Tuesday, January 25, 2011

DUN Tenang, Tiada Naib Juara.


1. Di dalam mana-mana pilihanraya tidak ada istilah naib juara kecuali antara menang atau kalah. PRK Tenang akan menentukan sama ada BN akan mengekalkan kemenangannya atau PAS akan tersungkur untuk ke sekian kalinya. Namun kali ini laluan BN bukan semudah yang disangka kerana BN Johor bukan lagi 'jantung hati' kepada BN Pusat.

2. Sehingga pukul 11.59 malam 29 Januari 2011 tidak ramai yang berani meramalkan BN akan berjaya menambah jumlah mojoriti kemenangan mereka kepada 5000 lebih seperti mana yang dicapai dalam PRU ke 11, 2004 yang lalu. Jauh sekali hendak meramalkan BN akan menang mudah. Ini satu perkembangan yang merisaukan BN Johor kerana kenyataan ini agak janggal bagi negeri yang menjadi kubu kuat BN sekian lama.

3. BN mungkin kurang mempunyai masalah dengan pengundi-pengundi luar bandar iaitu daripada kampung tradisional dan tanah-tanah rancangan FELDA. Sokongan daripada orang Melayu sekitar 70% terhadap BN.

4. Masyarakat Cina masih lagi bermain tarik tali. Tiada beza antara MCA, DAP dan Gerakan. Sekali pandang mereka bersatu atas nama bangsa bukannya parti.

5. DUN Tenang adalah di dalam Parlimen Labis di mana anak Chua Soi Lek adalah ahli Parlimennya. CSL sendiri pernah menjadi ahli Parlimen Labis. CSL dan anaknya tentu mempunyai pengaruh di Labis dan Tenang. Kemenangan atau kekalahan BN di Tenang sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada CSL anak beranak.

6. DAP dikatakan mengadakan ceramah-ceramah umum setiap malam dan mendapat sambutan hangat daripada pengundi Cina. Bilik gerakan MCA lengang dan tidak ada ceramah atau rapat umum sepertimana DAP. DAP sudah menguasai jiwa dan raga pengundi Cina yang berjumlah 5766 yang mewakili 39.08%. Ceramah-ceramah yang bertali arus ini, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi undi Cina walaupun mereka adalah ahli MCA.

7. Dalam PRU 12, 3 peti undi yg dimenangi oleh Pas iaitu Bandar Labis Timur di mana undi PAS berjumlah 740 undi sementara yang mengundi BN 669 undi.Majoriti 71. Bandar Labis Tengah undi yang diperolehi PAS adalah 1013 undi dan BN hanya memperolehi 504, majoriti 509 undi. Akhir sekali peti undi Labis, undi PAS 421 dan undi BN 411.Majoriti kemenangan PAS hanya 10 undi. Ada yang mengatakan pengundi Cina yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang kerana mereka akan pulang pada Tahun Baru Cina juga boleh mengurangkan sokongan kepada PAS.

8. Bagaimana pula dengan pengundi baru dan muda daripada kalangan pengundi Melayu, Cina dan India? Kecenderungan mereka seperti mana di tempat-tempat lain adalah majoritinya kepada pihak pembangkang. Ketidakpuasan hati ada di mana-mana di tempat masing-masing baik isu pembangunan, prinsip dan pemahaman politik peribadi mereka. Di dalam PRK ini ramai pemimpin-pemimpin pusat dan negeri yang turun. Banyak input yang mereka dapat dan terpulang lah bagaimana mereka menganalisa input-input supaya memberi impak kepada keputusan pilihanra N5 DUN Tenang kali ini.

9. Adakah keputusan DUN Tenang ini akan memberi gambaran atau petunjuk kepada PRU ke 13?.Mungkin boleh kita jadikan ukuran berdasarkan pola fikir para pengundi kali ini sama ada mereka membuat keputusan politik berdasarkan isu-isu semasa di peringkat pusat atau tempatan atau melihat kepada isu-isu calon daripada ke dua-dua belah pihak. Tidak kurang ramainya akan membuat keputusan politik mereka kepada pengaruh parti yang mereka menjadi ahlinya.

10. Kepada penduduk Tenang, PRK ini bukan boleh dicuba-cuba atau jangan fikir akan ada Naib Juara. Keputusan akan ditentukan jumlah undi terbanyak dan calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi wakil kepada rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri. Jangan fikir keputusan PRU ini tidak akan mengubah apa-apa kerajaan tetapi ambil berat tentang kesan kepada momentum perkembangan politik semasa. Jangan bagi ruang kepada anasir-anasir yang boleh memecah belahkan masyarakat di Tenang serta merencatkan pembangunan di Tenang.

11. Adakah majoriti 2 492 undi BN akan bertambah atau berkurangan, kita nantikan malam esok......Selamat mengundi kepada 14 753 pengundi Tenang.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Monday, January 17, 2011

Dah 47


18 Jan.2011 ada hari ulangtahun ku yang ke 47. Alhamdulillah sihat dan bersyukur kehadrat Allah kerana di berikan sebuah negara yang aman dan damai.

Sunday, January 16, 2011

Fitnah di Tenang



Satu laporan polis akan dibuat oleh PERKASA Segamat.

Klik di sini.

Tuesday, January 4, 2011

Beban atau Imbuhan.



1. Sesi persekolahan musim baru 2011 telah bermula 3 hb Januari yang lalu. Selamat pulang ke sekolah semula kepada pelajar-pelajar dan guru-guru.

2. Ketika sibuk melayan kerenah para pelajar masih ada ruang antara guru-guru berbicara tentang imbuhan RM500 yang ditawarkan oleh sebuah parti politik sebaik saja memerintah negara ini selama 100 hari.

3. Ada yang bertanya balik, begitu rendahnya mereka memandang guru-guru dengan hanya bernilai RM500 sebulan sebagai 'sogokan' untuk menyokong mereka.

4. Ada segolongan lain yang berpendapat, siapa sahaja yang memerintah mereka tetap seorang guru. RM500 itu hanya umpan yang entah betul atau tidak.

5. Bagi mereka duit bukan segala-galanya tetapi sistem pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, sukatan pelajaran , disiplin dan akhlak para pelajar dan sebagainya berkaitan guru dan pelajar lebih penting.

6. Mereka mahukan guru lebih fokus kepada mengajar dan mendidik pelajar-pelajar dengan tidak melakukan kerja-kerja pengkeranian yang kadang-kadang tiada kaitan dengan tugas guru.

7.Mengambil kedatangan pelajar, mengutip yuran, mengisi kad kemajuan, mengisi markah ujian dan peperiksaan, membuat headcount, menganalisa keputusan, membina soalan-soalan peperiksaan dan ujian bulanan, menanda latihan harian, menanda kertas ujian dan peperiksaan adalah antara kerja rutin guru di sekolah.

8. Ianya tidak termasuk lagi dengan kerja-kerja Hal Ehwal Murid seperti biasiswa, bantuan persekolahan dan kebajikan, takaful dan Insuran, disiplin pelajar, Unit 3K, Pemantapan sahsiah, Asarama, SPBT, Kantin, Penerbitan, Program 1 Malaysia dan Data dan maklumat.

8. Belum lagi dengan tugas-tugas ko-kurikulum seperti persatuan, kelab, Unit beruniform serta sukan dan permainan.

9. Rasanya pemberian imbuhan RM500 sebulan itu tidak menarik sangat bagi majoriti guru yang dibebankan dengan kerja-kerja separuh mati ini.

10. Adalah lebih praktikal jika Kementerian Pelajaran mewujudkan lebih banyak jawatan pengkeranian di sekolah bagi membantu kerja-kerja guru yang bersifat pengkeranian seperti mengambil kehadiran pelajar, memungut yuran, melakukan kerja-kerja berkaitan Hal Ehwal Murid serta pengurusan ko-kurikulum.

11. Banyak masa dan tenaga guru dapat dijimatkan bagi membolehkan guru-guru menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran seperti merancang pengajaran lebih berkesan, penyediaan alat bantuan, menanda latihan kerja dan perkara-perkara yang berkaitan dengan P&P.

12. Jika rintihan dan rungutan ini didengari, ianya jauh lebih bermakna daripada pemberian imbuhan RM500 itu.

13. Selamat bertugas kepada guru-guru.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Sunday, January 2, 2011

Hari Pertama Persekolahan.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan terima kasih kerana memilih sekolah ini sebagai destinasi baru untuk menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR yang lalu, pihak sekolah tidak keberatan untuk melepaskan anda memilih sekolah-sekolah yang lebih berprestij dan masyhur kerana sememangnya anda layak mendapat tempat belajar di situ. Jika gagal, jangan kecewa kerana di sini pun anda boleh mencipta kejayaan seperti mana pelajar-pelajar yang terdahulu. Minggu Orientasi pelajar tingkatan 1 akan diadakan pada 3 dan 4hb iaitu selama 2 hari.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar tingkatan 3 yang berjaya menduduki peperiksaan PMR pada bulan Oktober yang lalu dengan jayanya. Tahniah yang tidak terhingga kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang khususnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Beri tepukan gemuruh kepada pelajar-pelajar yang mendapat 8A seperti berikut iaitu 1. Muhammad Hasif b Ahmad Ghazali 2. Mustaqim bin Mazlan 3. Noor Harissa bt Md.Amin 4. Nor Afiqah bt Misrom 5. Nor Lyana bt Mokhtar 6. Nur Fatin Farhani bt Kormin 7. Nurul Huda bt Kabil 8. Siti Nur Adilah Izzati bt Md Daim. Begitu juga tidak ketinggalan kepada mereka yang mendapat 7A dan 6A.

Saya mengambil kesempatan di hari pertama persekolahan ini untuk mengingatkan kepada para pelajar tentang beberapa perkara asas yang sepatutnya menjadi rutin bagi seseorang pelajar. Walaupun ianya sudah didengar berulang kali tetapi sebagai seorang guru tidak salah untuk mengingatkan berulang-ulang kali asalkan ianya dengan tujuan membawa kebaikan. Sepanjang pemerhatian saya sejak akhir-akhir ini cara dan kaedah pelajar-pelajar mendapat ilmu pengetahuan di dalam kelas menjurus kepada suasana belajar yang lari dan jauh daripada adab-adab belajar bagi seorang pelajar khususnya bagi pelajar yang menganut agama Islam.

Sebagai seorang Islam, kita bukan sahaja wajib menjauhkan yang dilarang dan ditegah tetapi kita juga wajib memelihara akhlak yang baik. Akhlak yang baik akan melahirkan pelajar-pelajar yang beradab. Beradab di dalam menuntut ilmu akan menyebabkan kita mudah faham bahkan ilmu yang kita pelajari mempunyai keberkatan bukan sahaja di dunia tetapi juga diakhirat. Imam Ghazali menggariskan beberapa perkara yang patut kita patuhi ketika menuntut ilmu khususnya di dalam kelas dan apabila berhadapan dengan guru. Secara ringkas Imam Al-Ghazali menyatakan,
1.Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan- ikut jantina
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru
3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya
4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru
5. Jangan menyangkal kata-kata guru
6. Jangan mengumpat pelajar lain
7. Jangan berbisik di hadapan guru
8. Jangan berpaling kiri dan kanan
9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan
10. Berdiri apabila guru bangun
11 Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali
12 Rujuk guru dalam memilih ilmu
13 Jangan duduk tempat guru
14. Jangan berjalan dihadapan guru kecuali atas sebab-sebab yang tak boleh dielakkan
15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya
16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya
17. Muliakan anak-anak guru
18. Selalu berhubung dengan guru
19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu
20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Mudah-mudahan apa yang disebut di atas akan menjadi panduan dan amalan kepada para pelajar sama ada yang Islam dan bukan Islam. Islam adalah untuk semua umat manusia. Tidak ada apa yang diajar oleh Islam itu buruk dan lemah malah semata-mata membawa kebaikan semata-mata.

Sekian dulu untuk kali ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Saturday, January 1, 2011

Menggila bersama FB.


Sejak ada FB ni, rasanya blog 'segalanya mungkin' ni begitu terabai. Jarang benar dah nak menulis di sini. Tambahan lagi pengikut di FB berjumlah 1255 orang berbanding pengikut di blog ni cuma 222 orang. Betul kata sahabat ku dulu, kalau dah berhantu dengan FB, blog kita akan punah ranah.

Tambahan pula masa untuk menulis sudah agak terhad sejak aktif di dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara. Kalau di dalam FB tidak perlu menulis panjang berjela, sekadar seperenggan sudah boleh membuka perbincangan.

Apa pun sempena menyambut tahun 2011 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada pengunjung-pengunjung blog ini, sahabat-sahabat jauh dan dekat. Kehadiran 2011 akan memberi sinar baru dalam kehidupan kita keseluruhannya.

PRK Tenang akan membuka gelanggang politik negara kita. Ramai berpendapat di Tenang akan menguji keikhlasan MCA dan MIC dalam BN. Peluang tetap 50-50. PERKASA sudah ambil pendirian berkecuali di DUN Tenang. Semoga keputusan Pilihanraya Kecil Tenang akan memberi petunjuk baru bilakah PRU akan diadakan. Selamat mengundi kepada pengundi DUN Tenang.

Amir Hamzah
Batu pahat

Wednesday, December 8, 2010

CSL: Parasit dalam BN


Jikalau Chua Soi Lek hendak menghentam UMNO di dalam Perhimpunan Agung MCA tidaklah menghairankan kerana semua orang tahu ,inilah masanya dia hendak menunjukkan taji ayam kampungnya. Berkokok direban sendiri juga dilakukan oleh kebanyakan pemimpin parti tetapi apabila menyalak di dalam Konvension BN baru-baru bukanlah masa atau tempat yang sesuai.

Najib sudahpun berkata di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa jangan diungkit-ungkit lagi perkara-perkara yang menyentuh hak istimewa orang Melayu kerana ianya sudah terkunci kemas dan kuncinya ada ditangan raja-raja Melayu. Walaupun mana-mana parti politik yang mendapat majoriti dua pertiga sekalipun tidak berupaya untuk mengubah kecuali mendapat restu orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu itu sendiri.

Chua Soi Lek (CSL)bukan sahaja tidak menghiraukan ungkapan dan nasihat itu malah sekali lagi menunjukkan keras kepalanya di dalam konvension yang sepatutnya menjadi medan memperkukuhkan ikatan dan persefahaman di dalam BN. Malah sepatutnya perkara hak Melayu ini tidak boleh dibicarakan lagi baik secara tertutup atau terbuka jika mahu persefahaman yang sekian lama dibina ini mahu berkekalan. Adakah ucapan CSL dalam konvension BN ini mendapat restu kepimpinan parti MCA atau tidak, Jika ya, MCA tentu tidak akan lama lagi berada di dalam BN.

Secara terbuka tanpa menghiraukan kehadiran ahli-ahli daripada parti komponen yang lain, CSL meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya, tidak ada abang sulung atau adik bongsu. Dalam kata lain MCA tidak mahu ada sistem “abang besar, abang kecil” dalam BN. CSL tidak mahu keputusan penting kerajaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, sebaliknya keputusan itu perlu dibuat dalam Kabinet.

Apatah lagi keputusan-keputusan penting itu dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Adakah CSL tidak gemar dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Muhyiddin berkenaan dengan syarat wajib lulus matapelajaran Sejarah di peringkat SPM semasa perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu misalnya? Apakah perlu, membuat keputusan subjek sejarah sebagai matapelajaran wajib lulus bagi mendapat sijil SPM itu dibincangkan bersama MCA. Sedangkan dalam masa yang sama MCA mahu isikandungan matapelajarn sejarah itu ditulis semula tanpa menjelaskan bahawa orang Cina itu sebagai 'pendatang'.Bagaimana fakta sejarah mahu diubah seperti mana Singapura yang berjaya mengubah fakta dengan menghilangkan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud sebelum kedatangan British.

Keputusan-keputusan penting kerajaan berkaitan orang Melayu sepatutnya tidak perlu dibincangkan bersama MCA lebih-lebih lagi manusia yang bernama CSL ini. Mengapa mahu dibincangkan sedangkan CSL anti kepada 'Ketuanan Melayu' dan beberapa istilah lain yang begitu sensitif di telinga CSL spt “pendatang” (immigrants), “penumpang” (passengers), “terhutang budi” (indebted to)dan “kurang patriotic” (unpatriotic). CSL melarang pemimpin-pemimpin Melayu menggunakan istilah ini kerana kononnya dengan istilah ini menyebabkan sokongan kepada BN berkurangan. Mengapa soal-soal berkenaan usaha kerajaan untuk membantu orang Melayu yang berjumlah 60% itu perlu mendapat persetujuan 'adik bungsu' atau 'abang kecil' seperti MCA?

Perlukah perkara-perkara seperti 'affirmative action' terhadap orang Melayu dibincang bersama CSL sedangkan dia yang berkeras mahu koata 30% pembahagian dan pengagihan kek ekonomi kepada Melayu dan bumiputera itu dihapuskan?

CSL seperti juga Lim Kim Sai menuntut juga jawatan penting kerajaan diberikan kepada parti beliau seperti mana diberikan kepada Muhyiddin dan Hisahamuddin. Secara tersirat dan halusnya CSL mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran dan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada MCA. CSL mungkin tidak akan dapat tuntutan ini jika MCA berada di dalam BN tetapi CSL boleh 'menaruh harapan' jika MCA berada di dalam Pakatan Pembangkang. Pertama CSL tentunya akan mendapat janji-janji manis dan enak terlebih dahulu, dapatnya pun belum pasti.

Sebagai orang lama, CSL tidak sepatutnya menyebut istilah 'big brother' di dalam BN kerana tidak berlaku aktiviti buli, kezaliman, penindasan di dalam BN. MCA juga mendapat hak yang sepatutnya dia dapat dan sepatutnya dia tak dapat. Contoh hak yang sepatutnya dia tak dapat ialah walaupun banyak kerusinya kalah dalam PRU ke 12, masih ada wakil MCA di dalam kabinet malah bertambah lagi bilangannya. Beberapa kerusi majoriti Melayu diberi pinjam oleh UMNO seperti Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain kepada MCA, Gerakan dan MIC. Jika UMNO itu parti 'pembuli' bagaimana parti itu boleh 'meminjamkan' 42 kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen yang disebutkan itu.

CSL juga perlu berhati-hati apabila membicarakan 'Ketuanan Melayu', menolak 'Ketuanan Melayu' sama juga menolak raja-raja Melayu. Ketuanan Melayu sama ertinya dengan Ketuanan Raja. Raja-raja Melayu adalah tuan kepada rakyat tanpa mengira kaum dalam konteks negara demokrasi dan Raja berparlimen seperti Malaysia. CSL harus sedar bahawa dia juga berasal daripada negeri yang mempunyai Sultan. Dia bukan orang Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur maupun Sabah atau Sarawak. CSL harus faham kerana kedudukannya sebagai seorang rakyat yang bukan janggal dengan institusi Raja-Raja Melayu atau sememangnya CSL menyokong kepada gerakan mahu menghapuskan sistem Raja-Raja berperlembagaan seperti mana yang dikehendaki oleh Wan Azizah? Jika begitu perkiraannya mengapa mahu bersekongkol lagi di dalam BN jika hanya mahu menjadi duri dalam daging kepada Barisan Nasional.

Bagi sesetengah penganalisis politik kedai kopi melihat provokasi yang dilakukan oleh CSL ini adalah semata-mata untuk menebus kesalahannya dan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan-perwakilan MCA yang melantiknya sebagai Presiden MCA. Jikalau dilihat kepada perkiraan akal yang waras, bagaimana seorang yang 'tidak bermoral' boleh dilantik dan dipilih ke jawatan presiden parti. CSL tentu sekali berterima kasih. Bagi membalas budi, CSL akan membuat apa saja asalkan dia popular dan dipandang hebat dikalangan ahli-ahli partinya serta disanjung oleh Siqiu dan Dong Zhong. Pendek kata CSL sudah termakan budi.

Tidak sukar untuk menyamakan CSL dengan Zaid Ibrahim. CSL duri dalam daging kepada BN seperti mana Zaid Ibrahim sebagai parasit di dalam PKR.

Amir Hamzah
Batu Pahat.