Monday, April 6, 2009

Malaysia Boleh ALA PAKATAN RAKYAT



Slogan Malaysia Boleh yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam era Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sering mendapat sindiran dan gambaran sinis oleh Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Melalui slogan Malaysia Boleh rakyat Malaysia telah berjaya mendaki ke puncak Gunung Everest, berenang menyeberangi Selat Inggeris, belayar mengelilingi dunia secara solo, merentasi Kutup Utara yang beku dan sejuk serta menghantar angkasawan pertama Malaysia ke angkasalepas.

Namun begitu kejayaan dan pencapaian anak-anak Malaysia itu bukan sahaja tidak diiktiraf oleh PAKATAN tetapi dipandang sinis dengan rasa cemburu dan jelek. Mereka lebih suka melihat slogan Malaysia Boleh dari sudut yang negatif. Malaysia Boleh dilihat daripada pencapaian kebobrokan seperti penagihan dadah, keruntuhan moral, kelahiran anak luar nikah, merempit dan segala macam kebejatan masalah sosial.

Namun perkembangan mutakhir ini saya melihat PAKATAN juga telah mengguna pakai slogan Malaysia Boleh dengan cara mereka yang tersendiri. 'Malaysia Boleh, Mereka Boleh, Orang lain Tidak Boleh'. Saya hanya ingin memberi dua contoh, yang lain-lain 'Lu fikir la sendiri' kata anak-anak muda zaman sekarang.

Bagi Pakatan Rakyat lompat parti adalah halal dari segi undang-undang dan moral. Isu lompat secara besar-besaran pada 16 September 2008 walaupun tidak menjadi tetapi menjadi objektif, harapan dan impian Pakatan Rakyat. Apabila Nasharuddin Parit melompat ke PKR, beliau dipuji, disanjung, diangkat ke awan biru dan dia lah hero abad ke 21. Tapi itu hanya umpan Najib sebelum 3 orang ahli Pakatan Rakyat menyeberang jambatan sehingga runtuhnya Pakatan di Perak. Pada ketika ini, melompat parti sudah menjadi 'tidak boleh' bagi mereka.



Kes melompat parti ini akhirnya menimbulkan krisis yang berlarutan dan berpanjangan sehingga ke hari ini di Perak sehingga mengheret Sultan Perak ke gelanggang yang tidak sepatutnya baginda terlibat sama. Soalnya sekarang Malaysia Boleh, Mereka Boleh hanya terpakai untuk Pakatan Rakyat sahaja.

Paling terbaru apabila Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.Maka ramailah penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang menyokong dan berasa bangga apabila Nga membaca sepotong ayat Al-Quran walaupun tunggang langgang. Tidak Mengapa Malaysia Boleh, Mereka Boleh.



Ada diantara penyokong PR berkata 'Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?'. Boleh. tetapi bacalah dengan betul kerana salah bacaannya membawa makna yang berubah. Benarkah Nga membaca sepotong ayat itu kerana benar-benar hendak mengetahui keistimewaan Quran atau kerana hendak menunjukkan bahawa betapa akrabnya DAP dengan Islam dalam politik masa kini. Kalau begitu jika sudah menghayati Al-Quran jangan lah sampai mengatakan langkah mayat aku dulu jika PAS mahu laksanakan hudud.

Mufti Perak menegur Nga disebabkan Datuk Harussani berasa hendak terkeluar tahi telinga gamaknya tentang bacaan ayat itu yang tidak menepati sebutan sehingga boleh mengubah maknanya. Alangkah manisnya jika tidak bersedia memadailah dengan membaca terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja. Yang penting pendengar faham apa yang hendak disampaikan itu datangnya daripada ayat Al-Quran juga. Tidak mengapalah, perkara sudah berlalu. Lagi pun Malaysia Boleh, Pakatan Boleh, Orang lain Tidak Boleh.

Ramai lagi orang-orang Islam yang sedang belajar mahraj huruf dan tajwid untuk menyempurnakan lagi bacaannya kerana takut akan kesilapan membaca Al-Quran tanpa ilmu akan dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri.

Selamat Mengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com.

Saturday, April 4, 2009

Ramalan : Nizar Menang Di Bukit Gantang !



Ramalan saya Nizar Jamaluddin melalui Pakatan Rakyat akan memenangi siri Pilihanraya kecil yang ke 3 selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, 7hb April ini bagi Pilihanraya kecil P059 Bukit Gantang dengan slogan 'Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat'

Berdasarkan laporan-laporan yang boleh dipercayai termasuk rakan-rakan yang bertugas mendapati tanggapan terhadap BN agak negatif. Sehingga menjelang saat akhir sebelum tamat tempoh berkempen 12.00 tengahmalam tadi, BN hanya menguasai 48% hati dan jiwa pengundi di Bukit Gantang. Hebat! Sengit! Sehingga kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun tidak memberi sebarang perubahan drastik terhadap tanggapan dan persepsi pengundi-pengundi.



Bagi pengundi-pengundi Melayu khususnya penyokong PAS dan PKR, Nizar masih Menteri Besar Perak yang sah. Auranya sebagai MB masih menyinar disamping rasa simpati terhadap Nizar yang ditekan, diserang, dihina hampir setiap hari sejak bermulanya krisis politik Perak baik di media baru atau media-media massa pro kerajaan.

Nizar dalam kempennya di Bukit Gantang menyatakan Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang (PRK) adalah pilihanraya untuk seluruh rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu pungutan suara atau ‘referendum’ rakyat negeri Perak. Katanya masyarakat Malaysia harus menghormati sistem Pengasingan Kuasa, Raja Perberlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sebagaimana yang termaktub dalam perlembagan Malaysia.Kenyataannya merujuk kepada 'rampasan kuasa' yang menyebabkan beliau kehilangan kuasa sebagai Menteri Besar.



Bagi pengundi-pengundi bukan Melayu yang kebanyakannya bukan peniaga dan mereka pekebun kecil, nelayan dan petani kelihatan lebih yakin dengan Nizar yang telah pun memberi hak milik tanah di Kampung-Kampung Baru selama 999 tahun. Nikmat begini jangan mimpi lah mereka dapat perolehi daripada Kerajaan BN. Projek-projek Mee Segera BN hanya dilihat sebagai rasuah dan meyakinkan lagi bahawa BN memang tidak boleh dipisahkan dengan amalan korupsi. Oleh itu pengundi-pengundi Cina dan India akan melihat Nizar sebagai pembela rakyat Malaysia. Hanya dengan memberi kerusi ini kepada Pakatan Rakyat hasrat dan impian mereka yang kelam akan bersinar semula.

Barisan Saf baru kepimpinan UMNO juga dipandang enteng oleh keseluruhan pengundi. Tanggapan kaitan pembunuhan Antantuya dengan Perdana Menteri baru masih berkumandang di bumi Bukit Gantang. Pemilihan kepimpinan UMNO baru-baru ini masih gagal untuk membersihkan parti itu daripada amalan rasuah dan salahguna kuasa. Pembebasan 13 tahanan ISA dianggap umpan dan ada udang disebalik batu termasuklah penarikan balik permit penerbitan akhbar pihak pembangkang.



Pendek kata, apa sahaja yang dibuat oleh BN serba tidak kena. Nampaknya kesan tsunami politik 8 Mac 2008 dan kekalahan BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu masih tidak kebah-kebah. Sebagai pendokong amalan demokrasi kita serahkan kepada pengundi Melayu 63.51% berjumlah 35,287 pengundi (2) – Cina 27.28% berjumlah 15,157 pengundi dan (3) – India 9.21% berjumlah 5,117 pengundi.

Akhirnya dengan sokongan undi Melayu 50-50 dan sokongan padu daripada pengundi Cina
(58%)dan India (53%) yang disokong kuat oleh DAP dan PKR saya menjangkakan Nizar akan menang dengan majoriti 2+++ undi. Ini adalah berdasarkan jumlah yang keluar mengundi 80% daripada jumlah pengundi berdaftar.



Kalau ditakdirkan keputusan adalah sebaliknya saya pohon maaf atas kesilapan perkiraan dangkal saya ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Mana Cerdik- Lepaskan Anwar atau 13 ISA ?



Tahniah kepada DS Najib yang proaktif dan bijak dengan membuat kejutan semasa menyampaikan ucapan sulong selepas dinobatkan PM Malaysia yang ke 6. Antara kejutan itu ialah :

1.Pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGABELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.

2.Menyeru dan mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.



Paling banyak mendapat reaksi ialah berkenaan dengan pembebasan TIGABELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat supaya tidak tertipu dengan pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau merasakan ianya adalah gula-gula pilihanraya kecil di Bukit Gamtang, Bukit Selambau dan Batang Air.



"Memang sudah menjadi kebiasaan bagi perdana menteri yang baru dilantik, untuk membebaskan tahanan ISA bagi menunjukkan sikap keterbukaannya.Tetapi, katanya, selepas itu, mereka kembali semula bersikap kuku besi dan terus menggunakan ISA bila kuasa mereka terancam." tambah Anwar lagi

Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta kerajaan membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping, Perak. "Pembebasan 13 tahanan ISA tidak cukup kerana terdapat 62 tahanan di Kamunting" katanya.



Memadailah saya memberi 2 komen pemimpin Pakatan Rakyat mengenai reaksi mereka terhadap kejutan dan sentuhan pertama Najib sebagai PM yang baru. Bagi saya sememangnya sikap pembangkang begitulah. Kalau tidak , tidak lah dinamakan pembangkang. Rakyat yang mengundi mereka itu pun memang hendak menjadikan mereka 'lembu', membangkang apa saja walau pun baik.

Baiknya Najib hendak membuat kajian semula tentang ISA. Saya setuju ISA dikaji semula. Kaji bagi mengekalkan dan membuat penambahbaikkan. Mungkin di Kamunting sudah tidak sesuai lagi. Elok dicarikan tempat di Pulau-Pulau yang cantik di Malaysia sama ada di Laut China Selatan, Selat Melaka atau di perairan Sabah dan Sarawak.



Pembebasan ISA ini bukan pertama kali dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru. Malah Tun Mahathir pun pernah membuat perkara yang sama dengan membebaskan 21 orang tahanan ISA sebaik sahaja menjadi PM pada 1981 dahulu. Pak Lah juga pernah melakukan perkara yang sama di awal waktu pentadbirannya. Cuma di zaman Pak Lah terlebih 'lepas' pulak hingga melarat ke Penjara Sungai Buluh.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu mereka yang dibebaskan ialah dua peguam Hindraf, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen, tujuh anggota Darul Islam dan seorang anggota Jemaah Islamiah. Syed Hamid berkata kesemua tahanan itu dibebaskan setelah kerajaan berpendapat mereka tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.



Saya sangat tertarik dengan ungkapan tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.. Adakah Pak Lah tidak sedar 'tahanan di Sungai Buluh' itu sangat merbahaya? Pak Lah tidak ada kuasakah untuk menyekat 'tahan di Sungai Buluh' itu bebas? Siapakah yang memberi nasihat kepada Pak Lah agar 'orang' itu bebas? walaupun 'orang' itu merbahaya kepada politiknya. Natijahnya pilihanraya ke 12, Pak Lah hampir-hampir menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Persoalannya sekarang siapa lebih cerdik ? Melepaskan Anwar seorang dengan melepaskan 13 orang tahanan ISA yang dianggap undang-undang paling kejam di dunia.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, April 3, 2009

Satu Malaysia: Gagasan Baru Cerita Lama!

'1 Malaysia' atau 'Satu Malaysia 'adalah gagasan baru kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelaksanaan pelbagai program, yang lebih adil dan saksama terhadap semua etnik, selaras dengan konsep 'Satu Malaysia' mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini, kata Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak.



Konsep 'Satu Malaysia' adalah bertemakan perpaduan rakyat dan mengiktirafkan sumbangan semua kaum. Parti-parti komponen BN - MCA dan MIC - melahirkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memuji konsepnya mengenai 'Satu Malaysia'.



Jika konsep 'satu Malaysia' ini bertujuan untuk perpaduan saya sangat menyokong jika sistem sekolah yang ada di negara ini berdasarkan bukan sahaja satu sukatan pelajaran tetapi juga satu aliran dan satu bahasa pengantar. Sekolah wawasan seperti mana yang dicadangkan semasa Tun Mahathir dahulu perlu dikaji semula. Ini bermakna SRJK (C) dan SRJK (T) dihapuskan dan sekolah-sekolah Menengah Tinggi Cina turut dihapuskan. Hanya satu jenis sistem pendidikan sahaja yang ada. Bersediakah wahai MCA dan MIC?

Jika konsep 'satu Malaysia ' ini bertujuan untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum saya sangat menyokong jika semua minda rakyat Malaysia menerima tanpa bahas hak-hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan 9 orang Raja-Raja Melayu seperti yang tercatat di dalam perlembagaan. Masing-masing kaum menjaga sensitiviti kaum masing-masing kerana selama 52 tahun kemerdekaan negara ,Melayu tidak pernah merampas hak-hak kaum lain di negara ini.



Konsep 'Satu Malaysia' ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain.Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Adalah amat penting juga konsep tersebut menjamin tidak ada masyarakat yang terpinggir daripada apa jua bentuk pembangunan yang harus dinikmati oleh semua kaum. Jika itu juga tujuannya tumpuannya adalah untuk masyarakat Melayu dan India. Kedua-dua kaum ini masih agak jauh tertinggal berbanding dengan kaum Cina dalam serba serbi.

Najib sebenarnya membawa gagasan baru dengan nafas baru. Gagasan lama telah pun dirintis oleh ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Ekonomi Baru -DEB
(1970 - 1990). Matlamat akhirnya DEB adalah PERPADUAN. DEB diasaskan kepada peristiwa 13 Mei 1969 disebabkan faktor jurang ekonomi yang luas antara kaum tertentu. Hingga sekarang faktor itu tidak selesai. Maka 'satu Malaysia' semestinya menjadi penyambung hasrat bapanya yang melihat hak-hak peribumi terutama kek pembahagian ekonomi orang Melayu dipertingkatkan.

Konsep 'Satu Malaysia' akan menjadi lebih bermakna jika ianya memberi lebih banyak peluang kepada orang Melayu tanpa merampas hak-hak orang lain. Memperbanyakkan lagi peluang-peluang perniagaan dan pertumbuhan bandar-bandar Melayu diseluruh negara. Membasmi kemiskinan Melayu di luar bandar dan bandar. Membantu lebih banyak peluang anak-anak Melayu mendapat kemahiran dan peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti.



MARA dan UDA perlu dihidupkan semula peranannya dengan membantu Melayu dengan lebih berkesan. FELDA dan FELCRA perlu dibuka semula kepada rakyat seperti mana bapanya dahulu. Kalau bukan anaknya siapa lagi yang hendak meneruskan hasrat bapanya yang belum lagi kesampaian.

Maka Gagasan -Satu Malaysia ini adalah satu gagasan Tun Abd.Razak yang diberi nafas baru oleh anak sulungnya. Cuma Najib perlu sesuaikan dengan keadaan yang telah jauh berubah. Jauh berubah dengan keadaan dan zaman bapanya pada tahun 1970an.

Selamat Maju Jaya kepada Datuk Seri Najib dan barisan kabinetnya nanti.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, April 2, 2009

Team Wawasan : Igauan Buruk Anwar !



Sepatutnya Anwar bersyukur kerana Abdullah telah menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.Bukankah Najib adalah anak didik Anwar semasa dalam team wawasan dulu. Ketika Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993, Naib Presiden UMNO ketika itu ialah Najib, Muhyiddin dan Mohamad Taib serta ketua pemuda UMNOnya adalah Zahid Hamidi.

Sepatutnya Anwar berasa bangga kerana team yang memberi TKO kepada Allahyarham Tun Ghaffar Baba pada 1993 sekarang ini sedang berada di atas persada politik tertinggi negara. Malah dalam PAU yang baru lalu team wawasan yang dibentuk 16 tahun dulu sudah mengeluarkan hasil. Mujur team ini disekat pada tahun 1998 apabila Anwar dipecat daripada UMNO kerana tindak tanduknya yang bercita-cita tinggi ingin menongkah arus melawan presiden parti dalam PAU 1999.

Itulah kesilapan besar Anwar yang beliau sendiri menyesal sepanjang hidupnya. Jika beliau bersabar sedikit mungkin 2003 beliaulah yang menjadi PM. Anwar tidak dapat mengawal nafsu dan tidak sabar dalam mendaki kemuncak kerjayanya dalam politik. Ghafar Baba bolehlah diratah-ratah tetapi bukan Tun Mahathir.

Barisan kepimpinan UMNO hari ini adalah susunan atau ``grand design'' Tun Mahathir pada 2003. Sama ada ianya memang dirancang atau secara kebetulan ianya benar-benar menjadi realiti. Bezanya team wawasan bukan berketuakan team wawasan 1993. Ketua baru sekarang adalah pemimpin yang akan ``meneutralisekan' semula UMNO daripada pengaruh ketua dulu. Ketika Tun menjadi ketua bahagian Kubang Pasu, Bahagian itu mencalonkan Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Muhammad Muhd. Taib sebagai Naib Presiden. Pada hari ini Mohamad Taib menjadi korban kerana Timbalan Presiden hanya perlu memilih seorang antara dua.

Team wawasan ini juga yang mendesak perletakkan jawatan Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Pak Lah akur dengan kehendak akar umbi apabila Najib menang tanpa bertanding jawatan presiden parti. Muhyiddin kekal sebagai team wawasan alaf baru dengan menewaskan Mohamad Taib dan Ali Rustam yang dikenali sebagai penyokong Pak lah. Jika Mukriz menang, lengkaplah rancangan team wawasan ini tetapi laluan Khairy nampak sukar dan keseorangan.

Disebabkan Anwar telah terkeluar, anwar sangat bimbang dengan kekuatan team wawasan ini. Anwar faham benar dengan pengaruh akar umbi kumpulan ini. Kumpulan ini akan bisa menjatuhkan dirinya dan menguburkan partinya. Tidak hairan Anwar bersungguh-sungguh menhalang Najib menjadi PM yang ke 6.

Suara Keadilan mendakwa acara mengangkat sumpah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, hari Jumaat dibatalkan.Menyedari cerita yang disebarkan tidak benar, penasihat PKR DatukSeri Anwar Ibrahim mula mengalihkan tumpuan kepada cerita lain yang berkaitan dengan perlantikan Najib dengan menyiarkan surat pakatan pembangkang kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang memohon penangguhan perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri. Dapat difahami, isu surat tersebut akan dijadikan satu isu politik dengan mendakwa Yang di-Pertuan Agong ‘terpaksa’ menerima Najib walaupun pada awalnya setuju dengan surat pakatan pembangkang.(agendadaily.com)

Team Wawasan ini benar-benar menjadi igauan buruk kepada Anwar. Inilah yang dikatakan senjata makan tuan.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, April 1, 2009

Nizar Tidak Bohong, PAS Yang Menipu Sejak 1951.



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah parti pergerakan Islam di Malaysia yang dipimpin oleh Presiden parti, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang. PAS mengimbangi perjuangan nasionalisme UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong Islam. Dengan tidak menafikan bahawa semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud semenjak tahun 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha) yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada waktu itu) untuk melihat Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.



MENGIKUT satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).
Fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang).PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.



Semenjak ditubuhkan PAS sudah mempunyai 8 orang Presiden yang mendasari perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:

PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.

KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Jikalau berdasarkan 4 tujuan yang tersebut tanpa ada sebarang pindaan sejak 1951 hingga sekarang maka bekas MB Perak tidak berbohong ketika berbahas di dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Datuk Seri Nizar Jamaluddin ketika masih bergelar Menteri Besar, amat menarik kerana secara jelas Nizar mencabar supaya dibuktikan PAS hendak menubuhkan sebuah negara Islam. Berdasarkan rakaman tersebut, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam. Nizar yang mendengar kenyataan Tajol itu, bangun meminta penjelasan. “Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,” tanya Nizar. (agendadaily.com)



Nizar tidak berbohong. Pembohong paling besar adalah partinya sendiri yang memainkan isu-isu penubuhan sebuah negara Islam sebagai gimik menghadapai setiap kali pilihanraya. PAS hanya BERHASRAT untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Hasrat dan niat tidak salah tetapi janganlah ianya dijadikan polimik berpanjangan bagi menagih sokongan daripada pengikutnya yang taksub.

Apabila slogan 'Membangun Bersama Islam' yang menjadi moto pilihanraya 2004 bertukar kepada 'Negara Kebajikan' dalam pilihanraya 2008 ianya bukan sesuatu yang memeranjatkan. Anwar Ibrahim sendiri telah membuat kenyataan,“Isu negara Islam bukan lagi satu isu bagi PAS. Mereka tidak bercakap mengenainya atau membangkitkan isu ini sejak tiga tahun yang lalu. Saya tidak fikir ianya relevan untuk dibangkitkan sekarang," (Malaysiakini.com)



Kalau PAS boleh berbohong dengan penubuhan negara Islam tidak mustahil juga PAS berbohong mengenai perlaksanaan hukum Hudud. Bagi penyokong PAS yang boleh berikir terutama pengundi-pengundi di Bukit Gantang supaya jangan lah sampai ditipu sepanjang hayat. Bagi mereka yang suka berdemontrasi atau yang baring di atas jalanraya......udah-udahlah tu. Janganlah menjadi alat dan 'kambing hitam' kerana perjuangan kamu betul tetapi perjuangan kamu itu tidak ada pun tertulis di atas mana-mana dokumen sebagai bukti kejujuran pemimpin-pemimpin kamu. Sedarlah pemimpin -pemimpin kamu samalah dengan pemimpin-pemimpin politik yang lain. Sama busuk kentutnya iaitu perebutan untuk mendapatkan KUASA.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Lembaga Displin UMNO : Perbaiki Atau Bubar?

Lembaga Disiplin UMNO adalah satu badan bebas yang ditubuhkan untuk mengawal tingkahlaku dan disiplin ahli-ahlinya. UMNO Malaysia selain mempunyai Perlembagaan tetap turut mengeluarkan Kod Etika Ahli UMNO yang perlu dipatuhi oleh semua pihak dan setiap kali pemilihan dibenarkan, setiap kali itulah Kod Etika diperkemas serta diperketat.

UMNO adalah satu-satunya parti yang mempunyai Lembaga Displin Parti yang aktif berbanding dengan parti-parti lain. Hanya UMNO sahaja yang berani menghukum pemimpin-pemimpin tertinggi parti jika pemimpin itu telah melakukan pelanggaran kepada kod etika dan juga salahlaku politik wang yang popular sejak akhir-akhir ini. Walau pun hukuman Lembaga Disiplin kadang kalanya tepat dan adil tetapi adakalanya keputusannya meragukan dan kadang kala menjadi senda gurau orang-orang di luar UMNO.



Tindakan yang pernah diambil terhadap ahli-ahlinya adalah seperti amaran, gantung malah dipecat daripada parti. Ianya bukan sahaja dikenakan ke atas 'ikan-ikan bilis' tetapi juga 'ikan-ikan jerung'. Walau bagaimana pun Lembaga Disiplin ini mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki.

Sejak akhir-akhir ini keputusan Lembaga Disiplin sudah mula dipertikaikan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Siasatan dan keputusan agak lembam dan menimbulkan banyak prasangka buruk. Dua minggu sebelum Perhimpunan Agong UMNO yang lalu kelihatan tidak ada lagi keputusan kes politik wang atau rasuah politik itu diambil tindakan. Semuanya senyap dan menunggu masa untuk PAU. Apabila Tun Mahathir menulis dalam blognya bertanyakan dalam 900 aduan rasuah yang diadu mustahil satu aduan pun yang tidak boleh dikaitkan, barulah Lembaga Disiplin bertindak.



Dalam keadaan yang kurang bersedia, beberapa keputusan juga sangat meragukan dan boleh dipertikaikan. Ianya melibatkan Khairy, Ali Rustam dan ikan-ikan bilis yang lain. Saya juga tidak mahu mengulas berkenaan keputusan itu. Soalnya sekarang adalah lembaga Disiplin benar-benar bebas dalam membuat keputusan. Adakah Lembaga disiplin tidak membuat keputusan yang 'double standard' apabila memutuskan sesuatu hukuman.



Apakah hukuman terhadap Isa Samad dengan Ali Rustam itu kelihatan sebagai menganiaya Isa Samad 3 tahun yang lalu. Apakah hukuman terhadap Khairy itu adalah satu keputusan yang seolah-olah ada 'tangan hitam' yang menghalang Lembaga Disiplin daripada membuat keputusan yang adil.

Apabila menerima 900 aduan, mampukah lembaga disiplin membuat siasatan dan membuat keputusan yang terbaik. Sudah tentu tidak. Saya ingin mengesyorkan kepada UMNO agar lembaga disiplin Pusat ini memberi kuasa yang lebih kepada Lembaga Disiplin di peringkat negeri-negeri. Ini bermakna Lembaga Disiplin peringkat negeri memproses aduan -aduan yang datang dari negeri masing-masing. Jika ada kes-kes yang berat barulah Lembaga Disiplin pusat menyiasat dan menjatuhkan hukuman.

Saya yakin daripada 900 aduan itu ada kemungkinan terdapat aduan-aduan daripada cawangan-cawangan. Sebab itulah Tengku Deen tidak cukup masa untuk membuat siasatan. Akhirnya dalam kesuntukan masa, keputusan secara terburu-terburu serta kenyataan-kenyataan terhadap sesuatu hukuman itu telah membuatkan mereka yang beremosi mencadangkan Lembaga Disiplin ini dibubarkan.

Seperkara lagi yang menimbulkan 'kegelian ' ahli UMNO khususnya ialah tentang penafsiran rasuah oleh SPRM dengan Lembaga Disiplin. SPRM akan mengambil tindakan mahkamah jika selepas sesuatu siasatan selesai dan bukti yang cukup. bagi SPRM rasuah politik dikategorikan sebagai kesalahan jenayah. Berbeza dengan penafsiran Lembaga Disiplin yang hanya melihat ianya sebagai melanggar kod etika parti sahaja.
Ianya sungguh mengelirukan. Sebab itu, selepas Ali Rostam didapati bersalah, sebahagian pengikut Pakatan Rakyat telah mendesak Ali meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Malangnya dalam waktu yang sama Najib telah mengeluarkan kenyataan, Ali boleh terus menjadi Ketua Menteri Melaka.



Oleh itu, tidak manis untuk saya mencadangkan Lembaga Disiplin ini dibuabarkan tetapi Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Displin ini sudah boleh memberi peluang kepada orang lain untuk menjalankan kerja-kerja Lembaga Disiplin. Dalam masa yang sama, banyak perkara perlu diperhalusi lagi, dengan lain perkataan satu reform perlu dilakukan agar lembaga Disiplin sentiasa dihormati.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com