

Sukanya Dalam Hati

Amir Hamzah
Batu Pahat

Saturday, February 20, 2010

Kali Ini Hadi Faham!


Kedaulatan selalu dikaitkan dengan institusi yang bernama “negara”. Kedaulatan sesebuah negara wujud sebagai hak kemerdekaan dan berkuasa untuk mengatur urusan dalaman sesebuah negara. Kerajaan sebuah negara samada demokrasi maupun komunis atau sosialis mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan tertinggi dalam mengendali negara, termasuk dalam mengendalikan sumber alam, guna tenaga ,undang-undang maupun manusianya.

Namun kedaulatan sesebuah negara semakin menghadapi cabaran terutama daripada golongan liberal yang mengatakan abad ini konsep kedaulatan akan berakhir. Dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah menerobos masuk ke dalam sesebuah negara dengan kekuatan pasaran ekonomi. Malah dengan kecanggihan teknologi ketenteraan kedaulatan sesebuah negara juga mudah ditembusi. Nilai-nilai norma universal seperti hak asasi manusia telah menenggelamkan kedaulatan sesebuah negara. Ini bermakna dalam hal-hal tertentu agak sukar untuk kita mengawal kedaulatan negara daripada dicampuri oleh kuasa-kuasa asing atau negara luar.

Di dalam kes Anwar Ibrahim, campur tangan 50 Ahli Parlimen Australia yang mendesak kerajaan menggugurkan tuduhan liwat ke atas bekas timbalan perdana menteri itu berkemungkin atas dasar nilai-nilai universal yang kononnya sudah diterima oleh banyak negara. Hubungan homoseksual sudah dianggap sebagai nilai dan perlakuan universal iaitu banyak negara sudah menghalalkan hubungan sejenis ini bahkan ianya sudah dijadikan undang-undang.

Bagi 50 MP negara kanggaroo itu, tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang pelik dan ganjil kerana sebahagian besar masyarakat dunia sudah menerima homoseksual dan lesbian . Malangnya di Malaysia kegiatan yang melanggar fitrah manusia ini belum lagi diterima malah dipandang jijik bukan sahaja budaya Melayu lebih-lebih lagi dari sudut undang-undang Islam. Maka liwat atau hubungan homoseksual adalah salah dari segi undang-undang negara. Adalah tidak wajar, kuasa asing atas dasar liberal dan universal boleh sesuka hati mencampuri urusan undang-undang negara ini. Biarlah Anwar dibicarakan di mahkamah secara adil dan saksama tanpa banyak kerenah.

Dalam hal ini satu pujian harus diberikan kepada Hadi Awang tetapi tidak untuk Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang cuba untuk memanipulasikan kes liwat ini untuk kepentingan politik sempit dengan membelakangkan kepentingan kedaulatan negara.

Hadi berkata,"Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia, saya mahu negara kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlulah kepada campur tangan asing apatah lagi dari negara-negara barat, negara bukan Islam," Kenyataan Hadi ini disokong oleh PM yang mengatakan "negara lain perlu mematuhi proses perundangan dan juga peruntukan perlembagaan di mana keluhuran perlembagaan dan keadilan untuk semua serta pengasingan kuasa adalah merupakan tonggak dalam sistem perlembagaan negara dan semua negara mesti menghormatinya tanpa memperlekehkan kita dengan membuat sendaan yang tidak berasas sama sekali".

Sama ada kenyataan Hadi mendapat sokongan daripada Mursyidur Am mereka tidak penting kerana Hadi berkata sesuatu yang benar. Ini adalah kenyataan daripada Presiden parti, dan ianya tidak memerlukan ulasan daripada penasihat yang sudah diketahui umum sangat berkepentingan dan tidak konsisten.

Pakatan pembangkang kelihatan sudah tidak sederap dan tidak seirama lagi. Apabila Hadi mengecam campur tangan asing, LKS pula meminta satu sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan usul untuk menggugurkan dakwaan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa kena mengena kes Anwar Ibrahim nak dibawa ke dalam Dewan Rakyat? Kalau kepala otak sudah dipenuhi dengan udang maka kes liwat ini cuba dikaitkan dengan politik. Kes ini adalah antara Saiful dan Anwar. Berilah keadilan untuk Anwar dan Saiful dalam perbicaraan di mahkamah.

Kali ini, kenyataan Hadi tepat pada masanya. Harapan kita agar semua pemimpin PAS akur dengan pandangan dan kenyataan Presiden parti. Jika hal kedaulatan negara pun mau dipolitikkan, berkemungkinan ramai pengundi atas pagar dan tidak berparti akan menjauhi PAS kerana mereka ini lah yang banyak memberi undi kepada PAS dalam PRU ke 12 yang lalu.

'Selar' MP Australia: Hadi beri penjelasan

Amir Hamzah
Batu Pahat